Sejak dibuka pada 14 Februari tahun lalu, USS kini pantas meniti di pengunjung tempatan dan luar negara yang datang ke negara jiran itu.
USS yang terletak dalam kawasan Resorts World Sentosa (RWS) di Pulau Sentosa digambarkan sebagai taman tema terbesar di rantau Asia Tenggara setanding taman-taman tema Universal Studio yang terbaik di Hollywood (California), Orlando (Florida) dan Osaka (Jepun).
USS memiliki 24 permainan tunggangan dan tarikan dalam tujuh zon bertema - Hollywood, New York, Sci-Fi City, Ancient Egypt, The Lost World, Far Far Away dan Madagascar.
Harga-harga tiket untuk pas satu hari ke USS termasuk untuk semua permainan bergantung kepada hari biasa dan minggu.
Harga bermula dari S$66 (RM156) hingga S$72 (RM170) untuk dewasa, S$48 (RM113) hingga S$52 (RM123) untuk kanak-kanak berusia antara empat dan 12 dan S$32 (RM75) hingga $36 (RM85) untuk warga emas melepasi usia 65 tahun.
Pada masa sama, pengunjung diberikan baucer makanan percuma bernilai S$5 (RM11) dan baucer cenderamata bernilai S$5 (RM11).
Kalau ditanya pengalaman di USS ketika mengikuti lawatan Kelab Wartawan dan Jurugambar Johor Bharu baru-baru ini, hanya ada tiga jawapan di minda.
Seronok, hebat dan teruja. Bukan hendak mengagungkan produk pelancongan yang terdapat di negara jiran itu.
Namun USS menjanjikan taman tema yang padat dengan pelbagai aktiviti permainan, pertunjukan dan himpunan koleksi tarikan luar biasa.
Kalau tidak percaya, perhatikan apa yang terdapat di USS. Far-far Away Castle daripada filem Shrek, A Crate Adventure (Madagasdar), Ride The Movie oleh pengarah tersohor, Steven Spielberg dan roller coaster tertinggi dunia menerusi tema filem Battlestar Galactica (masih dalam kerja-kerja akhir).
Bukan itu sahaja, sebaik anda beratur panjang di pintu masuk utama USS, gelagat maskot watak animasi popular sudah mengundang perasaan untuk 'menakluk' taman tema itu.
Apa lagi, melepasi pintu masuk itu pengunjung tidak kira golongan kanak-kanak dan dewasa pantas mengambil kesempatan bergambar kenangan dengan maskot berkenaan.
Itu baru keseronokan di pintu masuk. Habis bergambar, maka bertempiaran pengunjung macam anak ayam kehilangan ibu apabila masing-masing berpecah mengikut tempat hiburan pilihan hati.
Banyak tempat menarik yang boleh dilawati selain bergambar dengan maskot watak-watak selebriti seperti Charlie Chaplin dan Marilyn Monroe yang ditemui sepanjang berkeliaran di dalam USS.
Justeru, masa yang diperuntukkan cukup berharga walaupun kaki lenguh berjalan. Lebih mengagumkan, pengunjung kadang-kadang tertipu dengan pemandangan luar bangunan yang dilihat biasa sahaja.
Padahal apa yang disediakan di dalam bangunan yang kebanyakannya menyamai bangunan Universal Studio di Los Angeles, Amerika Syarikat tidak terjangkau dengan akal fikiran.
Ada lagi rupanya aktiviti permainan yang disediakan di dalam bangunan tertentu seperti menaiki roller coaster di dalam kegelapan sambil diusik oleh 'hantu-hantu' jadian.
Di luar jangkaan :
Jika ingin merehat badan dan minda seketika di USS, jangan melepaskan peluang menonton animasi pendek berserta kesan khas 4-D menerusi Shrek 4-D di bangunan Istana Far-far Away.
Sesekali pengunjung terkejut dan menjerit apabila terdapat semburan angin dan air di muka selain kedudukan tempat duduk yang bergerak mengikut jalan cerita.
Bagi yang menggemari aktiviti lasak, arahkan perjalanan anda ke Jurassic Park Rapid Adventure di The Lost World.
Di sana juga, ada lagi persembahan yang menanti pengunjung untuk menyaksikan 'drama' aksi-aksi perang yang di luar jangkaan.
Aksi hebat yang dipaparkan membuat lidah kelu seperti dentuman letupan bom, kemunculan bot laju dan kapal perang, tembakan dan lompatan lagak ngeri.
Namun pengunjung perlu berhati-hati memilih tempat duduk kerana anda akan basah lencun jika memilih duduk di kawasan hadapan.
Dan pertunjukan yang paling membuatkan anda terpinga-pinga dan terkedu apabila menyaksikan pertunjukan kesan khas filem menerusi Lights, Camera, Action! Hosted by Steven Spielberg di New York.
Pengunjung hanya mampu berpandangan sesama sendiri sebaik tamat pertunjukan. Cukup memukau dan sekali lagi di luar jangkaan apabila menonton aksi kapal dagang ketika hujan ribut yang tiba-tiba keluar menghampiri pengunjung.
Sememangnya waktu pantas berlari apabila berada di USS yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Apa yang dinikmati di sana menghadirkan tautan kenangan yang tidak boleh dilupakan. Biarpun riak wajah keletihan, masing-masing tetap terhibur dan seronok apabila rasa berbaloi seharian berada di USS.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment