Nuffnang

Sunday, November 14, 2010

TEKO COMEL CIPTA KELAINAN

Susunan pelbagai jenis teko teh yang unik dan comel melengkapkan lagi gaya Inggeris restoran yang terletak di SS2, Petaling Jaya itu.

Sesuai dengan nama The Teapot Cafe, lebih 200 teko teh dengan corak dan bentuk berlainan tersusun rapi pada rak khas yang melekap di dinding di setiap sudut restoran.

Ada yang berupa haiwan comel, tidak ketinggalan bentuk buah-buahan dan sayur-sayuran, kenderaan, tas tangan, piano, sinki dan pelbagai lagi.

Tidak cukup dengan itu, teko teh yang lebih kecil dibingkai kemas menghiasi dinding utama. Itu belum lagi dikira teko yang digunakan untuk hidangan pengunjung yang bertandang ke restoran.

Kesemua koleksi teko teh itu dimiliki Pengasas restoran, Puan Sri Zaleha Arshad yang sangat meminati kraftangan dan kesenian Inggeris.

Menurut Pengurus Restoran, Herny Azura Malek yang mesra disapa Azura, kesemua teko tersebut merupakan koleksi kesayangan pengasas yang diperolehi daripada serata dunia terutama United Kingdom.

“Puan Sri selalu mengikuti suami bertugas ke luar negara. Dari situ dia mengumpul koleksi teko teh yang comel dan unik,” katanya.

Jelasnya lagi, peluang menetap lama di England digunakan sepenuhnya oleh pengasas untuk mempelajari kraftangan Inggeris seperti lukisan porcelain dan sulaman silang pangkah. Malah beliau kini turut membuka kelas lukisan porselein di bengkel miliknya yang terletak di Sungai Penchala.

Beberapa hasil seni Zaleha turut dipamerkan pada dinding restoran antaranya lukisan bunga mawar pada piring dan juga sulaman silang pangkah berupa teko teh yang kelihatan sangat klasik. Pada satu sudut, beberapa set teko teh dan cawan comel bercorak bunga Inggeris menancap mata memandang.

Kewujudan pelbagai jenis hiasan porselein turut melengkapkan gaya Inggeris restoran. Penggunaan kertas dinding berwarna krim keemasan di samping lantai berkayu menghasilkan satu nuansa klasik yang masih diminati ramai. Sinaran lampu malap dan juga cahaya dari chandelier Inggeris klasik mewujudkan suasana tenang restoran. Penggunaan kerusi panjang di bahagian tepi dinding membuatkan pengunjung berasa selesa seperti di rumah.

Menurut Azura, idea pembukaan restoran dicetuskan Zaleha sendiri berdasarkan minatnya yang gemar menghidangkan tetamu dengan pelbagai juadah air tangan sendiri.

“Beliau gemar mengumpul resipi dan mencuba sesuatu hidangan baru. Selepas itu beliau akan memanggil sahabat dan saudara untuk mencuba,” katanya.

Daripada situ, Zaleha mengambil keputusan membuka The Teapot Cafe sekitar tahun 1998 dengan hidangan Barat sebagai taruhan utama.

Menurut Azura, asalnya restoran itu terletak di tingkat atas bangunan sekarang dan di bawahnya bilik pameran batik yang diusahakan pengasas. Kini bilik pameran itu kami pindahkan ke Sungai Penchala yang turut menempatkan bengkel lukisan porcelain.

Menghidangkan menu fusion gabungan Inggeris dan tempatan, The Teapot Cafe terkenal dengan hidangan lebih 25 jenis teh Inggeris pelbagai perasa.

“Penggemar teh pasti tahu kualiti rasa jenama Dilmah dan Whittard. Apa lagi andai digandingkan bersama scone istimewa untuk set minum petang. Itu antara hidangan signatur kami,” katanya.

Selain scone yang enak dimakan bersama clotted cream dan jem strawberi, pai, kek keju, paf dan puding turut menjadi perhatian pengunjung kerana ia dimasak segar setiap hari.

Kata Azura lagi, semata-mata untuk menikmati scone istimewa The Teapot Cafe, ada pengunjung yang sanggup datang dari jauh untuk menikmati hidangan kegemaran mereka.

Selain itu hidangan tempatan seperti mee Hokkien, nasi lemak dan mee Bandung juga turut menjadi perhatian pengunjung.

The Teapot Cafe dibuka setiap Isnin hingga Sabtu bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam.

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment