Nuffnang

Monday, November 8, 2010

ABANG JEM


Tidak ramai penghibur yang dianugerahkan bakat pelbagai seperti dirinya. Jika ada sekalipun yang pandai menyanyi dan berlakon, belum tentu seseorang itu mampu berlawak di hadapan orang ramai secara spontan.

Itulah kelebihan yang ada pada seniman yang sangat dikagumi ramai, Salih Yaacob. Di mata sebilangan besar masyarakat, Salih seorang anak seni yang sangat luar biasa. Dengan anugerah menyanyi, berlakon, mengacara, berlawak dan menjadi penyampai radio, dia menempa kemasyhuran. Sebetulnya juga, pakej seni yang ada pada Salih juga jarang benar ada pada mana-mana artis masa kini.

Sama ada kita sedar atau tidak, personaliti yang cukup sinonim dengan panggilan SY atau Abang Jam ketika mengendalikan segmen pagi di stesen radio Sinar FM sudah lama aktif di gelanggang seni. Diam tak diam, tahun ini genap 30 tahun Salih menjadi anak seni.

Selama tempoh itu juga pelbagai momen indah dan sebaliknya yang terakam kemas dalam sanubarinya. Pada satu pertemuan dengan media pada majlis meraikan 30 tahun bersama Salih Yaacob dalam industri di Restoran Subak, Sungai Penchala, Kuala Lumpur baru-baru ini, Salih mengumumkan, sudah tiba masanya untuk dia berundur dari bidang seni.

Katanya, dia sudah menyedari hakikat bahawa sudah tiba masanya dia bersara daripada kerjaya yang selama ini menjadi punca utama periuk nasinya.

"Saya ingin menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Glamor sudah lama saya harungi dan semua orang sudah kenal siapa Salih Yaacob," kata Salih yang dikenali ramai sebagai seorang yang sangat peramah.

Bagaimanapun, seniman ini berpendapat, proses persaraan itu tidak akan dilakukan dalam waktu yang terdekat. Sebaliknya, dia harus melengkapkan dirinya dengan perancangan masa depan terlebih dahulu.

Buat permulaan ke arah melalui proses persaraan itu, Salih menjinakkan diri dalam bidang perusahaan ikan Arwana (Selebriti Arwana) di Bukit Merah, Perak.

"Daripada mula-mula bergiat dalam seni pada awal tahun 1980-an dulu hingga kini semuanya saya sudah merasa. Justeru, saya mahu berundur kerana mempunyai rancangan lain dengan perniagaan.

"Tahun depan umur saya pun dah mencecah 50 tahun dan andai masih dalam industri ini mungkin saya memilih berada di belakang tabir pula," jelas Salih mengenai perancangannya.

Abang Jam kini sebenarnya cukup gembira apabila khidmatnya sebagai penyampai di stesen radio nombor satu negara, Sinar FM diterima ramai. Biarpun pada awal kemunculannya, dia pernah dikecam hebat membawakan 'watak' lelaki hidung belang dan karakter Mak Neng.

Namun, segala kritikan dan kecaman itu kini membantu memikat pendengar memulangkan hasil yang cukup memberangsangkan.

"Berkhidmat bersama Sinar FM bagi saya satu anugerah. Dalam lingkungan penyampai radio yang sedia ada saya salah seorang yang memenuhi ruang kosong. Dan dalam 'kekosongan' saya menerima tugas ini, saya menganggap ia sebagai peluang terbaik untuk saya mendekati pendengar.

"Alhamdulillah, apa yang saya cuba lakukan sejak empat tahun lalu memang berhasil sehinggakan apabila sehari saya tiada di konti peminat mula bertanya ke mana saya menghilang," kata Salih lagi.

Sumber : Utusan.

No comments:

Post a Comment