Nuffnang

Thursday, October 7, 2010

MALAYSIA DIPUJI

Guadalajarag - Kesediaan Malaysia berkongsi pengalaman memajukan teknologi komunikasi dan maklumat terutama kejayaan negara dalam membangunkan ICT di luar bandar dan kawasan terpencil dengan negara anggota, amat dihargai oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Setiausaha Agung ITU, Dr. Hamadoun Toure berkata, Malaysia merupakan rakan kongsi utama ITU khususnya menerusi Usaha Sama Multilateral Antarabangsa Menentang Ancaman Siber (IMPACT), sebuah organisasi perkongsian awam dan swasta pertama di dunia yang tidak berasaskan keuntungan bagi menentang ancaman siber, yang beroperasi di Cyberjaya, Malaysia.

Katanya, lebih 60 negara anggota kesatuan itu, terutama negara membangun, menyertai program itu bagi memastikan ruang siber adalah selamat untuk dilayari khususnya bagi kanak-kanak.

"Kami amat menghargai sumbangan Malaysia terutama dalam aspek menyediakan tenaga pakar dalam bidang seperti menyediakan akses ICT di kawasan luar bandar dan terpencil yang mana Malaysia telah berjaya laksanakan," katanya kepada Bernama dan RTM dalam satu temu bual eksklusif sempena Persidangan Plenipotensiari ITU di sini pada Selasa.

Toure berkata, Malaysia telah berjaya membangunkan ICTnya, dan ICT menjadi agenda utama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bersedia berkongsi pengalaman dengan negara-negara membangun yang lain.

Memuji Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk kenyataan dasarnya pada Selasa, Toure berkata, Rais telah memberi penekanan terhadap isu-isu utama ICT dan juga isu yang dihadapi dunia seperti keselamatan siber di mana Malaysia merupakan rakan kongsi utama ITU dalam mempromosikan kerjasama menentang ancaman siber, terutama melalui IMPACT.

Beliau berkata, Malaysia juga adalah antara negara utama mewujudkan kandungan ICT dan masyarakat bermaklumat di mana seluruh warga dunia boleh akses kepadanya.

Ditanya mengenai gesaan Rais agar ITU mengkaji semula peranan dan perlembagaannya untuk melindungi masyarakat daripada penyalahgunaan ICT, Toure berkata, isu itu harus digalas oleh semua negara dengan sama-sama meletakkan rangka kerja perundangan untuk menanganinya, dan setiap kerajaan dari seluruh dunia harus memberi keutamaan terhadap isu ini.

Katanya, ITU sedang bekerja keras untuk menjalin kerjasama dan membiayai projek untuk menyediakan ruang siber yang selamat dan terjamin untuk semua.

Nota kak : Alhamdulilah kita dapat berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada pada orang lain.

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment