Nurfaezah Mohd Tohid, 31, menghantar borang penyertaan dengan menyelitkan wajah comel anaknya, Muhammad Aiman Fitri Azrul Nizam, di sebuah pasar raya di Kota Damansara selepas tertarik dengan iklan yang ditampal.
"Saya memang sudah lama menggunakan marjerin Planta sebagai sapuan roti anak. Jadi, apabila ada penyertaan, saya menyertainya sekadar suka-suka.
"Bagaimanapun, sebulan lalu saya dihubungi pihak penganjur memberitahu bahawa Aiman terpilih sebagai salah seorang daripada 10 finalis dan kami diminta hadir ke majlis hari ini.
"Saya dan suami (Azrul Nizam Anuar) langsung tidak menjangka kemenangan Aiman sebagai Budak Planta yang baru tetapi kami sekeluarga tetap gembira dan bersyukur," katanya.
Dengan kemenangan itu, Muhammad Aiman menerima dana pendidikan bernilai sehingga RM10,000, sebuah komputer serta akan menghiasi produk marjerin Planta di pasar raya seluruh Malaysia.
Selain itu, sekolah Muhammad Aiman iaitu Sekolah Rendah Damansara Utama turut menerima tujuh komputer baru.
Pengurus Jenama Makanan, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd, Quah Seng Khie, berkata jenama marjerin popular itu sudah lama menjadi sebahagian daripada kegunaan harian keluarga di negara ini dan lebih daripada itu, ia turut menjadi bahan penting setiap musim perayaan.
Kata Quah, pencarian budak Planta baru adalah satu daripada empat inisiatif utama syarikat itu tahun ini.
Sudah menjadi tradisi pihaknya untuk memaparkan gambar seorang kanak-kanak pada pembungkusan produk dan untuk itu, penting untuk mencari personaliti ikon di seluruh negara tanpa mengenepikan pelanggan setia.
"Pencarian ini memang menyeronokkan dan kami menerima sambutan yang sungguh di luar jangkaan.
"Bagaimanapun, hanya 10 finalis yang disenarai pendek sebelum kami meneliti berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
"Akhirnya, tuah nyata milik Muhammad Aiman sebagai Budak Planta kami yang terbaru," katanya.
Selain pencarian Budak Planta, Quah berkata, pihaknya turut memulakan ekspedisi untuk mengumpulkan 80 resipi Planta yang paling asli dan tradisional dari seluruh negara.
"Tempoh 80 tahun yang dilalui adalah satu perjalanan hebat buat jenama jenama itu. Kami mahu berkongsi dan meraikan detik bersejarah dengan warga Malaysia menerusi koleksi resipi yang paling lazat dari seluruh negara.
"Ia akan menjadi satu pencapaian hebat jika kami berupaya mengumpulkan 80 masakan paling asli seperti ayam percik kampung Planta, kari daging ansar Planta dan gulai ikan masin terung dalam sebuah buku resipi mewah," katanya.
Pengguna yang menyumbang resipi kepada buku mewah itu akan diberi hadiah berbentuk wang syiling emas edisi khas dan sebuah buku mewah yang ditandatangani sebagai koleksi peribadi mereka.
Buku yang bakal menjadi buruan pengumpul resipi itu akan dijual di semua kedai buku MPH di seluruh negara pada harga RM29.90.
Sumber : Hmetro
No comments:
Post a Comment