Nuffnang

Monday, May 23, 2011

ORKID BUKAN HOBI MEWAH



Kepelbagaian bentuk kelopaknya yang menarik, saiz warna serta corak bunganya menyebabkan orkid terus digilai ramai. Namun, ramai mendakwa menanam orkid hobi mewah apatah lagi tanaman itu sukar dijaga. Benarkah begitu?

Ada lebih 800 spesies orkid di negara ini dan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘Terrestial’, yang tumbuh di atas tanah dan ‘Epiphyte’ cenderung menumpang di dahan. Namun, spesies Epiphyte yang terbahagi kepada dua iaitu ‘monopodial’ dan ‘simpodial’ adalah orkid paling digemari peminat landskap berbanding Terrestial.

Simpodial adalah jenis orkid yang tumbuh melintang serta mempunyai ‘pseudo’ bebawang yang jelas kelihatan tumbuh di atas rizomnya.

Antara contoh orkid monopodial ialah Vanda dan Arachnis manakala simpodial adalah jenis Oncidium, Dendrobium dan Catteleya. Kecantikan warna serta keunikan kelopak orkid membolehkan tumbuhan itu ditanam sebagai tanaman ‘softscape’ disebabkan bunganya seperti kilauan permata di tengah laman.

Sebab itulah, ramai beranggapan, orkid bunga yang unik, anggun serta memiliki kemegahan tersendiri. Orkid kini bukanlah hobi mewah kerana secara relatifnya, ia boleh dibeli antara RM3 hingga RM5 sepasu, lebih murah berbanding beberapa bunga tropika lain.

Namun, bagi mereka yang baru hendak mengenali pokok orkid, disarankan memilih dan membeli orkid yang mudah diselenggarakan serta tahan lasak. Selain itu, peminat orkid juga perlu memahami ciri-ciri serta keperluan spesifik jenis orkid yang hendak ditanam terutama cara pengurusan, penanaman dan pembiakan pokok.

Orkid mampu mekar serta bertahan sehingga lima minggu sebelum layu. Jumlah siraman bergantung kepada jenis pasu dan media penanaman termasuk cahaya matahari, suhu sekitar dan peringkat usia atau tahap proses tumbesarannya.

Anda disyor membaja seminggu sekali kerana medium tanaman orkid agak ringkas serta tidak memerlukan tanah dan sebagai ganti kepada bahan itu, boleh digunakan kepingan pasu-pasu pecah, ketulan bata atau arang.

Ketika memilih baja, peminat orkid disarankan menggunakan bahan nutrien (baja) yang kandungan nitrogen tidak melebihi 25 peratus kerana penggunaan terlalu tinggi bahan boleh membantu pengeluaran bunga. Orkid yang ditanam daripada biji benih matang dalam tempoh satu hingga tiga tahun manakala semaian keratan vegatatif pula boleh matang dalam tempoh empat hingga 12 bulan sahaja.

Penghasilan bunga pula banyak bergantung kepada keadaan ‘photoperiodic’ dan juga suhu persekitaran. Bagi orkid Dendrobium, Oncidium, Cattleya dan Phalaenopsis, pokok akan terangsang untuk berbunga selepas terdedah kepada masa gelap atau malam yang panjang manakala orkid Aranda, Mokara dan Vanda galak berbunga sebaik mendapat cahaya matahari mencukupi.

Kesimpulannya, jika baru berjinak menanam orkid, beli orkid murah dan sebaik memahami setiap langkah berhubung penanaman serta penjagaannya, barulah digalakkan membeli orkid lebih eksotik.

Sumber : Hmetro

No comments:

Post a Comment