Nuffnang

Monday, November 8, 2010

TOKYO DESTINASI PELANCONGAN SERBA LENGKAP



Kota kosmopolitan bertaraf dunia, aksi ranggi remajanya dan status bandar raya mahal dengan harga secawan kopinya mencecah RM31 sudah sinonim dengan tokyo. Namun, ibu negara Jepun ini juga kaya tarikan lain seperti keindahan bunga sakura, pelbagai muzium dan bangunan bersejarah, syurga beli-belah termasuk barangan elektronik, magis Disneyland Tokyo serta kelembutan rakyatnya.

Awal pagi di Tokyo, penulis bersama sembilan rakan yang mengikuti program kembara ilmu di Negara Matahari Terbit ini keluar dari Asrama Sakura di Asakusa dan menaiki kereta api ke Ueno Park, taman awam terbesar di ibu negara Jepun yang dibuka pada 1873 dan menjadi destinasi wajib dilawati.

Di Tokyo, apa yang menarik, begitu mudah mendapatkan cenderahati hasil kerja tangan penduduk seperti kipas lipat, terompah kayu, selipar getah, yakuta (baju tidur), kimono dan baju T beridentiti tempatan dengan harga amat berpatutan. Zon perniagaan Nakamise sekarang diperluaskan dengan kewujudan butik pelbagai jenama, kedai dan restoran.

Penulis sempat meninjau sekitar kawasan Asakusa dan di sepanjang satu kilometer Kappabashi Street, ada kedai menawarkan kelengkapan dan aksesori dapur termasuk keperluan untuk pengusaha katering dan restoran, Rox Department Store yang beroperasi 24 jam selain Matsuya Department Store.

Andai anda pencinta muzik, kunjungi Taikokan atau Muzium Dram yang mempamerkan pelbagai jenis dram dari seluruh dunia. Ada juga Muzium Kraf Tradisional menghimpunkan barangan tradisional Jepun seperti sikat, gunting, perabot, barangan perak, sulaman dan lain-lain tetapi demonstrasi penghasilan barangan kraf hanya diadakan hujung minggu.

Berhampiran Hostel Sakura dan bersebelahan Kuil Sensoji, ada Hanayashiki Amusement Park yang menawarkan pengalaman menarik menaiki roller coaster, ferris wheel mini, carousel dan space hot.

Pengunjung juga boleh ke Sumida Park, menghayati panorama indah Sungai Sumida yang boleh juga disusuri dengan perkhidmatan cruise.

Penulis berpeluang ke kawasan luar bandar Kagohara. Perkampungan dan ladangnya diurus penuh sistematik, bersih dan tersusun. Pemandangan sayur-sayuran hijau dan bunga sengkuang yang menguning amat memukau.

Jika bersama keluarga, pastikan anda singgah di Disneyland Tokyo yang menjanjikan pengalaman dan keseronokan buat kanak-kanak.

Bagi yang sukakan cabaran, bolehlah ke Gunung Fuji, namun ia hanya dibuka kepada pelancong pada pertengahan April, iaitu selepas musim sejuk berakhir.

Kembara ke Tokyo kali ini amat bermakna kerana selain perkongsian ilmu, penulis juga dapat menyaksikan sendiri masyarakatnya yang masih mengekalkan adab sopan orang Timur. Menariknya, anda boleh melancong tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong kerana segala maklumat terkini dan lengkap boleh dilayari melalui internet.

Sumber : Bharian.

No comments:

Post a Comment