Nuffnang

Wednesday, December 8, 2010

HIKMAH SETIAP UJIAN

Masalah yang dihadapi Puan Norsara minggu lalu menarik perhatian saya untuk memberi pandangan. Pengalaman beliau sama seperti apa yang ditempuh oleh ibu saya, hinggakan hidup ibu saya sentiasa merana kerana melalui pelbagai penderitaan setiap hari.

''Bukan semua isteri boleh bersabar dengan kerenah suami yang suka main kayu tiga dari muda sampai tua. Lebih teruk lagi tidak pernah mengaku kesalahan yang dilakukan. Itulah perangai ayah saya. Puas ibu memujuk supaya mengaku, dan bertaubatlah sebelum terlambat. Tetapi ayah berubah baik untuk beberapa bulan dan tahun sahaja, lepas ibu saya kembali buat tabiat lamanya.

Menangis

''Akhirnya kami adik-beradik sama menanggung penderitaan ibu. Siapa boleh tahan lihat ibu sentiasa menangis, walaupun ibu menafikan bila kami bertanya, tapi kami faham, sebab kami bukan kecil lagi. Bila keadaan sudah sampai ke kemuncak, ibu memberi kata dua lantas merujuk kesnya ke mahkamah syariah. Sebab kata ibu sampai bila-bila pun ayah tidak akan berubah.

''Kata ibu apa gunanya hidup jika hati terseksa, kita mahukan kedamaian dan kebahagian hidup, tetapi jika suami kita hanya mahukan kebahagiaan untuk dirinya sahaja, untuk apa berumahtangga?,

''Sebenarnya saya seorang anak yang menjadi mangsa penceraian. Ibu saya juga mengalami nasib yang sama seperti Puan Norsara. Tetapi dia meninggalkan ayah kerana ayah terang-terang menjalinkan hubungan dengan isteri orang.

''Walaupun diasak dengan pelbagai soalan dan ditunjukkan pelbagai bukti yang nyata namun ayah tetap berkeras menafikannya. Ayah sanggup tertengkar dengan ibu bermati-matian menafikan hubungan sulitnya. Akhirnya ayah gantung ibu tak bertali selama setahun lebih dan tidak duduk sebumbung dengan kami anak-beranak.

''Ketika itu kehidupan ibu saya dengan ayah banyak meninggalkan kesan luka yang teramat perit. Namun ibu hadapinya dengan penuh tabah dan cekal. Tidak pernah ibu menunjukkan kesedihannya kepada anakanaknya. Pada awalnya ibu cuba menjerihkan keadaan tetapi ibu gagal.

''Ibu sering menghantar mesej dan mengajak ayah untuk berbincang, tetapi sikap ayah sungguh pelik, semakin ibu cuba berbuat baik, dia semakin menjauhkan diri, malah ayah sering tidak mengendahkan permintaan ibu.

''Apabila sudah tidak tertahan lagi dengan perangai ayah yang sering tak pulang ke rumah, sebaliknya semakin kerap membuat hubungan dengan wanita lain, barulah ibu beranikan diri menuntut fasakh ke mahkamah. Proses perceraian bukannya mudah, tetapi ibu tabah semuanya kerana hatinya ketika itu sudah bulat tidak sanggup lagi menanggung penderitaan akibat perbuatan ayah yang bergelumang dengan dosa.

''Akhirnya ibu dilepaskan dengan talak satu. Sebagai anak, saya sokong apa yang ibu lakukan, kerana saya tidak sanggup melihat kesedihan dan penderitaan ibu berlanjutkan selagi ibu hidup bersama ayah.

''Untuk pengetahuan Puan Mona dan pembaca semua, selepas perceraian yang mulanya memang ibu merasa khuatir dan takut, tetapi dengan izin Allah juga kehidupan ibu semakin membahagiakannya. Rezeki ibu semakin mencurah-curah.

''Sebagai anak pasti saya dapat menikmati dan melihat kesenangan yang ibu lalui. Bukan sahaja hidupnya bertambah senang dan mewah, sebaliknya wajahnya semakin ceria dan gembira. Dan lebih penting ibu dapat memberikan kehidupan yang baik kepada kami berempat beradik tanpa merasa sedih dan takut.

''Ayah pula walaupun cuba mengelak, dia terpaksa menjalankan tanggungjawabnya kepada kamisama ada dsuka atau tidak. Saya juga bersyukur di atas kehendak Allah kerana kini ayah telah menjalin hubungan dengan wanita tersebut setelah diceraikan suaminya. Saya gembira kerana ayah tidak terus bergelumang dengan dosa yang memalukan kami juga.

''Kepada pembaca yang senasib dengan ibu saya atau puan Norsara janganlah takut dengan ujian Allah, Dia Maha Mengetahui setiap perkara yang berlaku ke atas hamba-Nya. Dan Dia tidak akan membiarkan hamba-hambaNya berseorangan tatkala menghadapi masalah. Pasti akan ada jalan terbaik untuk dilaluinya kemudian hari.

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment