Nuffnang

Tuesday, November 9, 2010

DEKO RESTORAN BERASASKAN FILEM

Kali pertama mengunjungi restoran ini, mata bagaikan terpukau dengan dekorasi unik yang disajikan untuk tatapan pengunjung.

Menggunakan konsep kreatif dalam gubahan restoran, Bubba Gump merupakan restoran pertama yang berasaskan produk sesebuah filem.

Memperoleh inspirasi daripada filem terbitan Paramount Pictures yang dibintangi oleh Tom Hanks iaitu Forrest Gump, Bubba Gump Shrimp Co. (BGSC) yang terletak di pusat beli-belah, The Curve, bukan sahaja mampu memikat pengunjung dengan keindahan dekorasi yang dihias malah makanan yang ditawarkan juga pastinya membuatkan peminat-peminat udang terliur.

Memulakan pembukaan restorannya yang pertama di Monterey, California, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1996, Bubba Gump pantas mengembangkan sayapnya ke serata AS dan juga lokasi antarabangsa.

Kini ia mempunyai lebih 31 buah cawangan di seluruh dunia termasuk Indonesia, Mexico, Hong Kong, Filipina dan Jepun.

Di Malaysia, Bubba Gump dibawa masuk oleh anak syarikat automotif terkemuka negara, Kumpulan Naza, NZ Diners Sdn. Bhd., sebagai restoran ke-32 di seluruh dunia.

Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran, Rozila Abdul Rahman Wong, restoran Bubba Gump diyakini dapat memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai karisma Forrest Gump yang sebenar sambil menikmati makanan laut berkualiti.

Jelas beliau lagi, Restoran Bubba Gump di The Curve merupakan restoran pertama yang di buka di Malaysia manakala cawangan keduanya telah dibuka di Kompleks membeli-belah Sunway Pyramid dan ia merupakan yang terbesar di Asia.

''Restoran Bubba Gump di Sunway Pyramid mempunyai keluasan 836.1 meter persegi dan boleh memuatkan 300 pelanggan pada satu-satu masa manakala di The Curve pula memuatkan seramai 250 pelanggan.

''Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai restoran Bubba Gump terbesar di Asia,'' ujarnya.

Antara dekorasi berasaskan filem Forrest Gump yang diketengahkan termasuk foto, helaian-helaian skrip yang ditulis semula, papan cerita, kostum, gambar dan kasut untuk menambahkan keceriaan sesebuah restoran.

Restoran yang menawarkan hidangan gaya Amerika Selatan serta pengalaman menikmati makanan dalam suasana unik ini sudah pasti memberikan keseronokan kepada pengunjung untuk terus berada di Bubba Gump.

Bukan itu sahaja malah bagi peminat setia Forrest Gump, sebuah kedai jualan juga terdapat dalam restoran tersebut yang menjual seleksi barangan cenderamata, kemeja-T, baju panas serta barangan khas seperti rantai kunci dan topi.

''Yang pasti pengunjung Bubba Gump dapat menikmati makanan laut berkualiti dalam suasana yang kasual dan menyeronokkan,'' tambah Rozila lagi.

Restoran ini beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Ahad, mulai pukul 11 pagi hingga 12 tengah malam.

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment