Nuffnang

Monday, December 20, 2010

KAKI PENOREH BERLUBANG DI GIGIT BERUANG

Kaki kanan seorang penoreh getah berlubang apabila seekor beruang tiba-tiba menyerang lalu mengigit kakinya dalam satu kejadian di ladang rakyat di Bukit Jong, Jeli, lima hari lalu.

Mangsa, Osman Salleh, 35, yang masih dirawat di Hospital Tanah Merah (HTM) berkata kejadian itu berlaku kira-kira 4 petang Selasa lalu ketika dia dalam perjalanan dari ladang ke jeti untuk ke pekan berhampiran bagi membeli bekalan makanan.
"Sudah menjadi kebiasaan buat saya dan ayah, Salleh Mahmud, 72 tahun, untuk masuk ke kebun yang boleh dihubungi melalui bot dan berada di sana selama beberapa hari. Saya akan keluar ke pekan berhampiran apabila bekalan makanan kami habis.

"Bagaimanapun, Selasa lalu ketika saya dalam perjalanan ke jeti menaiki motosikal, enjin motosikal saya rosak menyebabkan saya terpaksa berhenti di tengah hutan. Tiba-tiba saya terdengar bunyi dengusan sebelum berpaling dan melihat seekor beruang setinggi tiga kaki sedang menuju ke arah saya," katanya yang menetap di Kuala Balah, Jeli kepada pemberita di HTM hari ini.

Katanya melihat kehadiran beruang yang menyinga seperti sedang marah, dia segera turun daripada motosikal.

"Beruang itu mengejar saya, lalu saya berlari mengelilingi motosikal. Bagaimanapun nasib malang menimpa apabila motor yang telah ditongkat sempurna terbalik menyebabkan beruang itu berjaya menerkam saya lalu menggigit kaki kanan saya," katanya.

Osman berkata dalam keadaan cemas itu, dia sempat mengambil sebilah parang yang disisip di pingganggnya dan berusaha menghayun ke leher beruang berwarna hitam dan berkepala putih itu.
"Mujurlah parang yang dihayun itu berjaya mengenai beruang menyebabkan dia melepaskan kaki saya lalu terus melarikan diri," katanya.

Bimbang beruang berkenaan muncul kembali, Osman sambil menahan kesakitan segera berlari ke jeti berhampiran dan menaiki bot ke pekan berhampiran.

Katanya seorang rakan yang dikenali sebagai Halim kemudian membawanya ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke HTM untuk rawatan lanjut.

Osman berkata dia kerapkali terserempak dengan beruang di kebun berkenaan bagaimanapun tidak menyangka kejadian itu akan berlaku kerana beranggapan beruang hanya menyerang manusia apabila dalam keadaan terancam dan marah atau ketika membawa anak.

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment