Nuffnang

Tuesday, August 16, 2011

MUHASABAH EJA

Di kala segelintir artis masih sibuk di lokasi penggambaran pada Ramadan ini, lain pula kisahnya dengan pelakon jelita, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja, 39. Isteri dan ibu kepada seorang anak itu selesa memilih untuk cuti rehat dan bersama keluarga. Bagi Eja, sudah memadai selama 11 bulan dalam setahun dia aktif berlakon. Justeru, tempoh sebulan berpuasa ini, adalah wajar untuknya melupakan seketika kesibukan karier dengan memanfaatkan Ramadan sebaik mungkin untuk bermuhasabah diri.

Katanya, ditambah lagi pahala yang dijanjikan Tuhan pada bulan mulia ini sangat banyak dan berganda. Jadi, rugi jika peluang dan ruang diberikan oleh sang pencipta kepada hamba-Nya dibiarkan begitu saja. Lagi pun, Ramadan hanya muncul sekali setahun.

“Jadi, saya memang tak mahu lupakan tanggungjawab pada Tuhan dan inilah masa untuk kejar semula apa yang sudah tertinggal dulu. Saya mahu melengkapkan diri dengan bekalan akhirat selain meluangkan masa bersama suami dan anak di rumah.

“Saya selesa masa yang ada ini diisi dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Kalau

di lokasi, solat lima waktu pasti tak terurus. Mekap dan bersiap pun ambil masa lama dan tentunya cukup terikat dengan waktu kerja.

“Justeru, meninggalkan karier buat sementara adalah pilihan saya setiap kali Ramadan. Apapun, sepanjang 15 tahun dalam karier lakonan hanya satu atau dua kali saja saya terpaksa ada di lokasi. Itu pun kerana penggambaran dibuat sebelum Ramadan.



“Namun, menerima tawaran berlakon dalam bulan Ramadan tidak sama sekali. Biarpun, ada tawaran diberikan tetapi saya akan menolak secara baik bersandarkan alasan tersendiri. Setakat ini, syukur pihak produksi ditolak itu memahami,” katanya.

Bersua dengan Eja pada majlis berbuka puasa Go Cell International Sdn Bhd yang menampilkannya sebagai duta produk syarikat itu Jumaat lalu, dramatis mendapat jolokan ‘ratu bulu mata palsu’ ini kelihatan anggun menawan dengan imej bertudung.

Apakah Eja juga membuat keputusan berubah imejnya? Ditanya kepadanya, sambil tersenyum Eja berkata tak dinafikan menutup aurat itu hukumnya wajib. Bagaimanapun, penampilannya ini sekadar menghormati majlis pada bulan Ramadan.

“Penampilan ini hanya mengikut syariat Islam dan tidak wajarlah jika saya berpakaian kurang sopan atau tak sepatutnya untuk hadir

di majlis seperti ini. Tetapi, insya-Allah mana tahu kalau Tuhan memberi seru pada saya untuk kekal bertudung.

“Apapun, dalam usia saya yang akan mencecah 40 pada tahun depan, memang saya akui ada berniat juga hendak kekal bertudung suatu hari nanti. Namun, saya takkan melakukan perubahan drastik kerana ditakuti niat tidak ikhlas dan kerana orang lain.

“Saya yakin akan bertudung suatu hari nanti apabila benar-benar sudah bersedia. Mungkin, saya akan mulakan dengan berselendang dulu pada awal penampilan dan selepas itu bertudung terus. Apa yang pasti, ketika itu hati saya ikhlas melakukannya.

“Penting untuk ikhlas berubah dari hati dan jiwa supaya penghijrahan dibuat berkekalan. Saya juga yakin, apabila menutup aurat sebenarnya memberikan lebih keyakinan diri. Justeru, biarlah Tuhan menentukan dan saya cuma harap yang terbaik,” kata Eja.

Berbicara mengenai karier, Eja berkata pada Ramadan dan Aidilfitri ini dia akan muncul dengan enam telefilem istimewa iaitu Demi Tuhan Ku Izinkan, Pelita, Satu Permintaan dan Cinta dari Kaabah disiarkan di Astro. Manakala, Lailatul Qadar (TV3) dan Masih Membara Cintaku (RTM).

Sumber : Hmetro


No comments:

Post a Comment