Nuffnang

Wednesday, December 15, 2010

KOLABORASI ERRA BERSAMA STAEDTLER

Tatkala melihat Engku Aleesya Engku Emran yang berusia dua tahun, naluri keibuannya terdetik untuk memupuk kemahiran kreatif kepada anaknya.

Saat itu jugalah penyanyi dan pelakon, Erra Fazira mendapat ilham untuk mewujudkan Art Club yang dilancarkan di My Favourite Art House, pusat beli-belah Tropicana City, di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Erra Fazira, idea untuk mewujudkan Art Club tercetus selepas beliau menjadi ibu buat pertama kali dan melihat fasa perkembangan anak sulungnya.

“Daripada melihat Aleesya merangkak hinggalah berjalan, boleh bertutur dan melukis, ia cukup menyeronokkan dan agak menakutkan.

“Sebagai seorang individu yang melibatkan diri dalam bidang seni, saya tahu betapa pentingnya kreativiti,” kata Erra ketika ditemui pada majlis pelancaran Erra Fazira Art Club.

Seperti kebanyakan orang lain, Erra juga membesar dengan kelengkapan alat tulis Staedtler. Sebagai seorang kanak-kanak, alat tulis dan pensel warna jenama itu menyimpan pelbagai memori indah zaman kanak-kanaknya serta memori mengetuk pensil Noris berwarna hitam kuning klasik di hujung meja sewaktu peperiksaan.

Kelebihan sebagai ahli

“Kini, saya mengenali dan mengagumi kualiti produk-produk Staedtler yang kebanyakannya dihasilkan daripada pokok kayu yang diiktiraf oleh PEFC (Programme for the Endorsement of Forest Certification Schemes).

“Pokok-pokok kayu itu datangnya dari hutan yang diurus secara lestari,” katanya. Erra mengakui bahawa dia terhutang budi dengan teman lamanya, Richie Rachman yang mengatur pertemuan dengan Staedtler. Dengan pertemuan itulah akhirnya idea Erra direalisasikan.

Ahli Erra Art Club akan menerima sekeping Erra Art Card eksklusif untuk menjemput mereka menghadiri acara-acara khas pada musim perayaan yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti sesi bercerita, persembahan boneka, sesi nyanyian, peraduan melukis dan mewarna.

Selain itu, mereka juga akan terlibat dalam lawatan ke Zoo Negara, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Sunway Lagoon dan banyak lagi bagi mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak.

Dalam pada itu, semua ahli boleh memuat naik imej-imej karya mereka untuk dikongsi bersama ahli-ahli lain melalui laman web Erra Art Club di www.erra-artclub.com.my.

Bekerjasama dengan Staedtler, Erra dan pasukannya berjaya mewujudkan satu siri peralatan pendidikan dan pembangunan kanak-kanak seperti buku mewarna, hobi kreatif dan bahan-bahan tadika.

“Mengambil kira pendedahan kepada Internet, permainan berasaskan komputer, ditambah pula khidmat pesanan ringkas dan khidmat mesej multimedia, konsep personalisasi kini tidak dikenali oleh golongan muda.

“Walaupun kemajuan tidak boleh dihalang, adakalanya kita perlu merenung sejenak dan mengetengahkan perkara-perkara yang tidak boleh diganti oleh teknologi,” ujarnya.

Rentetan daripada itu, satu siri poskad C.I.Y (Colour-It-Yourself) telah direka untuk memupuk kreativiti di kalangan generasi muda dan aspek sosial iaitu memberi sesuatu kepada para teman dan keluarga tersayang.

“Saya dan pasukan teruja memikirkan acara-acara yang dirancang untuk tahun ini dan akan menghantar guru-guru seni ke sekolah-sekolah di seluruh Malaysia bagi membantu mendidik dan memupuk minda kreatif.

“Staedtler mahu Art Club menjadi satu realiti. Mereka juga meluluskan dana untuk Erra Fazira-Staedtler yang bertujuan membuat sumbangan kepada badan-badan kebajikan terpilih,” jelasnya.

Dana Erra Fazira-Staedtler akan memberi peluang kepada kanak-kanak berbakat tetapi kurang berupaya untuk melanjutkan hobi serta usaha kreatif mereka.

Bagi setiap pembelian produk Staedtler dengan logo Erra Art Club, sebahagian daripadanya akan diberikan kepada tabung dana tersebut.

“Inilah kali pertama Staedtler berkolaborasi dengan orang luar untuk sesuatu projek. Apabila Erra, pelakon dan penyanyi anggun bersemangat mengenai perkembangan kanak-kanak bertemu dengan kami, memang mudah untuk membuat keputusan kerana visi dan matlamat beliau adalah selaras dengan falsafah Staedtler,” kata Pengerusi Lembaga Pengarah Staedtler Malaysia, Gerhard Wuestendoerfer.

Sumber : Kosmo

2 comments: