Nuffnang

Thursday, December 16, 2010

SENYUMLAH PADA KEJAHATAN ORANG

Salam 1Malaysia buat rakan-rakan blogger serta silent reader kita yang tersayang, moga pagi ini lebih baik dari semalam. Bangkit! bangkit! kita kena ada semangat yang kuat untuk memulakan tugas.

Sebaik mana pun anda, perkataan buruk akan tetap anda terima, sama ada anda sedari ataupun tidak. Lumrahnya kehidupan begitulah, tidak akan ada manusia bebas daripada diperkatakan. Apa yang diperkatakan itu mungkin baik, mungkin juga buruk.

Usah terlalu peduli dengan keburukan-keburukan yang disebarkan orang. Itu sudah semestinya tidak benar. Kalau ada yang benar pun, itu adalah sejarah silam yang anda telah lupakan.

Manusia memang suka mencungkil keburukan berbanding kebaikan.

Seperti mana seekor anjing, apabila ia menggigit seorang lelaki ia bukanlah berita, tetapi seorang lelaki apabila menggigit anjing ia adalah berita yang pasti menjadi rebutan pihak akhbar menyiarkannya.

Mengapa hairan dengan sikap manusia bercerita perkara buruk tentang orang lain. Sememangnya mutakhir ini wartawan tanpa tauliah dan tanpa gaji memang banyak di mana-mana. Tertawalah oleh kejahatan mereka sebab sebenarnya mereka sedang dibayar oleh dosa-dosa.

Mengapakah orang berbuat jahat terhadap anda? Mereka ingin lihat anda sedih, menangis, marah, mengamuk dan semua sikap-sikap yang tidak baik. Dengan itu mereka ada sebab untuk ketawa. Itu adalah temasya bagi si busuk hati.

Tapi andainya anda boleh senyum kalaupun tidak ketawa, anda sebenarnya telah menyebabkan mereka terjelepok. Mereka akan susah hati dan berasa payah sekali. Nah, mengapa hendak menangis oleh perlakuan jahat manusia sebaliknya bersikap tenang dan ketawalah, anda telah mengembalikan kesakitan kepada mereka.

Benteng pengubat hati

Benteng pertahanan diri kita adalah percaya pada diri sendiri. Anda percaya anda tidak sejahat yang mereka sangka dan sememangnya anda tidak jahat, itulah benteng terbaik pengubat hati. Apabila Allah diletakkan paling atas dalam kehidupan tiada apa-apa kejahatan yang mampu memusnahkan lagi.

Tidak perlu berasa sakit sebab kesakitan pada tubuh badan sudah cukup menyakitkan, tidak usah ditambah oleh sakitnya jiwa sebab kesakitan pada jiwa adalah kesakitan yang amat sangat. Ia sukar sembuh malah lebih mudah parah jika gagal merawatnya dengan baik.

Dalam hidup ini usahlah berharap semua orang menyukai anda, ramai juga yang tidak. Bukan ada sebab bahkan kadang-kadang anda tidak kenal pun mereka, tetapi mereka sangat benci dan dengki terhadap anda. Mengapa?

Usah hairan sangat. Ada kalanya kita sendiri pun begitu meluat dengan lagak sesetengah artis. Bukan setakat tidak minat malah berasa hendak muntah apabila dengar suaranya sahaja. Sebaliknya anda cukup minat dengan artis yang lain serta merasakan segalanya yang ada pada artis berkenaan betul lagi sesuai. Mengapa pada artis tadi anda benci sedangkan yang itu sangat minat pula? Apa sebabnya?

Anda sendiri tidak dapat menjawabnya bukan? Kebencian dan rasa minat datang begitu saja.
Begitulah orang terhadap anda. Bukan semua perkara baik yang anda lakukan akan menimbulkan rasa sayang, kadang-kadang tanpa sebab anda disayangi dan dibenci.

Hidup memang macam-macam. Usah bersedih oleh ketidakadilan yang terpaksa anda hadapi, ia sentiasa baik jika anda mengetahui hikmah sabar yang Allah sediakan untuk anda kelak. Usah lawan setiap serangan sebab sebenarnya itulah yang mereka kehendaki. Semakin anda berlawan semakin anda ditelanjangi, yang tidak-tidak akan terkeluar dan ini akan semakin mengusutkan keadaan dan anda juga yang akan berasa semakin sakit.

Terbaik, senyumlah dan ketawalah. Senyum dan ketawa akan memadam dengan sendirinya semua kesulitan.

Sumber : Mingguan Wanita

No comments:

Post a Comment