Nuffnang

Wednesday, November 3, 2010

MERAPI BELUM TUNJUK TANDA KEMBALI NORMAL

Jakarta - Gunung Merapi meletus lagi hari ini dengan mengeluarkan guguran lava yang lebih kecil diikuti dengan semburan awan panas dan ia belum menunjukkan tanda-tanda akan kembali normal dalam masa terdekat.

Data dari Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK) Yogyakarta menyatakan bahawa sejak 12 tengah malam tadi hingga 12 tengah hari ini, lapan kali luncuran awan panas berlaku dengan jarak luncur yang relatif kecil antara 0.8km hingga 3.5km.

Guguran lava terpanjang adalah sejauh 1km dan semuanya mengarah ke selatan, ke Sungai Gendol, Cangkringan, Sleman, Yogyakarta iaitu arah yang sama dengan tiga kali letusan sebelum ini.
Petugas pengawasan Merapi di BPPTK Yogyakarta Purwoto menegaskan bahawa walaupun guguran lava dan awan yang muncul hari ini secara relatif adalah lebih kecil, namun status Merapi masih "awas", yang bererti aktivitinya belum reda.

"Aktiviti Merapi secara relatif masih sama, hari ini awan panas muncul lagi. Tadi pagi boleh diamati dari pos pengamatan, tetapi sekarang tertutup kabut," katanya.

Sementara itu, jumlah mangsa di pusat pemindahan di empat daerah sekeliling Merapi kini mencapai puluhan ribu dengan jumlah paling tinggi di daerah Sleman, menjangkau lebih 21,000.

Petugas Jabatan Perhubungan Awam Pejabat Daerah Sleman, Sriyanti Istipurnani, berkata pasca letusan 26 Oktober lalu, berlaku peningkatan jumlah penduduk di pusat pemindahan kerana mereka khuatir kejadian yang mengorbankan 38 orang pada hari itu akan berulang.
"Ramai warga yang tinggal di kawasan yang terdedah dengan bencana sekitar 10km dari Merapi, kini ikut pindah atas kesedaran diri. Mereka takut terkena kesan letusan," katanya.

Bagaimanapun, rata-rata penduduk tempatan dilihat meneruskan aktiviti harian seperti biasa pada siang hari dan pulang ke pusat pemindahan pada malamnya.

Sumber : Bharian.

No comments:

Post a Comment