Seperti wanita lain, Ranbir berada di depan cermin tidak kurang 15 minit untuk menilik setiap inci wajahnya.
Ketika itu, dia tidak menyedari bahawa bukan hanya wajah yang perlu dipelihara, bahkan ada aset lain yang juga harus dititikberatkan tatkala merias diri iaitu payu dara.
Walaupun dia pernah mengesan satu ketumbuhan pada bawah payu dara sebelah kirinya, wanita berketurunan Punjabi itu tidak begitu gusar kerana pakar mengesahkan bahawa ia adalah benign iaitu ketumbuhan tidak berkanser.
"Saya masih tidak mengendahkan kepentingan melakukan pemeriksaan terhadap payu dara walaupun terdapat ketulan kecil yang dikesan pada tahun 1996," kata Ranbir, 49 kepada Kosmo!.
Imbas ibu kepada seorang cahaya mata itu, pada pertengahan Jun 2000, pakar telah mengesahkan bahawa dia telah menghidap kanser payu dara. Gempar dan gelap, ketika itu dunia Ranbir dirasakan sudah tidak bermakna lagi. Apa yang difikirkan oleh eksekutif kewangan di sebuah syarikat swasta itu hanyalah kematian.
Lebih menggawatkan situasi, saat doktor mendedahkan keputusan pemeriksaan itu, Ranbir tidak dapat menahan sebak kerana sedang mengandungkan anak keduanya.
"Ketika itu, kandungan saya sudah memasuki bulan pertama. Saya tidak dapat menahan perasaan kerana memikirkan bahawa bayi itu tidak mungkin selamat.
"Doktor menasihatkan saya agar melakukan pembedahan segera kerana kanser sudah menyerang dengan teruk," kata pekerja di syarikat Felda Engineering Services Sdn. Bhd itu.
Sangkaan bahawa beliau bakal kehilangan kandungannya ternyata benar apabila doktor menasihatkannya agar menggugurkan kandungan sebelum melakukan pembedahan kanser.
Biarpun berat untuk menurutinya, Ranbir akur kerana tindakan itu amat kritikal demi mengurangkan komplikasi pembedahan.
Namun, atas semangat yang diberikan oleh ahli keluarga, rakan-rakan, Ranbir mendapat sedikit keyakinan untuk terus melakukan pembedahan tersebut.
Hanya diiringi seorang anak saudara yang sedang menuntut dalam bidang perubatan, Ranbir disorong ke bilik pembedahan Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Ranbir bertarung nyawa selama enam jam di dewan bedah sebelum pakar berjaya mengeluarkan sejumlah ketumbuhan sebesar syiling lima sen daripada bawah lengan kirinya.
Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, pembedahan itu bukan pengakhiran kepada rawatan kanser tersebut. Dia perlu melalui sebanyak lapan kali rawatan kemoterapi dan 25 kali rawatan radiasi.
Setelah kali kedua melakukan rawatan kemoterapi, rambutnya mula gugur. Akhirnya beliau nekad membotakkan kepala supaya tidak kelihatan seperti orang sakit.
Setelah selesai lapan kali rawatan kemoterapi yang memerlukan beliau berada di hospital tersebut pada waktu tengah hari dan selesai pada pagi keesokan harinya itu, Ranbir perlu melalui proses rawatan radiasi di Hospital Pakar Damansara.
"Rawatan radiasi lebih ringkas. Setiap sesi hanya memerlukan saya melakukannya selama dua minit. Itu pengakhiran kepada rawatan penyakit saya," katanya sambil menjelaskan bahawa proses tersebut memerlukan pancaran radiasi dikenakan ke bahagian kanser bagi mematikan sel-sel tumor yang tinggal.
Sejak Mac 2001, dia menjadi seorang Ranbir Kaur Toor yang baru. Kesihatan ibarat satu anugerah yang tidak ternilai buat dirinya. Setelah sembilan tahun bebas daripada penyakit itu, Ranbir tetap menjadikan ujian susulan sebagai rutin bulanannya.
Tidak mahu diserang kesakitan lampau itu lagi, Ranbir komited menjaga aset wanitanya agar tidak diancam tumor berbahaya itu lagi.
Seumpama dilahirkan semula, Ranbir kini lebih mengambil berat tentang penjagaan kesihatan. melihat dari perspektif yang lebih luas, dia merasakan bahawa ada perjuangan lebih besar menantinya dalam kehidupan bermasyarakat.
Sambil meneruskan khidmat sebagai eksekutif kewangan, Ranbir tetap meluangkan waktu senggang dengan mengikuti aktiviti kempen pencegahan kanser payu dara yang dianjurkan Yayasan Pink Ribbon Deeds (Pride) sejak tahun 2006.
Selain itu, sejak tahun 2002, Ranbir turut menyertai Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA). Daripada penyertaannya dalam pertubuhan-pertubuhan tersebut, Ranbir secara tidak langsung dapat berkongsi pengalaman dengan masyarakat umum.
Dia mencurahkan masa dan tenaganya dengan menyertai sesi jelajah, perlawanan boling persahabatan antara pesakit serta menyampaikan kata-kata semangat dan motivasi buat para pesakit kanser yang lain.
"Pada bulan Oktober setiap tahun sempena bulan kanser payu dara, saya akan lebih aktif mengikuti siri jelajah di sekolah-sekolah dan pusat beli-belah.
"Saya akan memberikan penerangan dan demonstrasi mengenai kaedah yang betul untuk memeriksa dan mengesan ketumbuhan pada payu dara," katanya yang menjelaskan bahawa dia kini tidak perlu mengambil sebarang ubatan kerana didiagnosis sebagai pesakit kanser payu dara estrogen negatif.
Dari situ beliau dapat berkongsi pengalamannya sebagai bekas pesakit dan memberikan motivasi kepada pesakit-pesakit yang sedang melawan penyakit itu. "Saya sering menjadi tempat rakan-rakan untuk mendapat nasihat mengenai cara penjagaan dan ujian terhadap payu dara. Apa yang ingin saya nyatakan, sentiasalah melakukan ujian sama ada secara sendiri melalui cermin mahupun melakukan pemeriksaan mamogram di hospital," pesannya.
No comments:
Post a Comment