Nuffnang

Friday, December 3, 2010

ORANG ASLI DAPAT MANFAAT JAMBATAN TAHUN DEPAN

Kesukaran penduduk Orang Asli di Sungai Rual dekat sini yang terpaksa menyabung nyawa menyeberangi sungai setiap hari untuk urusan harian bakal berakhir apabila sebuah jambatan khas siap September tahun hadapan.

Kontraktor projek Datuk Shaari Hassan berkata projek pembinaan jambatan konkrit dan jalan yang menghubungkan kawasan penempatan Orang Asli di Sungai Rual itu sedang giat dilaksanakan dan telah 50 peratus siap.

"Pembinaan jambatan konkrit dan kemudahan jalan ini akan memberi faedah besar kepada penduduk kaum Orang Asli di sini.

"Bagi penduduk yang mempunyai kebun, ia akan memudahkan mereka membawa dan memasarkan hasil pertanian ke bandar Jeli yang akan hanya mengambil masa 10 minit apabila jambatan itu siap berbanding 45 minit sekarang," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Kerajaan pusat telah meluluskan projek pembinaan jalan dan jambatan sepanjang enam kilometer dalam Rancangan Malaysia Kesembilan yang bernilai RM20 juta.

Seorang penduduk Orang Asli, Sakir Mamat, 35, berkata penduduk kini tidak sabar menunggu siapnya jalan dan jambatan berkenaan yang akan memberi banyak kemudahan kepada mereka.

"Lepas ni anak-anak senang nak pergi sekolah, kami pun senang nak pergi Jeli. Musim banjir pun tak risau sebab kami boleh kerja dan bawa hasil pertanian keluar tak seperti sebelum ini," katanya.

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment