Nuffnang

Friday, June 10, 2011

GLOBAL : KAGUM DENGAN SEMANGAT PENYELIDIK MATAHARI TERBIT


Sikap orang Jepun yang memang rajin dan kuat bekerja sering diperkatakan masyarakat dunia. Mereka juga amat mementingkan masa dan jika dibandingkan masyarakat Eropah dan Amerika Syarikat, orang Jepun sangat menepati masa dan nilai budaya ini yang menyebabkan bangsa serta negara itu lebih maju.

Peluang sekumpulan mahasiswa kejuruteraan kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Program Pengalaman Penyelidikan Mahasiswa Bersama Profesor di Osaka University, Jepun berjaya membuktikan segala-galanya, malah meningkatkan rasa kagum kami terhadap nilai positif masyarakat Jepun yang bukan sekadar omongan kosong.
Teruja dan bimbang, itulah perasaan yang mampu digambarkan mahasiswa terbabit apabila dikhabarkan peluang menyertai program di bawah Global Outreach UTM yang cukup memberi makna dan manfaat sebagai mahasiswa.

Kunjungan mereka ke Osaka University bermatlamat merasai sendiri pengalaman belajar dan melakukan kerja penyelidikan mengenai pelbagai cabang baru dalam bidang kejuruteraan kimia.

Sama ada secara individu atau berkumpulan, masing-masing digandingkan dengan 10 profesor terpilih yang juga penyelidik universiti berkenaan.

Mereka ialah Prof Tatsuki Kitayama, Prof Ken-Ichi Fukui, Prof Kazunari Ohgaki, Prof Jun Miyake, Prof Takeshi Naota, Prof Kazushi Mashima, Prof Norikazu Nishiyama, Prof Hiroshi Miyasaka, Prof Yoshito Tobe dan Prof Michio Matsumura.

Biarpun masalah komunikasi menjadi cabaran utama sepanjang program bersama penyelidik, ia sama sekali tidak mematahkan semangat mereka dan profesor terbabit kerana masing-masing berusaha untuk memahami antara satu sama lain selain memastikan apa yang cuba disampaikan mencapai matlamatnya.
Bagi Nurul Akmaliah Hussin dan rakannya, Nur Syafiqa Hazirah Razali, mereka digandingkan bersama Prof Fukui di bawah kumpulan Surface Chemistry bagi mendalami bidang yang masih dianggap baru di UTM iaitu teknologi nano.

Banyak pendedahan dan pengetahuan diraih khususnya mengenai cabang berkaitan Nanostructures on Oxide Catalysts and Model Surfaces selain mendalami kajian penyelidikan yang dijalankan Prof Fuki di makmal.

Kemajuan teknologi di makmal universiti berkenaan sukar ditandingi kerana ia cukup canggih dan terkini selari dengan perkembangan pembangunan penyelidikan yang dilaksanakan khususnya dalam bidang Electrochemical Frequency Modulation Atomic Force Microscopy, Reflection-Absorption Infrared, Spectroscopy, Field Emission Scanning Electron Microscope, Transmittance Electron Microscope and others.

Pengalaman ini cukup penting sebagai persediaan menjalankan projek ijazah mereka selain pada masa sama mempelajari budaya kerja orang Jepun yang cukup mementingkan disiplin dan masa.

Perasaan sama turut diluahkan Noorul Shafika Misbah dan Nurafiqah Saadon yang menyifatkan program itu cukup memberi kesan kepada diri mereka sehingga lebih bersemangat untuk mendalami bidang pengajian masing-masing.

Apatah lagi merasai pengalaman bersama penyelidik luar negara yang begitu bermurah hati dan sanggup berhabis-habisan untuk membantu mereka menjalankan penyelidikan singkat di universiti berkenaan.

Bersama Prof Nishiyama, mereka diletakkan di bawah Kumpulan Reaction Engineering Group: Inorganic Films and Membranes dan peluang sekali dalam seumur hidup itu tidak disia-siakan, malah di hati terdetik rasa bangga apabila mampu bersama-sama pakar luar negara berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam bidang terbabit.

Biarpun tempoh berada di Osaka University hanya seminggu, kejayaan program kerjasama penyelidikan UTM dan Osaka University itu wajar dibanggakan kerana perkongsian pengetahuan dan kepakaran diperoleh mampu dimanfaatkan demi kecemerlangan kedua-dua universiti.

Muncul sebagai peneraju penyelidikan dalam bidang sains asas dan perubatan, Osaka University ialah institusi pengajian tinggi (IPT) awam keenam tertua di Jepun.

Kecemerlangan universiti itu ditingkatkan menerusi tiga misi utamanya, iaitu pendidikan, penyelidikan dan pembabitan sosial berasaskan mottonya Live Locally, Grow Globally.

Usaha muncul sebagai universiti bertaraf global dimantapkan menerusi penggabungan universiti itu bersama Universiti Pengajian Antarabangsa Osaka pada Oktober 2007.

Kini memiliki 11 sekolah pengajian, 15 sekolah pengajian siswazah, 28 institut penyelidikan serta kemudahan pendidikan dikongsi bersama tiga kampusnya, iaitu Suita, Toyonaka dan Minoh, Osaka University turut menggalakkan pelajar serta penyelidik terus menyerlah dalam bidang kepakaran masing-masing, sekali gus berkembang di arena antarabangsa.

Sumber : Bharian

No comments:

Post a Comment