Nuffnang

Saturday, January 8, 2011

BANJIR DI KELANTAN SEMAKIN BURUK

Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk dengan bilangan mangsa banjir yang dipindahkan Jumaat malam meningkat kepada 1,008 orang daripada 866 petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata dua pusat pemindahan dibuka malam ini menjadikan 15 pusat dibuka sehingga kini berbanding 13 pusat petang tadi.

"Sehingga kini terdapat seramai 1,008 mangsa pemindahan membabitkan 266 keluarga ditempatkan di 15 pusat pemindahan di lima daerah iaitu Kota Baharu, Bachok, Pasir Mas, Tanah Merah dan Pasir Puteh," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata laluan yang ditutup kekal sebagaimana yang dilaporkan petang ini iaitu membabitkan daerah Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.

Jurucakap itu berkata laluan yang ditutup kepada kenderaan ringan ialah di Kilometer (KM) 3 Jalan Pengkalan Rakit (Pasir Mas), KM9 Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Pasir Mas), Jalan Pohon Tanjung-Meranti (Pasir Mas), KM3 Jalan Tendong-Bunut Susu-Gelang Mas (Pasir Mas), Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh (Tanah Merah) dan Jalan Cabang Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti (Tumpat).

"Manakala satu laluan yang ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah di Pasir Puteh iaitu KM2 Jalan Banir Belikong-Tasik Pauh," katanya.

Sementara itu, katanya, air di Sungai Golok masih bertahan di paras 9.9 meter, melebihi paras bahaya 9 meter, manakala sungai-sungai utama lain di Kelantan berada pada paras berjaga-jaga.

Sehingga malam ini Kelantan masih mengalami hujan renyai-renyai dan kadang kala lebat secara berterusan terutama di kawasan pedalaman.

Operasi menyelamat mangsa banjir turut melibatkan anggota tentera Batalion Ke 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Kem Pengkalan Chepa.

Pegawai Memerintah 21 RAMD, Lt Kol Marzuki bin Hj Mokhtar berkata rejimen itu telah mengaturgerakkan pegawai dan anggota ke kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti terjejas oleh banjir.

"Pihak kita turut sama terlibat sepenuhnya dalam Ops Murni bagi membantu mengeluarkan mangsa dari rumah kediaman ke pusat-pusat pemindahan," katanya.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir kini berkurangan apabila kawasan- kawasan dilanda banjir beransur baik.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu sehingga pukul 7.30 malam ini, seramai 774 orang mangsa berada di pusat pemindahan berbanding 1,093 petang tadi.

Katanya, di Hulu Terengganu terdapat seramai 367 orang mangsa yang masih berada di pusat pemindahan, Setiu (345 orang), Dungun (tujuh), Marang (lapan) dan Kemaman (47 orang).

Beliau berkata sehingga malam ini, sebanyak 22 daripada 49 buah pusat pemindahan yang dibuka tiga hari lepas, telahpun ditutup.

Katanya, semua jalan utama yang menghubungkan Terengganu-Kelantan Terengganu-Pahang masih boleh dilalui.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu memberi jaminan bekalan makanan untuk mangsa-mangsa banjir di negeri itu mencukupi.

Jurucakap jabatan itu berkata semua barangan keperluan mangsa-mangsa banjir telah dihantar ke pengkalan hadapan sejak sebulan lalu, katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong, Rozi Mamat ketika melawat mangsa banjir berkata, beliau berpuashati dengan pengurusan dan pengagihan keperluan kepada mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan.

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment