Nuffnang

Friday, October 15, 2010

BAJET : RAKYAT PERLU UBAH MINDA

Kuala Lumpur - Rakyat mesti bersedia untuk mengubah minda serta bangkit menghadapi cabaran ekonomi baru, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata rakyat perlu bersama-sama berkongsi aspirasi negara dan memperlengkapkan diri dengan kemahiran serta pengetahuan bagi menyokong aktiviti bernilai tambah yang lebih tinggi.

"Untuk merealisasikan aspirasi negara, kita mesti memanfaatkan kelebihan kita sebagai sebuah masyarakat berbilang budaya, biodiversiti yang kaya, dilengkapi dengan infrastruktur yang terbaik serta asas-asas ekonomi yang kukuh," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam prakata Laporan Ekonomi 2010/2011 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata Malaysia kini berada pada fasa pembangunan yang amat penting dalam usaha transformasi menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

"Transformasi ini memerlukan usaha bersepadu yang menuntut langkah berani serta komitmen dan penyertaan daripada semua pihak bagi menangani cabaran utama seperti pelaburan swasta dan produktiviti yang rendah, kapasiti daya inovasi yang lemah serta kekurangan pekerja mahir," kata beliau.

Perdana Menteri berkata bagi merealisasikan transformasi itu, perubahan mesti dilakukan dengan melaksanakan langkah berani untuk mempercepatkan transformasi, memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti menerusi kreativiti, inovasi, menambah baik modal insan secara berterusan dan mengguna pakai teknologi terkini.

Kerajaan telah memulakan program transformasi nasional berteraskan empat tonggak iaitu 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10.

Kerajaan juga telah memperkenalkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara untuk meningkatkan pendapatan kasar negara kepada RM1.7 trilion dan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang 2020 menerusi perlaksanaan 131 projek permulaan.

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment