Menghias rumah tidak berbeza dengan keghairahan pelukis menyempurnakan karyanya. Bertemankan berus dan warna sebuah karya hebat mampu dizahirkan, sama halnya dengan pemilik kediaman kreatif yang berupaya mengubah suasana kediaman menjadi ruang selesa, indah, harmoni serta seronok didiami.
Inilah ciri milik penerbit filem, Tini Arshad, yang menjadi antara insan kreatif yang bijak memanfaatkan ruang dengan keperluan. Menerusi konsep moden kontemporari yang mempertaruhkan perabot rekaan semasa berserta jalinan warna merah, hitam dan putih, kediaman jenis superlinknya itu bukan saja menarik dipandang tetapi turut mengutarakan karektor serta luahan rasa peribadinya.
Inilah ciri milik penerbit filem, Tini Arshad, yang menjadi antara insan kreatif yang bijak memanfaatkan ruang dengan keperluan. Menerusi konsep moden kontemporari yang mempertaruhkan perabot rekaan semasa berserta jalinan warna merah, hitam dan putih, kediaman jenis superlinknya itu bukan saja menarik dipandang tetapi turut mengutarakan karektor serta luahan rasa peribadinya.
“Saya memilih merah kerana percaya warna itu mampu membawa keceriaan seluruh ruang. Semoga semangat itu menyeludup masuk lalu menghidupkan seri ruang. Sementara, hitam dan putih adalah warna kegemaran yang tidak mungkin saya ketepikan. Bagi saya, kedua warna ini paling mudah disuaipadan dengan apa juga gaya penataan, kemasan dan perabot,” katanya melainkan bilik tidur dua anak lelaki, Ahmad Daniel,10 dan Ahmad Danish, 3, tidak menyelitkan sebarang warna lain yang dikhuatiri melanggar konsep tiga warna sedia ditetapkan.
Sesuai perwatakan kanak-kanak belum mencecah usia remaja, kamar tidur Ahmad Daniel dicat warna biru langit manakala bilik Ahmad Danish mengenakan gabungan coklat dan hijau yang diperlihatkan menerusi dinding, cadar dan bangku duduk.
Menyentuh pilihan perabot, Tini berterus-terang menyukai rekaan ringkas yang disifatkannya tidak memerlukan penjagaan terperinci selain tidak serabut dipandang.
“Ini juga antara faktor saya memilih perabot kontemporari. Reka bentuk ringkas dan menepati fungsi banyak menolong saya dari segi mengekalkan ruang yang bersih dan kemas. Maklum, saya seorang yang sibuk maka bukan selalu ada masa mengemas. Mengenangkan itu, rasanya lebih baik pilih perabot senang dijaga, ukuran besar selain mudah dibersihkan berikutan rekaan yang tidak menampilkan banyak keluk dan lekuknya,” katanya yang masuk tahun ketiga menetap di rumah berkeluasan 3.7 meter persegi x 6.5 meter persegi itu.
Sikap semula jadi yang sukakan suasana kemas dan teratur itu juga mempengaruhi pemasangan perekat hiasan di setiap jendela kaca serta lampu lekap pelantar tangga. Selain mengambil alih peranan langsir yang baginya hanya mengganggu matlamat mendapatkan suasana kemas, pemasangan perekat kata Tini lebih berbaloi kerana berupaya menjemput cahaya matahari masuk ke dalam rumah.
“Tingkap itu tinggi dan besar maka rugi jika ia ditutupi langsir. Jika diteruskan juga hasrat memasang langsir, saya khuatir ruang dalam rumah akan menjadi gelap sekali gus gagal menyerlahkan keceriaan warna dramatik hitam, merah dan putih yang saya pilih tadi,” ujarnya selain mengilhamkan sendiri penataan turut meneroka idea baru melalui pembacaan majalah serta menonton program televisyen berkaitan hiasan dalaman rumah.
Hasil susah payah Tini memerah idea serta keringat menghias rumah ternyata berbaloi apabila kediamannya itu kerap dijadikan lokasi penggambaran beberapa drama tempatan termasuk yang popular Ratu Cinta, Langsai dan Cinta si Bunga Tembam.
Mengulas lanjut, Tini memberitahu mungkin secara kebetulan gaya kontemporari yang ditonjolkannya sesuai dengan kehendak jalan cerita serta skrip diutarakan oleh drama berkenaan.
“Lagipun, lokasi kediaman ini strategik dengan pelbagai fasiliti menarik di sekitarnya. Saya akui faktor ini antara menarik minat saya untuk membeli rumah di kawasan ini selain tertawan dengan kedamaian serta kedudukannya yang jauh dari hiruk-pikuk kota. Bagi saya, ini tempat terbaik untuk membina rumah tangga dan membesarkan anak-anak,” katanya.
Bercerita mengenai perancangan akan datang, Tini yang gemar berbincang dengan suami, Pengarah Fotografi, Ramli Long berhasrat menyediakan ruang bersantai di kawasan tempat meletak keretanya. Di samping itu, terlintas juga di fikirannya untuk mengubah selera dengan mengecat baru seluruh dinding rumahnya itu.
“ Tengoklah dulu, kalau saya jemu dengan warna yang ada sekarang, saya mungkin akan mengecat seluruh rumah merujuk aliran warna popular. Namun, buat masa ini, jujur saya katakan, saya selesa dengan semua yang dimiliki kini,” katanya yang memperuntukkan aras tiga sebagai ruang khusus anak-anaknya bersantai, menonton televisyen dan beriadah.
Sumber : Bharian
No comments:
Post a Comment