Nuffnang

Tuesday, November 2, 2010

POKOK ANGGUR


Ramai yang kagum apabila mendapati laman sekangkang kera di kawasan perumahan dihiasi pokok anggur hijau dan merah yang berbuah bukan sekali dua setahun malah tidak putus-putus berbuah sejak ditanam.

Setiap tetamu yang datang mengemukakan pelbagai soalan malah tidak putus-putus menanyakan petua untuk memastikan anggur yang ditanam kekal hidup dan menghasilkan buah yang cantik dan boleh dimakan.

Itulah senario dihadapi Md Akhir Hanafi, ketika mula-mula menceburi penanaman anggur sehingga kini bergelar pengusaha tapak semaian anggur.

Menceritakan mengenai penanaman anggur, Md Akhir berkata, pada awalnya ramai yang mempunyai persepsi bahawa anggur sukar ditanam terutama untuk dijadikan pokok hiasan kerana ia tidak sesuai dengan cuaca dan suhu di negara ini.

“Persepsi itu betul, namun jika mengikut panduan dan cara yang betul tidak mustahil anggur menjadi hiasan utama laman kediaman sesiapa saja.

“Asas utama yang perlu di ambil kira sebelum memilih anggur sebagai tanaman hiasan adalah pemilihan biji benih. Ada dua perkara utama perlu di ambil kira sama ada memilih pokok anggur tahan kulat atau menyediakan persekitaran yang berbumbung lutsinar.

“Jika dua perkara ini diberikan keutamaan maka hasrat menjadikan anggur sebagai tanaman hiasan akan menjadi kenyataan,” katanya.

Ditanya keunikan anggur sebagai tanaman hiasan, katanya anggur sangat cantik untuk ditanam pada tepian pagar, pergola, para-para dan wakaf kerana menghasilkan gugusan buah yang berwarna-warni sama ada hijau, merah dan ungu, selain sifatnya yang menjalar dengan daun pecah lima yang unik.

“Satu lagi yang unik mengenai anggur, pokok ini mudah diasuh mengikut kemahuan pemiliknya. Lebih cantik ditanam bertingkat-tingkat di tepi pagar, menjalar tepian pergola serta diasuh membentuk seperti kerangka payung di laman kediaman,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berminat menanam anggur sebagai tanaman hiasan dinasihatkan mendapatkan benih yang terbaik dan tahan kulat.

“Bagi memudahkan kerja penanaman, beli saja anak benih daripada nurseri bunga berbanding menyemai biji benih atau keratan batang. Mengikut teknik yang betul, menyemai melalui keratan batang dan tut lebih mudah berbanding menyemai biji benih,” katanya.

Md Akhir berkata, hasil kajian yang dibuat hampir 10 tahun mendapati pokok anggur boleh hidup subur di negara ini disebabkan tiga faktor iaitu matahari, air dan tanah.

“Selain itu, pemangkasan adalah wajib untuk pembuahan, jika tidak pokok tidak akan berbuah. Pokok anggur, adalah tanaman yang semakin tua semakin menjadi kerana ia menghasilkan mutu buah yang baik. Dalam tempoh pembuahan pertama, hasil buah tidak berapa bermutu sehingga kita melakukan pembuahan sekurang-kurangnya tiga atau empat kali, barulah terhasil buah yang bermutu.

“Apa yang boleh saya simpulkan, anggur bukanlah satu tanaman yang aneh atau pelik malah satu perkara biasa dibuat di halaman rumah ataupun ladang dengan buah yang hebat dan manis,” katanya.

Nota kaki : Kita pun penah ada pengalaman menanam anggur, alhamdulilah pernah melihat proses pokok tersebut berbuah tapi rasanya agak masam.

Sumber : Bharian.

No comments:

Post a Comment