Nuffnang

Tuesday, September 29, 2009

HOSPITAL SULTANAH AMINAH

Awal pagi hp dah dengar ringging, secara kebetulan saya di tingkat bawah. Malas nak berlari ke atas tambah-tambah badan tengah tak stabil. Tengok hp ada misscalled no 607 2257029. Alaihai no mana ni yang call tadi, along atau ceti haram...ehehehe

Abaikan kejap tapi terpikir manalah tau HSA ada emegency call. Cuba call ada operator yang jawab ' Terima kasih kerana menghubungi Hospital Sultanah Aminah, sila tekan no sambungan untuk membuat panggilan'. Manalah tau no sambungan, sapa pulak yang call. Arggghh! sudah.

Semak kad rawatan, ada pun no sambungan. Call semula kenalkan diri, pihak ENT confirm yang call tadi. Dia bagi tahu pembedahan kena tangguh pada 12 Oktober 2009 disebabkan doktor pakar bius tiada pada 2 Oktober 2009. Humm! tangguh! Hope tak terkena jangkitan selsema, demam dan batuk tapi satu je yang saya paling takut. Suhu sejuk kat pejabat yang buat hidung jadi sumbat. Susah nak bercakap dan bernafas.

Hari ini cuti rehat sebab nak abiskan prenidsolone yang buat saya mabuk dan melayang macam tak tentu hala. Sabo je la....

Monday, September 28, 2009

PREDNISOLONE


Dah 8 hari amik prenidsolone untuk persediaan pembedahan tapi pagi ini paling rasa lalok, mungkin beberapa hari yang lepas ambil boleh rehat di rumah tapi pagi ini saya dah memulakan rutin kerja semula selepas beberapa hari cuti raya.

Rasa tak tentu hala dibuatnya, nak muntah, mual, tangan mula kebas-kebas. Pergi Pusat Kesihatan UTM untuk ambil ujian darah yang HSA suruh untuk persediaan pembedahan. Sementara menunggu result darah siap baring di wad Pusat Kesihatan UTM. Dr Hanan bagi cuti sakit untuk rehat di rumah.

Sampai rumah terima mesej Lela, baiknya dia siap offer nak bantu tapi saya dah sampai rumah. Terima kasih dik! kerana memahami.

Masuk rumah terus ke dapur untuk minum air. Rasa diri ini macam dah duduk atas kerusi tetiba terduduk atas lantai. Masuk tandas buka paip tapi paip shower yaang saya pusing, tersembur air shower. Basah dah baju dan tudung. Nampak sangat saya tak stabil...ehehe. Tinggi juga dos prenidsolone yang saya ambil sampai 20mg.

Bila bercakap pun macam tak lepas je, boleh pikir-pikir cakap apa tadi ya...hehehe. Macam ini agaknya mat/minah gian bila dalam pengaruh dadah.

Sunday, September 27, 2009

ALMARI JATI


Sejak dua menjak ini saya suka masuk mudah.com, pertamanya melihat barang-banrang antik yang hendak di jual, manalah saya berkenan di hati...hehehe. Dalam sibuk-sibuk meneliti tempayan naga terpandang almari jati kepunyaan orang Taman Pulai Perdana yang telah di iklankan beberapa hari yang lepas. Cuba mesej jawapannya ' maaf ya almari telah dijual'. Waaaaaaa! Saya dah terlewat, macam nak meraung sebab dalam kepala dah macam-macam pikir. Nak cuci, jemur kemudian varnis semula. Barulah boleh display pinggan mangkuk lama.

Geramnya tak dapat. Macam mana ekk nak cari almari macam kat atas tu, bagi idea. Saya nak yang lama nampak seninya. Hope pembaca blog saya dapat bantu saya ya!

SUASANA SYAWAL 2009


Suasana Syawal 2009 seperti tahun-tahun yang sudah. Bila usia semakin meniti senja dan di ikuti dengan anak-anak makin remaja persiapan sekadar ala kadar sahaja. Anak-anak sudah pandai mengurus diri sendiri dan sebagai ibu saya hanya mengeluarkan kos perbelanjaan, pandangan dan nasihat yang berguna untuk mereka.

Tahun ini saya menyambut pagi Syawal di rumah mentua di Air Hitam, Muar. Balik Muar jumaat malam jam 12.30mlm, bukan tak mahu balik awal tapi nak menghayati suasa raya di Pekan Parit Sulong yang di penuhi oleh orangramai jam 12.00mlm sehingga pagi untuk membelibelah keperluan barangan raya.

Sampai kampung jam 3.30pg terus bersahur. Mak mentua saya hanya menyediakan nasi putih sahaja memandangkan saya telah memasak lauk pauk yang dimasak dirumah sebelum bertolak. Sementara menunggu subuh sempat baca majalah kemudian bersolat subuh, manakala suami dan anak bujang ke masjid bersolat jemaah disana. Selesai bersolat saya tidur sekejap sementara menunggu suami pergi ke pasar untuk membeli barang keperluan untuk di masak.

Jam 9.00pg memulakan tugas untuk memasak ketupat, ayam masak kari, sambal kacang, masak lemak lodeh, sambal telur, daging masak kicap dan mee goreng. Masak dengan bantuan anak dara dan adik ipar yang duduk berhampiran dengan mak mentua. selesai jam 4.30ptg terus solat asar dan tidur sekejap memandangkan badan terlalu letih, cuaca panas dan tidur yang tidak cukup.

Jam 6.00ptg bangun tolong mak mentua membungkus makanan untuk dihantar kerumah jiran tetangga, kemudian menyiapkan hidangan untuk berbuka puasa. Berbuka puasa macam menyambut suasa pagi raya tapi makan sekadar kami sekeluarga, adik ipar dan suami serat ibubapa mentua, memandangkan yang lain semua beraya dirumah mentua masing-masing. Memang sunyi beraya pada kali ini tapi sekurang-kurangnya kami sekeluarga dapat menemankan ibubapa mentua.

Hari raya pertama selepas solat maghrib kami sekeluarga bertolak balik ke Taman Pulai Indah. Dapat tidur semalam di rumah sendiri kemudian, bertolak ke rumah abah sendiri di Felda Ulu Tebrau. Di sana abah dah menanti kepulangan saya. Hummm! tetamu biasalah dirumah abah yang bertali arus tanpa henti. Tengahari itu saya masak nasi tomato, daging lembu dan kambing blackpaper, ayam masak merah dan acar timun. Secara kebetulan family belah mak datang dalam 8 kereta so kami buat sajian makanan secara layandiri.

Malam kakak datang tidur rumah abah, kami bersembang sampai jam 3.30pg. Banyak perkara kami bercerita tentang keluarga dan rumahtangga dia. Paling tragis menangis bersama. Sedih bila mendengar luahan hati anak-anak akak tapi kami sebagai keluarga tetap akan bersama sentiasa. Saya percaya kakak saya insan yang cekal dan tabah dalam menghadapi masalah.

Petang raya ke 3 saya balik rumah sendiri. Biasalah dirumah sendiri rehat manjang di rumah....hehehe

Raya ke 4 pegi pejabat Celcom ada urusan berkaitan broadband dan kemudian ke Plaza Angsana anak-anak ajak makan KFC . Terima call family belah saya nak datang. Sempat masak nasi serai, udang masak merah, ayam blackpaper dan acar timun. Malam beraya di Taman Sri Pulai rumah kenalan suami. Balik dapat buah tangan ikan terubuk masin dari Kuching dan buah pelam.

Raya ke 5 rumah di penuhi dengan kanak-kanak beraya. Seronok melayan anak-anak kecil yang datang walaupun anak-anak banyak kali berpesan supaya berhati-hati dengan tetamu yang datang memandangkan tarikh pembedahan dah hampir takut ada jangkitan selsema, batuk serta demam. Takut pembedahan di tunda. Waaaa!

Malam raya ke 6 ada kenalan suami datang rumah saya masak mee kari, kemudian kami sama-sama berkunjung kerumah adik di Taman Pulai Indah. Kami disajikan dengan mee goreng. Adik pulak datang rumah jam 11.30mlm so rumah kami tengah-tengah malam pun masih meriah. Memang seronok. Siap mengemas dapur dan lantai jam 12.40mlm.

Raya ke 7 duduk dirumah, ramai kenalan Azim yang datang dari pagi sampai ke petang. Layannnnnnnnnnnn! Raya ke 8, esok pagi-pagi hantar Aja balik Uitm, Kuala Pilah. Jom! sapa nak ikut?

Thursday, September 17, 2009

AKHIR RAMADHAN BERLALU PERGI

Pejam celik kita sudah di penghujung Ramadhan, begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita semua. Ramadhan tetap akan pergi, ia akan pergi meniggalkan kita. Saya banyak mengingatkan diri sendiri rugilah kita sekiranya Ramadhan yang datang tidak kita isi dan tidak pula kita memperbanyak amal. Pada peluang yang masih ada marilah kita isi Ramadhan ini dengan memperbanyak dan melipatgandakan amal ibadah, lebih-lebih lagi 10 malam terakhir.

Saya pun hanya dapat berselang seli membangunkan diri jam 3.00pg bersama suami dan anak untuk bersolat tahajud. Bila di saat akhir sebegini terasa ruginya tidak dapat memenuhi 10 malam seribu rahmat dengan penuh sempurna. Pada malam ini para malaikat menurunkan seribu rahmat.

Dapatkah saya berjumpa Ramadhan 2010? untuk menghidupkan 10 malam-malam terakhir Ramadhan iaitu malam Laitatul Qadar.

Masih ada 2 malam berbaki
Bakal merindui lagi
Tak sanggup lepaskan berlalu pergi
Takut tak jumpa lagi nanti
Moga dipertemukan

PEMBEDAHAN POLIP HIDUNG


Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), di Hospital Sultanah Aminah, Dr. Mazlina Selamat memberitahu polip hidung terjadi apabila terdapatnya radangan pada rongga sinus hidung. Faktor penyebab lain ialah terdapatnya ketumbuhan pada hidung sehingga menutup pintu rongga seperti kanser hidung. Ini adalah disebabkan saya mengalami alahan dengan cuaca sejuk di tempat kerja.

Alhamdulilah selepas buat biopsi saya bebas dari kanser tapi doktor mencadangkan saya menjalani pembedahan secepat mungkin. Dalam keadaan ini katanya, apabila rongga tertutup, cecair daripada rongga tidak dapat keluar dan ini menyebabkan takungan berlaku. Dalam keadaan ini sekiranya nanah telah merebak ke bahagian otak, pesakit perlu menjalani pembedahan sinus frontal dan pembedahan saraf atau neurosurgery.

Teknologi moden dan kecanggihan perubatan yang ada pada hari ini penyakit ini dapat dikawal dan dirawat dengan menggunakan rawatan ubat-ubatan seperti antibiotik atau antihistamin atau ubat analgesik. Kaedah pembedahan yang digunakan bagi merawat resdung merupakan kaedah terkini yang boleh membantu pesakit.

Apa yang doktor bagi tahu cukup menakutkan saya lagi iaitu perlu mengawal faktor persekitaran yang memungkinkan risiko untuk lebih mudah mendapat penyakit ini semula dan bermakna perlu menjalani pembedahan lagi.

Bila ingat rasa berdebar-debar menanti hari pembedahan, memandangkan ianya melibatkan saluran pernafasan sehingga ke pangkal otak. Saya berharap sangat moga saya selamat menjalani pembedahan ini pada 2 Oktober 2009.

Kalau orang banyak tanya nanti nak jawab 'aah! saya buat plastic surgery nak mancungkan hidung', wal hal inilah satu uiian yang Allah beri untuk saya dan menerimanya dengan tabah.

Harap pembaca blog saya mendoakan kesejahteraan saya.

Sunday, September 13, 2009

PERSIAPAN MENJELANG SYAWAL 2009











Menjelang syawal tinggal beberapa hari lagi. Saya buat persediaan sekadar ala kadar sahaja. Tahun ini pakai langsir tahun yang telah lepas. Saya hanya polish perabut, membersihkan habuk-habuk yang melekat di syiling, kipas, aircond dan perabut.

Itulah saya, bukan mudah untuk berbelanja dengan boros. Kalau mahukan sesuatu yang baru saya betul-betul buat perancangan, ada baiknya duit yang ada kami saving untuk keperluan yang lain.

Bagi saya kalau kita ada sentuhan yang kreatif, perabut murah pun boleh nampak mewah. Majoriti perabut dalam rumah saya adalah dalam kategori harga yang biasa. Ikut kemampuan saya tapi saya ini orang yang suka membuat dekorasi rumah jadi nampak ada sahaja perubahan.

NEGERI SEMBILAN, NEGERI SEMBILAN, NEGERI SEMBILAN




Apa yang menariknya negeri Sembilan? Humm! amarah orang negeri Sembilan bila saya tulis macam ini agaknya. Dulu saya suka sangat nak bermalam di negeri Sembilan, berjalan-jalan disana. yelah melalui imiginasi perkara-perkara yang indah tapi sebaliknya biasa je.

Bila anak dara saya dah belajar di sana, kami kerap juga kesana tambah lagi dengan pekan Kuala Pilah. Dekat situ adalah hutan lipur Ulu Bendul, istana Seri Menanti, dan pemandangan suasana kampung dengan buah-buahan, binatang ternakan dan sawah bendang. Kalau orang macam saya datang sesekali bolehlah untuk release tension, kepala dah penat bekerja so tengok Kuala Pilah bagus. Sebuah pekan yang tenang.

Tolong promote pulak negeri Sembilan..huhuhu.

Saturday, September 12, 2009

MENJELANG AIDIL FITRI DI RUMAH ABAH



Menjadi kebiasaan untuk abah tersayang kalau nak buat aktiviti mesti calling-calling anak menantu. Siapa tak kenal Pak Haji Samad yang begitu prihatin orangnya. Semalam dia call pejabat bagi tahu pasal program masak memasak, wal hal hari isnin dah bagi tahu.

Aidil Fitri 2009 majoriti anak-anak abah masing-masing menyambut Syawal di rumah mentua masing-masing. Waaaaaaaa! kita suka, tak suka tapi terpaksa dah tanggungjawab isteri mengikut suami.

Tadi saya dan akak tersayangku Datin Seri Siti Aminah...huhuhu kena memasak ketupat, sambal goreng, kari daging, ayam masak kicap dan kuah kacang. Perggggh! mencabarlah jugak memandangkan hari panas. Tekak dahaga, tengok je botol air gas. Kalau boleh teguk dah ku teguk. Siap masak terus masuk bilik terbaring. Lepak terus zzzzzz!

Pukul 6.00 bangun solat asar terus buat proses bungkus membungkus dan agih kepada 16 buah rumah. Memang niat abah masak untuk di hantar kerumah yang memang menjadi top 10 abah...huhuhu.

Mudah-mudahan apa yang abah lakukan mendapat balasan yang lebih dari itu, tambah-tambah bulan Ramadhan.

I luv u abah....


WAJAH



Wajah? Bukanlah bermaksud wajah saya di atas tu. Sebenarnya saya suka sangat lagu 'Wajah' hasil nyanyian Jaclyn Victor yang ditulis oleh Habshah Hassan. Kalau kita benar-benar menghayati bait-bait lagu tersebut ianya penuh dengan motivasi yang bagus jatidiri sesorang. Siapa tidak kenal Habshah Hassan dengan lirik lagu-lagunya yang puitis dan berkesan kepada semua yang mendengarnya.

Lagu ini mula-mula saya dengar cukup sebak tambah-tambah ia merupakan lagu tema untuk salah satu program TV3.

Bagi saya kalau kita rasa down boleh duduk hayati bait-bait lagu ini untuk meningkatkan kepercayaan diri sendiri.

MUHASABAH DIRI



Semoga pembaca blog saya berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya dalam menelusuri ujian di dunia ini. Kita hendaklah sentiasa beringat bahwa Allah sememangnya mendatangkan ujian kepada hambanya bagi menilai sejauh mana hambanya ini memikul dan menyelesaikannya hingga sampai ke satu tahap bahawa kita merasakan kenikmatannya ujian itu.

Kita digalakkan untuk berfikir dan mencari ruang kebaikan yang akan kita buat pada hari esok dan berikutnya. Kita mesti fikir tentang itu. Maksudnya esok mesti ada kebaikan yang kita lakukan. Dan hari esok pun menjelma buat sahabat dengan taqdir Allah. Sahabat harus mencari ruang untuk melakukan kebaikan. Oh ya! Ruang untuk kita melakukan kebaikan ada yang datang secara kita tak jangka dan ada yang dah kita jangka.

Hari ini genap 21 hari kita berpuasa. Banyak perkara yang belum terlaksana, maksud saya bukanlah persiapan raya dengan baju barunya, rumah yang berhias cantik dan kenderaan mewah dan segalanya tapi amalan kita untuk bekalan akhirat nanti.

Alhamdulilah apa yang ada dalam kesederhaan sudah mencukupi buat kami sekeluarga. Kalau saya boleh bergembira, saya nak tengok diluar sana mereka yang susah bersama menikmati makanan yang saya makan bersama mereka walaupun sekadar sekeping roti.

Saya selalu berpesan pada anak-anak doakan kami berdua, perbanyakkan bersedekah dan perbanyakkan ilmu didada. 3 perkara ini yang menyelamatkan perjalanan di akhirat.

Tiada apa yang lebih bermakna dalam hidup ini apabila kita semua dapat merenung dalam diri kita sejauh mana perjalanan amalan dalam diri kita...

Friday, September 11, 2009

MENARA TABUNG HAJI


Beribu kali tertanya-tanya dalam diri bila nak menunaikan haji? Bila? Bila? Bukan apa bagi saya hidup ini singkat, kita tak tahu bila bahagian kita di jemput Allah, wal hal banyak perkara saya sudah dapat dalam hidup diri saya. Bukan tak pernah menjejakkan kaki di tanah suci, tahun 2006 pun pernah kesana tetapi sebagai tetamu Allah yang mengerjakan umrah.

Memang rindu sangat nak kesana, nak sentuh kain kaabah, nak cium batu hajar aswad, nak minum air zam-zam sebanyak mungkin, nak ziarah makam nabi. dan para sahabat. Bila ekkk dapat kesana lagi? Hummm rindunya! memang rindu suasana disana, jauh kalau dibandingkan dengan negara kelahiran.

Apa pun kita sebagai hambanya hanya merancang, kalau dengan izinNya pasti dapat. Niat yang baik pasti Allah maha mengetahui segalanya. Itu yang saya doa setiap hari, moga saya dapat berangkat secepat mungkin bersama ahli keluarga. Amin!

Monday, September 7, 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA










Dari semalam abah mengajak berbuka puasa di rumah saya, namun saya menolak ajakan abah kerana kurang sihat.

Pagi tadi sewaktu di pejabat abah talipon pejabat mengatakan dia nak berbuka puasa juga di rumah kami petang ini. Awal subuh selepas bersahur, suami ada meyuarakan hasrat hati nak ajak family semua berbuka sama di rumah kami, tapi saya kena mengambil cuti rehat sehari untuk buat preparation. Lain jadi perancangan kami. Abah dah datang awal.

Saya keluar dari pejabat pukul 5.00ptg. Pusing-pusing sampai rumah dah pukul 5.30ptg. Abah, mak dan Opiq dah ada dalam rumah. Keluar semula beli bahan-bahan nak buat tomyam, beli ayam, udang dan ada beberapa barang yang saya beli di Kedai Runcit Shidah. Memulakan masak jam 6.00ptg bersama mak. Sempat juga beberapa menu saya masak petang tadi iaitu tomyam, ayam goreng KFC, udang goreng, soto dan air minuman.

Abah keluar semula jam 6.40ptg sebab nak ambil adik ipar, Zah dan anak-anaknya untuk berbuka puasa bersama kami. Abah sempat beli kuih muih dan Zah bawa bubur lambuk. Marvelous! bubur Zah masak.

Kaum lelaki pergi terawih pukul 8.15mlm, tinggal saya dan mak dirumah. Zah abah hantar balik secara kebetulan abah nak bersolat terawih di surau bersama, Opiq, Azim, Akmal dan Opiq. Mak bersolat isyak dan terawih di atas, saya mengemaskan apa yang patut di dapur. Kemudian naik atas solat isyak dan terawih 8 rakaat.

Barulah dapat rehat sekejap. Azim balik dari surau bagi tau kawan dia yang kemalangan dekat simpang empat dekat rumah telah meninggal dunia petang tadi. Kematiannya diumumkan di surau. Terkedu saya sekejap. Simpati sesangat sebab semasa kemalangan saya nampak kejadian tersebut ketika balik dari kerja. Terkedu atas sofa kejap, budak ini sebaya dengan anak, rakan sekolah dan sebagainya. Banyak kali saya beristighfar.

Apa pun kita boleh merancang perjalanan hidup kita tapi Allah yang menentukan segalanya.

Al Fatihah buah Allahyarham Nasir.

Friday, September 4, 2009

CATATAN HATI NIK NUR MADIHAH


Memandangkan hari ni jumaat, rehat waktu pejabat agak panjang dari 12.15tgh sehingga 2.45ptg. Saya ambil kesempatan rehat yang panjang dengan membaca buku 'Catatan Nik Nur Madihah'. Banyak penceritaan dalam buku tersebut, dengan rasa kagum, ketabahan, keberanian dan nilai-nilai murni yang wujud dalam diri insan bernama Nik Nur Madihah. Keluarga dan para guru menjadi tunjang utama kejayaan dia, mungkin tanpa mereka dia pun tak boleh mencapai tahap sebegitu.

Kesempitan hidup yang menyesakkan nafas tidak pernah sekalipun mematahkan semangatnya untuk berjaya. Malah itulah azimat yang menjadi bekalan untuknya mengatur langkah, mencari permata yang tak ternilai harganya 'Ilmu'. Menyalin semula sebuah kamus dengan tulisan tangan sendiri kerana tak punya wang untuk membelinya. Sering berpuasa menahan lapar dan dahaga demi untuk menjimatkan belanja. Menahan keinginan hati untuk memiliki barang-barang sendiri. Bukan senang mencapai bintang. Namun, tiada yang mustahil dalam kehidupan. Kepada Allah dia menyandarkan harapan. Agar diberi kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan cabaran hidup. Semoga diberi kesempatan untuk membalas keringat dan jasa ayah bonda. Tekad si anak bukan mainan kerana di hujungnya adalah permulaan kepada sebuah kejayaan.

Buku ini sepatutnya menjadi inspirasi bagi setiap orang yang bergelar pelajardan ibubapa yang mempunyai anak. Diceritakan kisah hidup Nik Nur Madihah semasa beliau mencapai keputusan cemerlang di dalam UPSR sehinggalah selepas kejayaan besarnya di dalam SPM yang baru lalu. Kejayaan yang menggemparkan seluruh rakyat Malaysia tentunya.
Beberapa kali saya menitiskan airmata ketika membaca kesulitan hidup yang ditempuhi Nik Nur Madihah, seorang gadis pingitan di sebuah perkampungan nelayan yang serba kekurangan. Siapa sangka gadis pingitan yang nampak biasa ini adalah sebenarnya sebutir permata yang indah berkilauan. Ayah dan ibu Nik Nur Madihah yang bersemangat kental tidak pernah mengeluh malah melarang anak-anaknya menangisi nasib yang tersurat. Sebaliknya mereka mengajar anak-anak supaya sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah berikan.

Kata-kata hikmah yang selalu si ayah berikan ialah walaupun mereka miskin, mereka tidak sampai melarat, masih boleh mencicip makanan berbanding dengan orang lain yang ada juga tidak mempunyai tempat tinggal langsung, jadi kita harus bersyukur!
Cara didikan yang penuh keIslaman begitu mengkagumkan saya. Sedari kecil lagi beliau dilatih untuk mengamalkan solat dhuha, berpuasa sunat dan bangun malam mengerjakan tahjud. Saya boleh mengira dengan jari berapa kali saya menyuruh anak-anak saya bangun malam menunaikan solat sunat tahjud. Yelah, berapa banyak ibu bapa yang bersikap begini terhadap anak-anak. Rata-rata ibubapa mengambil pendekatan dengan menggalakkan anak-anak mereka supaya menghadiri seberapa banyak kelas tuisyen yang termampu, menyertai seminar motivasi cara menjawab soalan peperiksaan di samping menelaah pelajaran di rumah. Ada juga sesetengah ibubapa yang sampai terpaksa menunda kelas agama dan mengaji Quran anak-anaknya hingga selepas peperiksaan untuk mengisi masa tersebut dengan mengulangkaji pelajaran. Ada satu lagi senjata untuk meraih kejayaan hidup aitu selalu berdoa, berserah dan bertawakkal kepada Yang Maha Kuasa. Allah amat mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

Satu lagi rahsia kejayaan yang diceritakan oleh Nik Nur Madihah ialah mentaati kedua ibubapa. Bagaimana ketaatan kepada ibubapa boleh membantu kita berjaya dalam hidup. Sentiasa taat kepada ibubapa dan mendoakan kesejahteraan kedua-duanya. Jangan menyakiti hati kedua-duanya dan sentiasa mengalah walaupun ada kalanya terdapat perbezaan pendapat. Orang-orang begini selalunya dirahmati Allah.
Di saat meraih kejayaan cemerlang 19A1 dan 1A2 di dalam SPM, Nik Nur Madihah sekeluarga didatangi oleh berbagai pihak yang ingin mengucapkan tahniah mahupun melihat sendiri siapakah sebenarnya 'permata berkilauan' itu.

Sumbangan yang diberikan juga tak kurang hebatnya. Malah ada yang menaja sekeluarga ini menunaikan umrah dan mendirikan rumah baru untuk mereka. Di saat nikmat yang melimpah ruah ditaburkan kepada mereka, seharusnya mereka bergembira tetapi sebaliknya di dalam gembira mereka kerisauan. Ya.. kerisauan seandainya nanti mereka akan jadi sombong dengan nikmat yang diberikan. Mulia sungguh hati Encik Kamal sekeluarga. Di saat menikmati kegembiraan hidup mereka masih beringat untuk tidak alpa. Inilah satu contoh keluarga muslim yang terbaik. Di dalam suka mahupun duka sentiasa mengingati Yang Maha Mengetahui. Semua perkara yang terjadi dan bakal terjadi diserahkan kepada Allah. Semoga adik Nik Nur Madihah akan terus berjaya dan dirahmati Allah senantiasa.


Semoga apa yang dilakukan oleh Nik Nur Madihah menjadi contoh buat anak-anak dan anak buah saya semua. Buat Farhan, Aja, Miza, Dali, Azim, As, Akmal, Hakim, Nana, Acan, Hanis, Asha, Aishah, Iqa, Efa dan Arif .

Selamat berjaya buat insan bernama Nik Nur Madihah. Amin!

Tuesday, September 1, 2009

HANDPHONES NOKIA


Saya tengah mencari hp jenama Nokia baru untuk kegunaan peribadi. Dah puas search dalam internet dan cari di kedai tapi tak tahu nak buat pilihan. Nampaknya ada 2 pilihan Nokia E72 dan N5800. Pelbagai kegunaan memang Nokia N5800 lebih canggih dan efektif dan E72 nampak ensem sikit...ehehe

Takkan nak beli hp pun kena buat solat istiharah la pulak. Mana satu nih...