Nuffnang

Monday, August 15, 2011

GADIS ULAR

Uitsss! Seramnya tak berani kita pegang ular. Ishhh2 berani sungguh anak dara ni ya. Cuba baca kisah gadis ini.

Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di sini, boleh disifatkan lain daripada yang lain apabila ‘bersahabat’ dengan ular tedung selar sepanjang 6.7 meter berusia 28 tahun digelar ‘Abang Joe’.

Siti Rodziah Mohd Khair, 17, Kampung Kenor, di sini berkata, dia menjadikan ular tedung selar dipelihara penangkap ular, Mohd Hamdan Mahadi, 25, sebagai teman sejak tiga bulan lalu selepas menonton satu persembahan ular oleh Mohd Hamdan di Kuala Krai.

Katanya, ketika menonton persembahan itu, bapa tirinya, Abd Rahim Jaafar, 36, mencabarnya mencium ular berkenaan.

“Saya memang sukakan aktiviti lasak dan saya terus menyahut cabaran yang diberikan.

“Pada mulanya perasaan takut menguasai diri kerana tidak pernah berdepan dengan reptilia berbisa, tetapi dengan tunjuk ajar daripada Hamdan, saya berjaya mencium ular berkenaan,” katanya.

Menurut Siti Rodziah, selepas persembahan itu Mohd Hamdan bertanya kepadanya sama ada mahu belajar bermain ular dan dia memberikan persetujuan selepas mendapat kebenaran daripada bapa tirinya.



“Pada malam itu juga, saya ditemani ayah dan Mohd Hamdan memulakan latihan pertama di padang Sekolah Menengah Vokasional Kuala Krai.

“Sejak daripada itu, saya tidak ada masalah untuk memegang, malah mencium ular tedung selar dan saya mula mengikuti setiap persembahan yang dibuat Mohd Hamdan. Saya juga sering mengikut Mohd Hamdan menangkap ular jika menerima laporan daripada penduduk walaupun terpaksa bangun daripada tidur pada jam 3 pagi,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, antara pengalaman tidak dapat dilupakan ialah terpaksa ditahan di wad selama tiga hari selepas dipatuk ular kapak.

Katanya, kejadian berlaku apabila dia cuba menangkap reptilia berkenaan selepas ada penduduk melaporkan reptilia itu masuk ke dalam rumahnya.

“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi saya apabila reptilia itu mematuk tangan saya, tetapi saya segera minum air masak bagi menawarkan bisa ular sebelum dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. Menurut Siti Rodziah, dia merancang untuk membuat pertunjukan solo tidur bersama ular berbisa di Johor pada Oktober nanti selepas ada individu yang sanggup menanggung kos perbelanjaan untuk pertunjukan itu.

“Memandangkan kini saya aktif membuat persembahan bersama Hamdan sehingga ke luar Kelantan, ada individu yang bersetuju untuk menanggung kos bagi membolehkan saya membuat persembahan solo dengan tidur bersama ular berbisa.

“Jika tiada halangan, pertunjukan itu akan diadakan di Johor pada Oktober nanti dan saya akan mencuba mencipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records,” katanya.

Sumber : Hmetro


2 comments:

  1. saya pegang tu boleh la, tapi kalau nak bela2 tu taknak lah...

    ReplyDelete
  2. gadisBunga : Eiii...brani ya pegang...akk bg duit banyak mana pun xpelah...huhuhu

    ReplyDelete