Nuffnang

Thursday, May 26, 2011

SAH TIADA LELAKI ASID DI SELANGOR

Desas-desus mengenai dua ‘lelaki asid’ mencari mangsa baharu di Selangor adalah khabar angin semata-mata.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, ada dakwaan kes simbah asid berlaku di One Utama dan Kota Damansara, Petaling Jaya, tetapi setelah disiasat, ternyata berita itu tidak benar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama dengan penduduk di Bandar Puteri, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias dan Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Puteri 11, Puchong, Selangor, Alice Choo.

Menurutnya, setakat ini, polis hanya menerima satu kes simbah cecair melibatkan detergan yang dilaporkan di Ampang, pada Mac lalu.

“Saya minta orang ramai jangan mudah percaya dengan khabar angin itu. Bagaimanapun, mereka perlu berhati-hati untuk elak kejadian tidak diingini,” katanya.

Sejak Februari lalu, 23 kes dilaporkan berhubung kejadian simbahan cecair menyerupai asid di sekitar Lembah Klang.

Jumaat lalu, seorang kakitangan wanita sebuah bank berusia 28 tahun yang menaiki kereta Proton Persona disimbah cecair berwarna merah oleh seorang lelaki bermotosikal ketika memandu di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur.

Cecair itu, bagaimanapun, tidak terkena mangsa kerana wanita itu tidak menurunkan cermin kenderaannya ketika kejadian.

Ditanya berhubung pendekatan rondaan berkuda yang dilakukan pihak polis, Tun Hisan berkata, rondaan itu hanya dijalankan di kawasan tertentu dan bergantung kepada faktor cuaca.

“Rondaan berkuda memudahkan polis melihat persekitaran dengan lebih dekat dan jelas berbanding menaiki kereta peronda ataupun motosikal.

“Masyarakat akan nampak polis meronda di kawasan mereka. Ia juga tidak mengganggu dan menggugat keselamatan orang ramai kerana kuda berkenaan memang dilatih,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment