Nuffnang

Wednesday, December 15, 2010

CERAH DAN GELAP RUMAH PRAMUGARA




Perkenalan dengan pramugara bujang kelahiran Negeri Sembilan, Musa Ibrahim, membuka ruang kepada Jurnal untuk melihat sendiri dekorasi kediaman jejaka berusia 35 tahun ini.

Memilih untuk tinggal bersendirian di Apartmen Indahria, Seksyen 22, Shah Alam, Musa yang jarang ada di rumah lantaran tugas, berkenan untuk menghias lot miliknya itu dengan penataan gaya yang lebih bersifat personal.

“Mungkin ini adalah penzahiran idea yang selama ini saya kumpul.

“Sebelum ini, lapan tahun saya menyewa di Kelana Jaya. Jadi apabila rumah ini siap lebih dua tahun lalu, saya tidak tunggu lama untuk menghiasnya mengikut cita rasa sendiri,” ujarnya.

Cerminan cita rasa dan pengalaman yang luas berkunjung ke pelbagai negara sedikit sebanyak mencetuskan ilham buat Musa.

Ini sekali gus meletakkan hasil sentuhannya tidak lari daripada aspek biasan efek tema praktikal dan suai padan yang menjadi tunjang utama tata rias.

Akuarium bulat

Di laluan masuk dari pintu misalnya, dinding yang dipalit dengan warna putih tidak ditinggalkan kosong.

Sebaliknya, lekatan kertas dinding dengan motif flora rona hitam daripada kain baldu dibiar menjalar hingga melepasi bar mini dan ruang tamu.

Mencuri sedikit latar dinding kediaman, padanan hitam putih tersebut nampak ringkas namun ia mampu menyuntik kesan fokal yang begitu berkesan.

“Saya kekalkan warna putih kerana ia mudah dipadankan dengan semua warna, sama ada perabot mahupun fabrik langsir.

“Saya tidak memasang kertas dinding kerana takut cepat bosan dengan warna yang sama, lagipun kos bahan dan upah memasang agak tinggi,” katanya.

Dengan perbelanjaan yang tidak terlampau tinggi, Musa masih boleh merealisasikan idea yang mampu memukau mata pencinta hiasan dalaman.

“Bagi saya, barang yang mahal bukan jaminan untuk menjadikan kediaman kelihatan lebih menarik.

“Namun, kreativiti menyuai padan serta mencipta kesepaduan antara barangan dan ruang boleh menghasilkan dekorasi yang memberi impak,” katanya yang gemar meninjau perabot dan harga dari kedai ke kedai sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Kurang menggemari seleksi aksesori kecil, Musa lebih selesa bermain dengan bingkai gambar panjang, jam, akuarium bulat dan cermin menegak berkembar sebagai penyeri kediaman.

“Saya percaya ornamen yang besar mampu memberikan impak visual yang lebih luas, selain mudah untuk dibersihkan.

“Namun, saiz yang keterlaluan juga tidak sesuai untuk kediaman saya kerana ia akan membuatkan ruang kelihatan begitu ringkas,” tambahnya yang gemar mengumpul pelekat magnet dan jam ketika bertugas ke luar negara.

Untuk mengimbangi warna dan pesona santai, akuarium bulat dan tiga panel, tiga bingkai dan tiga aksesori hiasan kaca ditempatkan di bahagian kiri ruang berkenaan.

Tidak seperti pemilik kediaman pangsa yang membina bar sebagai pembahagi ruang di dapur, Musa selesa memilih kabinet mudah alih untuk fungsi yang sama.

Tambahnya lagi, beliau juga sengaja tidak merapikan ruang kediaman dengan perabot bersaiz besar apatah lagi yang terbina dalam supaya memudahkannya jika ingin menukar konsep susun letak suatu hari nanti.

“Memandangkan saya hanya ada 12 hari sebulan di rumah, pilihan perabot dan aksesori yang mudah dijaga, ringkas dan praktikal sangat penting.

“Saya suka dekorasi gaya Sweden yang lebih menjurus kepada perabot mudah alih.

Gaya Sweden

“Ia juga lebih praktikal apabila ada keluarga yang datang berkunjung atau jika mahu buat kenduri.

“Semua perabot ditolak ke tepi dan ruang akan menjadi lebih lebar dan panjang,” jelas anak bongsu daripada 13 beradik ini.

Keupayaan Musa memilih paduan warna juga boleh memberi kejutan namun secara tidak langsung menjadikan hiasan dalaman keseluruhan kediaman berkeluasan 94 meter persegi ini tampil penuh karakter.

Padanan meja makan daripada warna coklat gelap dan set pinggan mangkuk daripada warna hitam polos menjadikan ruang makan Musa kelihatan lebih dramatik.

“Idea menggunakan set berwarna hitam ini timbul daripada pengalaman sewaktu terbang ke negara-negara Barat.

“Pinggan dan mangkuk daripada warna ini banyak digunakan di hotel dan restoran mewah berbanding warna putih.

“Warna makanan juga akan tampak lebih menarik dan menyelerakan,” ujarnya.

Melangkah ke kamar utama, paduan lampu tidur daripada rona garang merah dan hitam dilembutkan dengan kehadiran siapan katil warna pastel.

Di sudut kepala katil, susunan rapi bingkai cermin dilekatkan dengan fungsi dinding tumpu selain menyuntik ilusi luas pada kamar berkenaan.

Bersetentang dengan lokasi beradu, deretan tiga meja konsul sengaja ditempatkan agar bilik tidak begitu polos.

“Saya mahu bilik tidur yang bersih dan luas untuk mencipta ketenangan. Ia juga perlu berada dalam keadaan yang tersusun dan praktikal.

“Kerana itu, saya tidak menempatkan almari pakaian di bilik ini sebaliknya menggunakan bilik ketiga sebagai bilik pakaian saya,” katanya.

Sementara itu, jalinan rona merah hati dan putih dipilih untuk mendominasi hiasan di bilik tetamu.

Ringkas dengan katil bujang dan set teater rumah, barisan miniatur model kapal terbang turut menjadi tarikan di bilik kedua ini.

Untuk memberi kesegaran mata selepas penat bekerja, sebuah mini taman dibina di bahagian balkoni pangsapuri di tingkat lima ini.

Memilih batuan bersaiz sederhana dan susunan tumbuhan tidak berbunga daripada rona hijau gelap, meja kopi dan pasu putih untuk mendiami landskap mini balkoni itu sudah cukup untuk menyejukkan mata penghuni kediaman.

“Dengan lot rumah di ketinggian yang cukup untuk membuatkan balkoni sentiasa berangin, tumbuhan hijau ini ternyata mampu memberi kesegaran kepada saya, terutama selepas penat bekerja,” ujar Musa

Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment