Nuffnang

Sunday, October 24, 2010

530++ SPESIS HIDUPAN LIAR DI ZOO MELAKA

Melaka - Zoo Melaka kini memiliki kira-kira 1,340 hidupan liar dari lebih 530 spesis, kata pengarahnya Ahmad Azhar Mohammed. "Daripada lebih 530 spesis ini, kira-kira 10 peratus merupakan spesis terancam," katanya kepada Bernama pada majlis penutupan Minggu Hidupan Liar 2010 di zoo itu di Ayer Keroh.

Beliau berkata antara spesis terancam tersebut yang boleh disaksikan pengunjung ialah panda merah, tapir, banteng iaitu dari spesis lembu, harimau dahan, harimau kumbang dan harimau belang. Ahmad Azhar berkata Zoo Melaka turut membiak hidupan liar terutama dari spesis terancam. "Sejak ditubuhkan pada 1987, Zoo Melaka membiak lebih 80 ekor harimau belang," katanya.

Beliau berkata menerusi program pembiakan tersebut, zoo berkenaan sentiasa mengadakan program pertukaran haiwan dengan zoo lain seperti Zoo Negara dan Zoo Taiping serta Zoo Singapura dan Zoo Omaha, Amerika Syarikat. "Zoo Melaka pernah menghantar harimau belang ke Zoo San Diego Zoo dan Zoo Omaha di Amerika Syarikat dan Zoo Melbourne di Australia.

"Sementara haiwan yang kita terima pula seperti wilderbeast daripada zoo di Afrika dan panda merah daripada zoo di China," katanya. Zoo Melaka bermula sebagai pusat transit hidupan liar pada tahun 1963 dan menjadi zoo setelah dirasmikan pada 1987.

Negara kini mempunyai lebih 185,000 spesis hidupan liar dan kira-kira 250 daripadanya merupakan spesis terancam.

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment