Nuffnang

Thursday, May 26, 2011

IKUT KATA HATI


Dulu rumah tangganya pernah bergoncang lantaran dilanda kontroversi sehingga menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak namun beliau begitu tabah, malah bangkit untuk menepis persepsi negatif.

Daphne Iking, 32, atau kini mahu dikenali sebagai Dahlia mengakui tidak pernah menganggap awan hitam itu sebagai penghalang kepada perjalanan karier seninya selama ini kerana mahu menjadi manusia yang bersikap positif.

Kepetahannya berkata-kata menjadi aset utama beliau yang sekali gus mengangkat namanya sebagai pengacara terkenal yang bukan saja terjurus kepada program di depan tabir, malah laris dalam acara korporat.

Terbaru, Daphne diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai teraju utama bergandingan dengan dua lagi selebriti, Elaine Daly dan Deborah Henry dalam sebuah rancangan kewanitaan berbentuk bual bicara.

Pernah kecewa dengan kegagalan perkahwinan terdahulunya, Daphne akhirnya terbuka hati untuk menerima lamaran serta berkahwin dengan seorang lelaki yang selama ini sentiasa menemaninya di sisi, tidak lain tidak bukan, pengurusnya sendiri, Azmi Abdul Rahman, 42.
Mereka bernikah pada 8 Januari lalu di Kota Kinabalu, Sabah hanya disaksikan ahli keluarga terdekat.

Dengan keputusannya menikahi Azmi, secara automatik Daphne meninggalkan status bujangnya untuk bergelar seorang isteri serta Muslimah dengan memeluk Islam.

“Sebenarnya saya sudah memeluk Islam sejak Disember tahun lalu dan semua ini saya lakukan atas kerelaan saya sendiri. Saya percaya walau apa agama pun yang kita anuti, semuanya mengajarkan benda yang baik.

“Memang pada awalnya, keputusan itu mendapat tentangan hebat apalagi daripada insan terdekat iaitu keluarga namun akhirnya saya mendapat kekuatan untuk mengikut kata hati saya sendiri dan tiada langsung rasa penyesalan,” ujarnya dengan yakin.

Sehingga kini, Daphne masih dihujani pelbagai soalan yang mempertikaian keputusannya itu dan mengakui kadang-kadang terganggu dengan pertanyaan sedemikian.

Kesungguhannya mendalami Islam semakin ketara apabila dia kini sudah mampu membaca Al-Fatihah dengan lancar, malah tidak putus-putus mendapat dorongan daripada suami tercinta untuk bersolat lima kali sehari.

Daphne yang bakal menimang anak kedua selepas kehadiran puterinya daripada perkahwinan lalu, Isobel Daniella yang kini berusia tiga tahun, turut terharu kerana Isobel juga suka bersolat.

“Jika sebelum ini saya berdoa dalam pelbagai bahasa, namun sekarang saya mencuba sedaya-upaya untuk berdoa sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu.

“Hasilnya, saya dah makin terbiasa dan bahasa Melayu saya semakin bagus,” seloroh Daphne yang nampak tenang dan bahagia.

Memasuki bulan kelima kandungannya, Daphne mengadu sering mengalami sakit-sakit pada bahagian belakangnya berbanding ketika mengandungkan anak pertamanya dulu.

Namun ajaibnya, perkara itu tidak pernah menghalang beliau untuk menunaikan kewajipannya kerana rasa sakit itu akan hilang secara tiba-tibanya setiap kali bersolat.

Ketika ditanya mengenai jantina anak dalam kandungannya, dia bertindak untuk menutup mulut dan lebih berahsia kerana untuk kelahiran akan datang itu, biarlah ia menjadi suatu kejutan buat mereka sekeluarga.

Dalam pada itu, Daphne yang berketurunan Kadazandusun sangat teruja untuk pulang ke kampung halamannya bertemu dengan ahli keluarga dan meraihkan sambutan Pesta Menuai atau Kaamatan pada 31 Mei 2011. Istimewanya, dia bukan saja pulang untuk bergembira malah akan turut terbabit dalam penggambaran sebagai hos untuk sebuah dokumentari selama satu jam berkisar keunikan masyarakat Kadazandusun Murut di Sabah yang bakal ditayangkan menerusi Discovery Channel.

Sumber : Hmetro

No comments:

Post a Comment