Nuffnang

Friday, December 3, 2010

GADIS TEMPATAN DI PIKAT JADI KELDAI DADAH MELALUI FACEBOOK

Sindiket pengedaran dadah antarabangsa dari Afrika dikesan menggunakan laman sosial Facebook untuk menjerat gadis tempatan menjadi keldai dadah di luar negara.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem (gambar) berkata, siasatan oleh kementerian itu mendapati kumpulan itu bertindak licik dengan menawarkan upah lumayan jika gadis kenalan mereka bersetuju untuk membawa dadah.

"Kebanyakan mangsa dijerat melalui Facebook kerana ia merupakan medium untuk mendapatkan kenalan baru.

"Gadis yang menjadi mangsa menjalinkan hubungan persahabatan melalui rangkaian itu dengan warga Afrika," katanya selepas menemui peserta Program Zamalah Kewartawanan Antarabangsa yang dianjurkan oleh Institut Media Malaysia, di sini hari ini.

Program itu dihadiri oleh 20 wartawan antarabangsa dari Filipina, Indonesia, Uzbekistan dan Mongolia.

Menurut Richard, isu keldai dadah antarabangsa harus ditangani secara bersama kerana ia bukan hanya melibatkan Malaysia dan Asia Tenggara, tetapi juga negara-negara di Asia Tengah, Asia Timur dan Mongolia seperti yang dilaporkan Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa.

Menurutnya, selepas bersahabat dengan mangsa melalui Facebook, sindiket itu akan menawarkan ganjaran lumayan kepada mangsa seperti pakej percutian ke China, Jepun dan juga Amerika Selatan serta memberikan wang belanja berjumlah ribuan ringgit untuk digunakan semasa bercuti.

"Mangsa seterusnya diminta untuk bertemu 'rakan' yang akan menjadi pemandu pelancong mereka ke destinasi yang ingin dikunjungi dan kebanyakan mereka terdiri daripada warga Nigeria dan Afrika Selatan," katanya.

Menurut Richard, gambar yang disediakan oleh anggota sindiket itu kepada gadis yang diperangkap untuk membawa beg berisi dadah bukanlah lelaki kacak sebaliknya kebanyakannya adalah lelaki kulit hitam.

Pada bulan lepas, satu tinjauan antarabangsa mendedahkan bahawa rakyat Malaysia merupakan antara yang paling ramai mempunyai kawan di rangkaian sosial itu dan menghabiskan masa sembilan jam setiap hari untuk melayari Facebook.

Mengulas mengenai tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah itu, Richard berkata, satu program mingguan akan diterbitkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk memupuk kesedaran golongan muda supaya berwaspada terhadap kegiatan sindiket berkenaan.

"Kita mempunyai slot di RTM mengenai isu yang membabitkan golongan belia dan menekankan perlunya mengamalkan sikap berhati-hati apabila berkunjung ke luar negara.

"Masalah keldai dadah menjadi semakin kritikal apabila seramai 785 daripada 1,560 rakyat negara ini yang ditahan di luar negara merupakan keldai dadah dan 149 daripada adalah wanita.

''Seramai 70 daripada mereka telah dijatuhi hukuman mati kerana mengedar dadah sejak 1991," katanya.

Kes terbaru membabitkan Christina Luke Niju, 22, dari Sabah yang merupakan penuntut tahun akhir sebuah politeknik di Sarawak yang ditahan di Lapangan Terbang Meilan, China bersama 1.4 kilogram dadah bulan lepas.

No comments:

Post a Comment