Nuffnang

Wednesday, December 15, 2010

HAKIM SYARIE DIPENJARA 10 TAHUN

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shapie dihukum penjara 19 tahun dan denda RM210,000 atau penjara 42 bulan selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun Hassan Basri, 56, yang menjadi hakim syarie pertama didakwa atas tuduhan rasuah hanya perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana tiga daripada hukuman tersebut berjalan serentak.

Hakim Tan Hooi Leng menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes tersebut.

"Mahkamah tidak dapat menerima keterangan bahawa bayaran yang diterima oleh tertuduh adalah bayaran hutang kerana ia tidak disokong oleh keterangan saksi, rakaman perbualan, video atau dokumen.

"Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas semua pertuduhan,'' katanya dalam penghakiman ringkas beliau.

Pertuduhan pertama, Hassan Basri dipenjara tiga tahun dan denda RM15,000 atau penjara tiga bulan kerana meminta suapan RM3,000 daripada Mohamad Imran Abdullah.

Ia didakwa sebagai dorongan melepaskan ikat jamin kepada pemilik pub, Yoong Hor Kit berhubung lima kes jenayah syariah di Restoran Wawa, Tambun, pukul 8.15 malam, 15 Ogos 2007.

Pertuduhan seterusnya, tertuduh menerima hukuman yang sama kerana menerima wang suapan itu daripada Mohamad Imran dalam sebuah kereta di Taman D.R. Seenivasagam, di sini pada pukul 3.25 petang, 6 September 2007.

Kedua-dua hukuman berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan.

Pertuduhan ketiga pula, Hassan Basri dipenjara lima tahun dan denda RM100,000 atau penjara 20 bulan kerana meminta suapan wang RM20,000 daripada Hor Kit melalui Mohd. Sharif Abdul Ghani bagi mengurangkan hukuman dan memulangkan wang ikat jamin berhubung lima kes jenayah syariah.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Bangunan Menembak Perak, pukul 8.30 malam pada 7 Ogos 2006.

Tuduhan keempat pula, Hassan Basri dihukum penjara lima tahun dan denda RM50,000 atau penjara 10 bulan kerana menerima suapan itu sebanyak RM10,000 daripada Hor Kit.

Hukuman bagi kesalahan ketiga dan keempat berjalan serentak selepas selesai hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Tuduhan kelima, tertuduh dipenjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara dua bulan kerana meminta suapan RM1,100 daripada Mohamad Imran bagi membantu Mohammad Asri Abu Bakar berkahwin dengan Nor Farihan Hassan tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

Bagi tuduhan keenam, Hassan Basri menerima hukuman yang sama kerana bersetuju menerima suapan RM1,100 daripada Mohamad Imran bagi mengeluarkan surat perintah kebenaran berkahwin kepada Mohammad Asri untuk membolehkannya berkahwin dengan Nor Farihan tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta bernombor pendaftaran BFN 9060 di tepi Hotel Hill City di sini pada pukul 6 petang, 17 Ogos 2007.

Hukuman bagi kesalahan kelima dan keenam berjalan serentak selepas selesai hukuman bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

Bagi pertuduhan ketujuh, Hassan Basri dipenjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara dua bulan kerana bersetuju menerima suapan RM1,100 daripada Mohamad Imran untuk mengeluarkan surat kebenaran berkahwin kepada Mohd. Jefri Afandi Ahmad tanpa melalui prosedur yang sah di dalam sebuah kereta bernombor BFN 9060 di tempat letak kereta Taman D.R. Seenivasagam, di sini, pukul 3.20 petang, 6 September 2007.

Hukuman tersebut berjalan secara berasingan dari hukuman-hukuman lain.

Peguam bela T. Shan yang mewakili tertuduh memohon supaya pelaksanaan hukuman penjara itu ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai.

Hakim Hooi Leng membenarkan permohonan tersebut dan menambah nilai wang ikat jamin kepada RM35,000 iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Beliau juga memerintahkan Hassan Basri menjelaskan bayaran denda RM210,000 hari ini.

Terdahulu, sebelum dijatuhkan hukuman, Hassan Basri yang kelihatan tenang sepanjang prosiding hari ini, mencelah meminta kebenaran untuk mengatakan sesuatu.

''Saya minta dilaksanakan keadilan. Semasa kejadian, saya tidak pakai tali pinggang. Macam mana hendak letak duit (tertuduh didakwa oleh saksi meletakkan duit dalam beg pada pinggangnya).

''Pasal poligami, saya hanya mengikut arahan Ketua Hakim Syarie,'' ujarnya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa meminta Mahkamah mengenakan hukuman maksimum kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan itu adalah sangat serius dan telah menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi mahkamah.

Sumber : Utusan

2 comments: