Nuffnang

Saturday, September 25, 2010

5 TAHUN BELUM HAMIL

Soalan :

SAYA sudah berkahwin selama lima tahun tetapi belum dikurniakan anak. Ketinggian saya adalah 156 sentimeter dan berat badan saya 76 kilogram.

Saya mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan anak, sama ada cara tradisional atau moden tetapi tidak berhasil. Saya juga pernah membuat rawatan permanian berhadas (IUI) sebanyak tiga kali tetapi tidak berjaya. Pada Julai lalu, saya melakukan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF). Pada Ogos pula, saya melakukan pemeriksaan darah. Doktor kata ia tidak berjaya dan memaklumkan masalah embrio kerana sperma suami saya tidak begitu sihat iaitu kurang aktif.

Adakah saya boleh mendapat anak daripada sperma suami yang kurang aktif itu dan bagaimana caranya? Adakah berat badan saya bertambah apabila mengambil ubat kesuburan? Adakah berat badan saya ini menyebabkan saya tidak boleh hamil? Bagaimana saya dan suami boleh mendapatkan anak daripada darah daging sendiri?

Jawapan :

DUA faktor penting mempengaruhi kesuburan dan kejayaan rawatan kesuburan (termasuk IVF) iaitu usia dan berat badan. Anda tidak menyatakan usia anda. Dalam menentukan berat badan yang sesuai untuk seseorang, terdapat kategori obesiti morbid, obesiti, berlebihan, ideal dan berkurangan. Dengan ketinggian anda, berat badan anda termasuk dalam kategori obes sedangkan berat badan ideal adalah antara 46kg hingga 60kg saja. Dulu, hanya kategori obesiti morbid dan obesiti dikaitkan dengan masalah kesuburan tetapi kini, kategori berat badan berlebihan juga didapati mengurangkan kesuburan seseorang wanita. Anda disarankan segera menurunkan berat badan kepada 72kg menggunakan kaedah pengubahsuaian diet dan senaman fizikal. Setelah ia dicapai, anda hendaklah meneruskan secara beransur untuk menurunkannya kepada 60kg.

Anda juga tidak menyatakan tahap "kurang aktif" sperma suami. Lazimnya apabila seseorang didapati boleh menjalani IUI, sperma pasangan lelaki boleh sama ada normal atau hanya sederhana lemah saja, lebih-lebih lagi anda dibenarkan menjalani IUI sebanyak tiga kali. Tambahan pula, pada hari prosedur IVF dilakukan, sperma pasangan lelaki akan diperiksa terlebih dulu. Sekiranya elok atau sedikit kurang elok, IVF akan diteruskan. Namun, sekiranya sperma didapati terlalu sedikit, lemah atau tidak normal (severe oligo/astheno/terato-zoospermia), IVF bukan lagi pilihan yang sesuai, sebaliknya akan diteruskan dengan kaedah ICSI.

Usah bimbang, peluang anda dan suami untuk mendapatkan zuriat sendiri ada, kecuali jika anda menopaus kelak ataupun jika suami tidak mempunyai sperma langsung. Anda harus faham, tidak semua (termasuk wanita yang subur) akan terus hamil sejurus selepas memulakan hubungan seks. Peluang kehamilan seseorang wanita untuk hamil pada sesuatu kitaran adalah sekitar 15 hingga 25 peratus saja, walaupun mereka tidak mempunyai masalah. Dengan bantuan rawatan kesuburan (walaupun menggunakan IVF), tiada yang menjanjikan peluang melebihi 80 peratus, apatah lagi 100 peratus.

Rekod kejayaan kehamilan dengan peratus yang tinggi lazimnya disertai juga dengan rekod pasangan yang mempunyai kembar yang tinggi. Kebanyakan pusat IVF antarabangsa mengekalkan kejayaan peratus kehamilan sekitar 30 hingga 40 peratus (yang sebenarnya dianggap sudah tinggi) dan pada masa sama, mengekalkan kadar kehamilan kembar pada paras yang rendah secara memasukkan hanya satu atau dua embrio saja.

Lazimnya pada sesuatu kitaran baru IVF, akan terdapat lebihan embrio yang dibekukan. Doktor hanya akan memasukkan satu atau dua embrio saja pada sesuatu kitaran, kadangkala tiga atau empat embrio akan dimasukkan bergantung kepada usia, sejarah kegagalan rawatan terdahulu dan pilihan pasangan terbabit.

Jika ada, selepas ini, anda boleh memilih untuk dimasukkan lebihan embrio beku ini terlebih dulu.

Pengambilan ubat kesuburan ada dikatakan menyebabkan penambahan berat badan, tetapi ini tidak semestinya malah ada yang mengalami penurunan berat badan.

Bagi diri anda, mengambil ubat kesuburan dalam dos yang sesuai dapat menambah bilangan telur matang pada kitaran terbabit, ini turut menambah peluang kehamilan. Jika tidak, anda harus bergantung kepada satu telur matang saja, itupun jika telur terbabit menjadi matang. Memandangkan sperma suami kurang aktif, anda juga memerlukan sekurang-kurangnya kaedah IUI, bukannya sekadar hubungan seks penetratif.

Di samping itu, teruskan pengambilan pil asid folik sebanyak sekurang-kurangnya 400 mikrogram setiap hari. Pengambilan pil multivitamin (yang mengandungi antioksidan) juga dikatakan menambah peluang kehamilan seseorang, eloklah untuk mengamalkannya.

Nota kaki : Bacalah bagi pasangan yang belum mendapat cahayamata. Usaha tangga kejayaan.

Kredit pada hmetro bagi pinjam sumber bahan bacaan.

No comments:

Post a Comment