Nuffnang

Saturday, August 6, 2011

MESEJ MANUSIA, ALAM SALING MEMERLUKAN



Dekorasi indah ruang dalaman berupaya menzahirkan suasana yang anda impikan jika kena dengan gaya penataan dan persekitaran. Berada dalam kediaman yang nyaman, selesa dan tampil privasi untuk segenap ruang tentunya mencipta kedamaian berbeza.

Melengkapi keunikan itu, Treehouse antara tarikan di Dusun Garden Fairies, Sungai Jerang, Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor khususnya anda yang gemarkan suasana berlatarkan desa.

Binaan batu-batuan semula jadi membentuk anak tangga menuju ke Treehouse itu melonjakkan lagi perasaan ingin tahu.

Sementara idea mewujudkan tandas dengan dekoratif menarik tidak kurang hebatnya untuk menarik perhatian sebaik melewati Treehouse.





Merentasi anak tangga kayu yang dibina khas untuk sampai ke Treehouse itu sebenarnya memberikan pengalaman penuh makna kepada penulis.

Treehouse adalah lokasi penginapan yang diperbuat daripada kayu asli merentasi beberapa pokok buah-buahan yang tetap dikekalkan kedudukan asalnya.

Uniknya binaan Treehouse membabitkan penggunaan sepenuhnya material kayu kukuh hingga menginspirasikan suasana kehidupan desa asli.

Menurut pemiliknya, Haimizan Hamid, 48, idea mewujudkan kediaman sedemikian tercetus kerana inginkan suasana desa sebenar sentiasa berada di depan mata.

“Tidak dinafikan suasana desa berupaya memberikan ketenangan semula jadi yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.





“Senario indah dan mendamaikan itulah cuba kami terap kembali untuk tatapan semua khususnya generasi muda,” katanya yang sering menghabiskan masa berkunjung ke Dusun Garden Fairies ketika hujung minggu jika ada kelapangan.

Penulis sendiri sebenarnya amat kagum dengan binaan Treehouse itu kerana idea yang diketengahkan penuh kelainan selain dekat dengan alam.

Sebaik melangkah kaki ke Treehouse itu, suasana berada dalam kediaman sendiri benar-benar dirasai.

Ditambah dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang sesekali bertandang ternyata menyamankan suasana.

Kehadiran dua kerusi santai berasaskan rotan membuatkan suasana petang atau pagi anda lebih bermanfaat.

Latar dekorasi yang dirancang teliti bukan sekadar memanfaatkan ekosistem pokok sedia ada malah turut menjanjikan sistem pengaliran udara sempurna.

Lengkap dengan lantai kayu, aksesori hiasan dan kemasan langsir menarik hakikatnya memperlihatkan kesinambungan alam dengan manusia.

Jalinan akar pokok yang melilit sebahagian tiang Treehouse itu bagaikan menyampaikan mesej manusia dan alam saling memerlukan.

“Dalam memberikan sentuhan berbeza ruang tidur ini menawarkan sudut keindahan tanpa batasan dengan reka letak kelambu yang membawa anda bagaikan mengimbau kembali nostalgia di desa.

“Aspek keselesaan turut diberi perhatian utama dengan katil praktikal dan ruang yang luas untuk beristirahat bersama keluarga,” katanya.





Tidak ketinggalan ruang tidur dan perpustakaan turut diwujudkan di tingkat atas untuk menambahkan keselesaan sesiapa saya yang menginap.

Kewujudan jendela di kiri dan kanan ruang tidur membenarkan pemandangan desa di luar sana dapat diintai.

Ketika melangkah ke anak tangga kayu yang dibina khas menuju ke tingkat atas, penulis kagum dengan idea rekaannya kerana terbukti kukuh.

Sekali lagi mata terpukau dek keindahan semula jadi yang berada di depan mata.
Kali ini lebih jelas dan saujana indah itu dapat dilihat sepenuhnya dari tingkat atas Treehouse tanpa halangan.

Terdetik di hati betapa istimewa dan agungnya alam ciptaan Tuhan yang menggamit suasana desa penuh kedamaian.

“Keunikan inilah yang mendorong kami untuk menawarkan pakej penginapan menarik kepada sesiapa saja yang berminat.

“Rasai sendiri pengalaman berada di Treehouse ini kerana suasananya berbeza dan jarang ditemui di tempat lain,” kata Haimizan yang turut mendapat sokongan padu isteri tercinta Anies Arienna Tan Abdullah, 45.

Itulah antara keistimewaan yang ada di Dusun Garden Fairies yang saban waktu sentiasa menerima kunjungan untuk percutian atau majlis pertemuan keluarga.

Layari www.gardenfairies.com.my untuk sebarang keterangan lanjut.

Sumber : Hmetro

No comments:

Post a Comment