Nuffnang

Wednesday, January 5, 2011

KEISTIMEWAAN SATE IKAN

Penggemar makanan tradisional sate kini mempunyai pilihan menu baru yang lebih menarik dan memberangsangkan berbanding sate biasa di pasaran, iaitu sate ikan.

Sekali pandang serupa sate ayam tetapi apabila dimakan rasanya ikan, itulah sate ikan yang cuba dipopularkan seorang pengusaha di Melaka kepada penggemar sate.

Diperkenalkan kepada orang ramai melalui pameran anjuran agensi kerajaan di mana ramai yang terpegun apabila diberitahu sate yang mereka sedang nikmati adalah sate ikan.

"Betul ke ini sate ikan, nampak serupa sate ayam," kata Noraini Hamid, 40, yang dipelawa merasa sate ikan pada satu pameran di sebuah pasaraya di sini.

Noraini kemudian menyatakan kepada penulis "betul lah, memang rasa ikan, sedap" dan beliau seperti pengunjung lain turut memuji kreativiti pengusaha sate ikan itu.

Penulis yang berkesempatan menikmati sate ikan itu mendapati keistimewaan sate ikan itu terletak pada rasanya, keenakan rempah ratus yang menyerap ke dalam ketulan isi ikan.

TUAH SATE IKAN

Sate ikan dengan jenama "Tuah Sate Ikan" adalah projek di bawah bimbingan Jabatan Perikanan Negeri Melaka yang diusahakan oleh Hazlinda Hussain, 38, dari Batu Berendam.

Mula diperkenalkan Januari lepas, sate ikan yang menggunakan ikan air tawar seperti ikan patin, terus mendapat sambutan hangat daripada penggemar sate.

Menurut Hazlinda, semua jenis ikan sama ada ikan air tawar atau laut, sesuai untuk dibuat sate tetapi berat seekor ikan itu mesti melebihi 2 kg kerana ia mempunyai isi yang tebal.

"Kita perlu berhati-hati memotong isi ikan dalam bentuk kiub agar ia tidak hancur semasa dicucuk dengan pencucuk buluh sate," katanya yang memberi tumpuan kepada sate ikan air tawar.

Beliau berkata isi ikan yang sudah siap dipotong diperap dengan adunan rempah istimewa bagi menghilangkan bau hanyir sebelum dibakar menggunakan kayu arang.

"Saya mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk cuba membuat sate ikan, pada awalnya isi ikan yang sudah diperap sukar untuk dicucuk ... habis relai (hancur).

"Selepas beberapa kaedah dicuba dengan bimbingan Jabatan Perikanan barulah saya berjaya menyediakan sate ikan, yang ramai berpendapat sate ikan ini istimewa," katanya.

Hazlinda menyediakan sate ikan tersebut di Inkubator Pemperosesan Produk Perikanan yang disediakan Jabatan Perikanan Melaka di Batu Berendam di sini.

"Selain jualan sendiri, sate ikan ini juga dibekalkan kepada peniaga sate di sekitar negeri ini," katanya yang merancang menjadikan sate ikan dalam bentuk sejuk beku.

PRODUK SEJUK BEKU

Beliau berkata produk sate ikan sejuk beku yang mampu tahan lama boleh dipasarkan ke seluruh negara malah untuk pasaran eksport.

Mulai September lepas, sate ikan itu dipasarkan di sebuah premis tetap bersebelahan Jabatan Perikanan Melaka di Batu Berendam.

Beliau yakin sate ikan mempunyai pasaran yang cerah kerana ikan dimakan oleh semua kaum di Malaysia.

"Sate ikan ini yang mempunyai kelazatan yang tersediri, akan menjadi sate alternatif kepada penggemar sate yang tidak boleh lagi menikmati sate ayam dan daging kerana masalah kesihatan," katanya.

Beliau berkata bekalan ikan air tawar segar yang digunakan untuk membuat sate itu dibekalkan oleh pihak Jabatan Perikanan, yang turut giat mempromosikan produk perikanan.

Sumber : Bernama

3 comments:

  1. salam
    ayu nak cubalah
    sure sedap sate ikan nie

    kak, kebetulan ada satu tag..ayu nak tag akak...mai join yer

    http://ruhayurazali.blogspot.com/2011/01/jom-letak-blog-anda-di-bloglist-woot.html

    ReplyDelete
  2. Ayu..buatlah sate ikan tu..nnt akk tggl makan je...hehehe

    nnt akk masuk..kkdg x free jgk..

    ReplyDelete
  3. huhu, ingatkan yang jual seposen satu tuu....

    ReplyDelete