Koresponden Reuters di Tokyo, Elaine Lies berkongsi pengalamannya bersama pelancong yang mahu menikmati percutian menarik walaupun dalam masa yang singkat ke ibu negara Jepun itu.
Kembara tiga hari menyusuri sisi unik kota maju Tokyo boleh menjadi panduan kepada mereka yang ingin menjejakkan kaki ke sana.
Jumaat
6 petang: Menuju ke Yurakucho kawasan yang terletak berhampiran pusat beli-belah terkenal di Ginza, sambil menikmati makan malam di bawah laluan kereta api yang mengelilingi bandar di Yamanote Line.
Kawasan sekitarnya padat dengan restoran yang menawarkan hidangan Itali, Thai dan California yang menyelerakan. Jangan lupa mencuba kelazatan hidangan di Andy’s Shin Hinomoto yang terletak di seberang bangunan Yurakucho Denki.
Diuruskan oleh Andy, seorang rakyat Britain, Shin Hinomoto menawarkan menu seperti sashimi, kentang lenyek, tempura dan hidangan harian istimewa di ruang yang santai dan selesa. Jika ruang dalam restoran penuh, anda boleh menggunakan meja yang diletakkan di kawasan pejalan kaki sambil menikmati minuman dan stik.
8 malam: Berjalan di sekitar kawasan Ginza yang terkenal dengan butik-butik berjenama seperti Cartier di sepanjang laluan yang diterangi dengan lampu neon. Jika enggan membeli-belah, ambil teksi ke Shinjuku. Di Ginza, anda boleh menikmati minuman di bar Hotel Park Hyatt. Lokasi itu pernah menjadi pertemuan aktor Bill Murray dan Scarlett Johansson dalam filem Lost in Translation.
Sabtu
4.30 pagi: Acara lelongan tuna di Pasar Ikan Tsukiji antara tarikan pelancong yang datang ke Jepun. Bagaimanapun, sejak bulan Mei 2010 pasar basah itu mengehadkan hanya 140 orang pengunjung sehari.
Kehadiran mereka ke pasar itu kerana mahu menyaksikan acara lelongan ikan yang menggunakan konsep siapa cepat dia dapat. Acara lelongan bermula sekitar pukul 4.30 pagi di Pusat Informasi Ikan di Kachidoki iaitu salah satu laluan masuk ke pasar itu.
Lelongan pertama yang dihadiri oleh kira-kira 70 orang bermula sekitar pukul 5 pagi hingga 5.30 pagi dan seterusnya pada pukul 5.40 pagi hingga 6.15 pagi.
Walaupun acara lelongan menjadi tarikan utama pengunjung ke pasar basah, namun berjalan-jalan sambil melihat gelagat orang ramai dan peniaga di sekitar kawasan pasar juga satu pengalaman yang menyeronokkan.
Anda mungkin berpeluang melihat belut tiba-tiba melompat dari kotaknya, timbunan kerang dan ikan tuna besar yang dipotong dengan gergaji tajam.
8 pagi: Menikmati hidangan sushi sebagai sarapan pagi di mana-mana restoran yang berdekatan pasar. Walaupun agak gentar menikmatinya seawal pagi, namun kesegarannya cukup berbaloi.
9 pagi: Beratur di stesen kereta api bawah tanah Hibiya menuju ke Ueno dan Ueno Park, sebuah taman awam yang luas yang menempatkan tiga buah muzium. Jangan lepaskan peluang untuk melawat Tokyo National Museum, The National Science Museum dan National Museum of Western Art.
Berjalan-jalan di sekitar taman, apa kata ke Shinobazu Pond, kawasan dipenuhi bunga lili pada musim panas. Pada musim bunga, kawasan taman itu menjadi tumpuan pengunjung yang mahu melihat bunga ceri mekar dengan lebih dekat.
Anda juga berpeluang menjamu mata melihat gelagat sebenar orang Jepun yang lazimnya serius ketika makan dan minum, berpesta termasuk berkaraoke.
1 tengah hari: Menuju ke Asasuka, sebuah bandar lama yang dikelilingi kuil Budhha, Senso-ji yang dianggarkan berusia ribuan tahun.
Laluan dari kuil ke Nakamise-dori dengan tanglung gergasi di bahagian pintu gerbang dan disusun sebaris dengan kedai-kedai cenderamata yang terdapat di Asasuka. Kebanyakan kedai tersebut menjual makanan ringan tetapi ada juga yang menjual biskut beras yang boleh dicuba terlebih dahulu sebelum membelinya.
Ketika berjalan di laluan berhampiran kuil, jangan lupa singgah ke kedai-kedai cenderamata yang menjual kimono dan sebagainya. Jika berjalan di hadapan lagi, anda mungkin terhidu bau daging panggang.
Berhenti sebentar dan nikmatilah keenakan nikomi iaitu perut haiwan yang dimasak bersama sayur dan sos miso atau daging panggang yang dicucuk dengan lidi buluh. Menikmati hidangan di kawasan terbuka pastinya memberikan suasana santai.
3 petang: Menuju ke Sumida River yang terletak di bahagian Timur dan menaiki bot ke Hinode Pier. Sepanjang menyusuri sungai itu, anda akan menemui pelbagai pelbagai tempat menarik. Antaranya, Kokugikan, gelanggang perlawanan sumo dan melintasi banyak jambatan. Ia merupakan acara wajib yang perlu dilakukan ketika cuaca cerah.
6 petang: Anda berani? Jika ya, apa kata menikmati hidangan ikan buntal dikenali sebagai fugu di Torafugu Tei Monzen Naka-cho. Menikmatinya mungkin menyebabkan anda berdepan dengan kematian sekiranya ikan itu tidak dibersihkan dengan teliti.
Dijual pada harga yang berpatutan, ia merupakan hidangan hirisan-hirisan ikan nipis mentah yang digulung dan dihidang di dalam pinggan. Ia kemudiannya diakhiri dengan semangkuk bubur nasi dan sup fugu. Cuba nikmati minuman sake yang mempunyai perisa sirip fugu salai di dalamnya.
Ahad
10 pagi: Kepada yang mahu menikmati sarapan yang lewat, mungkin boleh ke Roti’s iaitu sebuah restoran ala California di Roppogi. Anda boleh mencuba menu seperti egg’s Benedict dan pai bluberi.
12 tengah hari: Teruskan kembara anda dengan mengunjungi kompleks Roppongi Hills yang futuristik dengan hanya berjalan kaki. Jika berkesempatan, singgahlah ke Mori Art Museum yang terletak di tingkat 54, di Mori Building.
2 petang: Menaiki kereta api bawah tanah dari Hibiya ke Akihabara yang terkenal dengan gajet-gajet elektronik. Di hujung jalan utama terdapat beberapa buah kedai kecil yang dipenuhi golongan to otaku atau kaki komputer dan komik.
Anda juga berpeluang melihat pelbagai senario pelik dan luar biasa. Antaranya kafe yang dipenuhi wanita yang berpakaian seperti watak dalam komik manga, misalnya pakaian pembantu rumah.
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment