Nuffnang

Friday, December 10, 2010

MENGEMBARA BERSAMA CHEF WAN

Keletah yang menghiburkan chef kesayangan semua dalam mengendalikan program televisyen memasak dan melancong memang tidak dapat dinafikan kehebatannya.

Lihat sahaja program yang dikendalikan oleh Chef Wan iaitu Ekspedisi Chef Wan yang pernah disiarkan di TV9, ramai yang melekat di kaca televisyen dan rasa seperti mahu turut bersama dengannya.

Dapat dibayangkan, jika pergi bercuti bersama chef selebriti nombor satu Malaysia ini, pasti ekspedisi itu tidak membosankan kerana Chef Wan sentiasa ada idea untuk memeriahkan suasana.

Berita baik buat peminat pemilik nama Datuk Redzuawan Ismail. Sebuah rancangan terbaru terbitan TV9, Ekspedisi 2011, akan memberi peluang kepada mereka untuk turut menikmati pengembaraan Chef Wan ketika menjalani penggambaran program ini.

Rancangan masakan dan pengembaraan atau travelogue terbaru yang bakal menemui penonton pada bulan April 2011 ini membuka penyertaan peminat untuk turut sama mengikuti pengembaraannya.

Ekspedisi 2011 kali ini merupakan kerjasama antara TV9 dan juga MASHolidays dimana kesemua krew dan Chef Wan akan diterbangkan dengan Malaysia Airlines dan penjelajahan ke serata dunia akan bermula pada Januari tahun depan.

Sebanyak 11 lokasi iaitu Beijing, Rangoon, Dubai, Mumbai, Shanghai, Hong Kong, Adelaide, Paris, Auckland, Incheon di Korea, Perth dan Beijing telah dipilih sebagai musim pertama sebanyak 13 episod ini.

Menurut Chef Wan, idea untuk membawa peminat melancong bersamanya telah lama difikirkan.

"Ramai yang menonton rancangan-rancangan saya bertanya pada saya andai mereka boleh ikut sama untuk merasakan keseronokan tempat-tempat yang saya lawati," ujarnya ketika ditemui di sidang akhbar Ekspedisi 2011 di sini baru-baru ini.

Walaupun Ekspedisi 2011 masih mengekalkan konsep masakan, bagi musim ini ia akan menonjolkan makanan-makanan eksotik dan pelik yang terdapat di negara-negara tersebut.

Naib Presiden Eksekutif Strategi Komersil Malaysia Airlines, Dr. Amin Khan berkata, pakej kerjasama Ekspedisi 2011 ini adalah terhad kepada 15 hingga 20 orang sahaja bagi memastikan pengembaraan mereka lebih eksklusif.

"Kami menyediakan 13 pakej khas ke destinasi menarik untuk dipilih dengan harga serendah RM1,390 seorang berdasarkan satu bilik berdua.

"Duta Makanan Malaysia, Chef Wan adalah pilihan yang tepat sebagai Ikon MASholidays kerana dia telah melancong ke seluruh dunia dan dikenali ramai sebagai seorang chef selebriti, pelakon, hos TV, penceramah motivasi dan penulis," ujar Amin.

Untuk keterangan lanjut, http://holiday.malaysiaairlines.coM

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment