Nuffnang

Sunday, October 17, 2010

HOTEL KITA BERWAJAH KITA

Syukur Alhamdulillah, negara kita kini semakin tersohor sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan utama terutama sekali di kalangan pelancong asing. Perkembangan positif ini sesungguhnya memberikan khabar gembira buat seluruh penggiat industri pelancongan khususnya pengusaha hotel dan resort tanah air.

Rasa bangga terpatri di hati apabila dapat melihat industri pelancongan kita yang kian berkembang pesat dengan munculnya banyak hotel-hotel bertaraf antarabangsa di ibu kota. Lebih bangga lagi apabila hotel tersebut dimiliki dan diuruskan sendiri oleh 'orang tempatan'. Inilah yang dinamakan Malaysian Hospitaliti.

Baru-baru ini saya berpeluang untuk menginap di sebuah hotel di tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Sampai di lobi hotel berkenaan saya disambut oleh penyambut tetamu. Paras rupanya nampak asing. Dari segi percakapannya membuktikan dia bukan warga tempatan. Apa yang pasti dia adalah warga asing yang mungkin berasal dari Myanmar atau Vietnam. Di satu sudut yang lain pula kelihatan seorang pengawal keselamatan yang sememangnya berasal dari Bangladesh.

Saya terus sahaja mengusung beg saya untuk check in. Dalam perjalanan saya ke bilik, saya lihat ada beberapa orang pekerja pengemas bilik yang sedang sibuk berborak dalam bahasa Indonesia. Sudah pasti pekerja pengemas bilik itu berasal dari Indonesia.

Cerita ini tidak terhenti di situ sahaja. Pada sebelah malamnya saya sempat bersantai sambil minum kopi bersama rakan saya di coffee house hotel dan menyaksikan persembahan muzik 'live band'. Menurut salah seorang petugas di hotel itu, kumpulan pemuzik 'live band' tersebut datangnya dari Filipina. Saya juga difahamkan Pengurus Besar hotel berkenaan juga bukan orang tempatan. Bukan hotel itu sahaja malah kebanyakan hotel lebih gemar mengambil 'Mat Salleh' sebagai Pengurus Besar. Khabarnya jika 'Mat Salleh' jadi GM baru ada 'class' dan nampak internasional! Walau bagaimanapun saya ucapkan 'tahniah' kepada hotel tersebut kerana telah memenangi Anugerah Pelancongan Malaysia 2009 baru-baru ini.

Saya menarik nafas panjang, betulkah saya ini berada di Malaysia atau di luar negara. Hampir setiap sudut dan bidang tugas di hotel berkenaan diisi dengan pekerja asing. Ke manakah perginya pekerja hotel tempatan yang membawa imej 1 Malaysia?

2 comments:

  1. dah macam melancong dekat overseas

    ReplyDelete
  2. zaradgreat : mcm mana x kat oversea, yg keja pun dari oversea..heehe

    ReplyDelete