Nuffnang

Friday, July 1, 2011

SUAMI DAN ISTERI ORANG DITANGKAP KHALWAT

Seorang suami ditangkap khalwat bersama wanita lain sewaktu isteri dan anaknya balik ke kampung bercuti untuk beberapa lama.

Pasangan berkenaan ditangkap penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Kluang di sebuah rumah teres di Taman Sri Kluang kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

Kadi daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, pasangan berkenaan ditangkap sewaktu mereka sedang berdua-duaan di rumah berkenaan dan atas maklumat daripada orang awam serta penguatkuasa JAJ, mereka bertindak menangkap pasangan terbabit.

“Pasangan berumur 29 tahun berkenaan adalah suami dan isteri orang yan juga pekerja kilang.

“Dipercayai mereka adalah rakan satu sekolah dan wanita berkenaan rapat dengan lelaki terbabit ekoran wanita ini ada krisis rumah tangga dengan suaminya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, disebabkan mempunyai krisis rumah tangga mereka melakukan khalwat sewaktu isteri lelaki berkenaan tiada di rumah.

Mohd Khalil berkata, tangkapan yang dilakukan adalah operasi mencegah maksiat dalam daerah ini yang dijalankan penguatkuasa JAJ, malam kelmarin.

Tangkapan Kedua

Dalam operasi sama, JAJ menangkap seorang duda anak empat bersama pasangannya, anak dara berumur 30 tahun.

Mohd Khalil berkata, duda berkenaan berumur 42 tahun ditangkap di sebuah rumah di Kampung Sri Lukut lebih kurang jam 2.15 pagi, kelmarin.

“Pasangan berkenaan ditangkap penguatkuasa JAJ di rumah duda berkenaan yang juga rumah kampung dan mereka adalah pekerja kilang di kawasan Kahang,” katanya.

Menurutnya, dalam kes berkenaan kedua-dua pasangan akan ditahan di bawah seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana berkhalwat.

Mohd Khalil berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Saya juga mahu mewar-warkan kepada orang awam sekiranya ada aduan berkaitan kes maksiat di kawasan mereka diharap dapat menghubungi talian bebas tol kami di talian 1 800 88 3072.

“Malah, sekiranya ada aduan, kami akan merahsiakan maklumat peribadi mereka yang memberi maklumat kerana apa yang kami mahu adalah mencegah dan membanteras maksiat daripada terus berlaku khususnya di daerah ini,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment