Nuffnang

Friday, November 12, 2010

TIDAK DAPAT TAHAN EMOSI BERI GAMBARAN MAYAT AMINURASHID

Seorang pegawai forensik polis tidak dapat menahan emosi semasa memberi gambaran di Mahkamah Sesyen di sini mengenai kedudukan mayat remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak pada April lalu.

Pegawai penyiasat dari Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Cif Inspektor Mazli Jusoh @ Che Kob dilihat menyeka air mata sewaktu memberi keterangan hari ini sebelum memohon untuk berhenti rehat selama lima minit bagi menenangkan dirinya.

"Seorang pegawai penyiasat kanan memberitahu saya mayat telah dialihkan oleh anggota unit kereta peronda dan kemudiannya telah diperiksa oleh pihak ambulans.

"Saya berpendapat, kedudukan mayat telah dialihkan dari kedudukan asal dan mayat pada masa itu dalam keadaan amat menyedihkan apabila saya...,'' katanya dalam keadaan sebak sehingga tidak dapat meneruskan kata-kata.

Sebaik sahaja mahkamah berhenti rehat seketika, saksi pendakwa ke-25 itu terus keluar dari bilik bicara dan menuju ke bilik air.

Dalam kes ini, Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Dalam keterangannya, Mazli memberitahu, beliau melihat muka Aminulrasyid dalam keadaan tersembam di tempat duduk pemandu dengan darah mengalir keluar daripada hidung, manakala badannya berada di luar kereta.

Dia yang tiba di tempat kejadian pada pukul 3.20 pagi, 26 April lalu kemudiannya bertindak menggerakkan mayat yang hanya berbaju T dan berseluar pendek itu bagi meletakkannya dalam kedudukan yang lebih baik.

"Saya mengambil keputusan untuk meletakkan mayat dalam keadaan lebih baik kerana siasatan saya mungkin mengambil masa yang lebih lama. Saya tidak mahu keadaan mayat itu berterusan sehingga selesai kerja saya,'' jelas beliau.

Menurut Mazli, beliau membuat siasatan di tempat kejadian pada hari pertama berhubung kes seorang anggota polis menembak remaja yang memandu kereta serta cuba melanggarnya secara berundur.

Walaupun keadaan gear kereta didapati berada pada huruf R, katanya, tiada sebarang kesan kenderaan itu berundur dijumpai pada tayar kanan depan dan belakang.

Beliau turut berpendapat kereta Proton Iswara bernombor pendaftaran BET 5023 dipandu laju pada malam kejadian berikutan ia mampu memanjat tebing semasa terbabas selain melanggar tong sampah sehingga rodanya tercabut.

Hasil pemeriksaannya, katanya, sebutir kelongsong peluru ditemui di atas rumput pada jarak kira-kira lapan kaki dari kereta tersebut.

''Keempat-empat tayar kereta itu dalam keadaan pancit. Kerosakan pada kereta tidak begitu teruk. Tiada cukai jalan pada cermin hadapan kereta.

''Sebutir anak peluru terkeluar daripada tayar belakang semasa proses pengalihan motokar dari tempat ia tersadai,'' katanya menerangkan mengenai proses forensik yang dijalankan pada 26 April itu.

Bagaimanapun, saksi itu kembali sekali lagi ke tempat kejadian dua hari kemudian selepas mendapat maklumat bahawa ada dua orang penembak pada malam kejadian.

Dalam siasatan itu, Mazli menjumpai tiga kelongsong peluru dan dua serpihan peluru di atas jalan tar di Bulatan Kayangan.

Sementara 12 lagi kelongsong peluru dijumpai di atas jalan tar, di atas rumput dan di dalam longkang sekitar Jalan Tarian 11/2 dan Jalan Tarian 11, Seksyen 11 di sini.

Sebelum ini, ahli kimia, Shaari Desa mengesahkan tembakan telah dilepaskan daripada dua sub-mesingan Heckler & Koch MP5 yang didaftar keluar atas nama Jenain dan Konstabel Mohd. Izham Mahayadin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd. Tahar bersambung pada 22 November ini.

Sumber : Utusan.

No comments:

Post a Comment