Nuffnang

Sunday, January 2, 2011

PELAKON DRAMA FAIZAL MENINGGAL DUNIA

Pelakon drama Mohd. Faizal Yusop , 33, hari ini meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak di sini.

Bekas suami kepada penyanyi Siti Nordiana (Nana) Alias, 28, itu menghembus nafas terakhir pada pukul 1.45 petang selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut setelah terjatuh di bilik air rumahnya di Sentul, pada pukul 9 pagi.

Abangnya, Shaiful, 35, yang membawa Faizal ke hospital berkata, keadaan adiknya itu kelihatan teruk selepas terjatuh di bilik air.

Bagaimanapun dalam perjalanan, Faizal memberitahu, keadaannya pulih sedikit namun ketika sampai di hospital keadaan pelakon itu kembali tenat.

"Faizal terus dimasukkan ke ICU dan dia sempat bertemu dengan anaknya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 2 tahun yang dibawa oleh Nana," katanya ketika ditemui di lobi hospital di sini.

Menurutnya, mereka sekeluarga terkejut dengan kejadian itu kerana semalam, Faizal sempat membelanja ahli keluarganya makan malam ikan bakar Sekinchan, di Setiawangsa.

Kata Shaiful, jenazah Faizal akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves, pada pukul 10 pagi esok.

Sementara itu, Nana yang turut berada di hospital berkata, dua minggu sebelum ini, ketika Allahyarham bercakap dengan anaknya, beliau dapat merasakan perubahan sikap bekas suaminya itu.

"Sewaktu dia bercakap dengan Rayyan, Nana dengar dia pesan pada Rayyan jangan menyusahkan mama dan jaga mama baik-baik.

"Nana memang rasa lain kerana selama ini dia tidak pernah pesan begitu, tapi tidaklah Nana tanya tentang perubahan sikapnya itu," ceritanya.

Allahyarham yang kini sudah menikah dengan Rosmunira Rashid, 27, dijangka bakal menimang cahaya mata sulung menerusi perkahwinan keduanya kerana isterinya itu sedang hamil lima bulan.

Drama lakonan Faizal, Tiramisu sekarang ini sedang ditayangkan di TV3, setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 6.30 petang.

Sumber : Utusan

1 comment: