Nuffnang

Thursday, December 2, 2010

PIC CABAR PELANCONG KE PULAU PERHENTIAN


Air laut jernih dan alam semula jadi yang memikat, itulah antara tarikan yang menggamit kedatangan kira-kira 2,000 pelancong setiap hari ke Pulau Perhentian dan pulau-pulau sekitarnya.

Penulis sendiri yang pertama kali menjejak kaki di pulau itu terpukau dengan keindahan dan kedamaian yang disajikan pulau tropika di Laut China Selatan itu.

Usaha kerajaan negeri Terengganu dan Kementerian Pelancongan untuk memelihara biodiversiti pulau itu dan pulau-pulau sekitarnya seperti Redang dan Kapas, nyata membuahkan hasil dengan jumlah kedatangan pelancong yang memberangsangkan.

Hanya dengan bayaran RM70 (pergi balik) orang ramai boleh menaiki bot dari jeti Kuala Besut untuk ke Pulau Perhentian Besar atau Pulau Perhentian Kecil yang terletak kira-kira 19 km dari pesisiran pantai Terengganu.

PERHENTIAN ISLAND CHALLENGE 2010

Selain usaha mengekalkan tarikan alam semula jadi, kerajaan dengan kerjasama pihak swasta turut mengambil inisiatif menganjurkan Perhentian Island Challenge (PIC) bagi mempopularkan pulau itu kepada pelancong terutama penggemar aktiviti sukan lasak.

Kejohanan itu yang bermula sebagai perlumbaan berpasukan pada tahun 2004 dengan hanya 103 peserta, menjangkau usia penganjurannya yang ketujuh pada Oktober lepas.

Kira-kira 300 peserta dari Malaysia dan 11 negara asing seperti Kenya, Switzerland dan Mexico menyertai PIC tahun ini yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu elit dan novice.

Para peserta elit dikehendaki mengharungi pantai dan bukit-bukau sejauh 20 kilometer termasuk satu kilometer berenang merentasi lautan iaitu dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar.

Bagi novice pula mereka perlu berlari sejauh 13 kilometer di samping mendaki ratusan anak tangga ke bukit kincir angin di Pulau Perhentian Besar.

LEBIH MENCABAR

Pemenang kategori elit tahun ini Heidilee Muhammad, 27, yang pernah menyertai PIC sebelum ini, berkata perlumbaan kali ini lebih sukar dan mencabar.

"Tahun ini lebih mencabar kerana laluannya lebih panjang, kena berenang lagi.. peserta luar negara juga ramai yang hebat-hebat," kata anak kelahiran Sabah itu kepada Bernama.

Kelibat Heidilee atau lebih dikenali sebagai Dino, sememangnya dikenali oleh penduduk tempatan memandangkan beliau dan pasukannya pernah menjuarai kejohanan itu selama empat tahun berturut-turut iaitu dari 2004 hingga 2007, sebelum PIC ditukarkan kepada acara individu pada tahun 2008.

Apabila ditanya apa yang membuatkan beliau sering kembali ke Perhentian, anggota Tentera Laut Diraja itu berkata: "Di sini tenang, baik untuk tempat bercuti...boleh lupakan masalah di kota."

Heidilee berjaya menamatkan cabaran dalam masa tiga jam 30 minit di samping meraih gelaran johan keseluruhan PIC.

Beliau, yang membawa pulang wang tunai RM7,000, berkata akan menggunakan wang itu untuk majlis perkahwinannya pada hujung tahun ini.

Menurut Pengarah PIC Rob Stott, objektif untuk menjadikan program itu lebih mencabar tahun ini jelas tercapai apabila ramai yang terkandas di tengah-tengah perlumbaan terutama semasa acara renang.

"Daripada 10 wanita yang mengambil bahagian dalam kategori elit hanya tiga meneruskan cabaran, tujuh daripada mereka gagal semasa acara berenang. Sepuluh daripada lelaki dalam kategori elit juga gagal semasa berenang.

"Ia mencerminkan keupayaan seseorang, kami tidak membuat sebarang pemilihan dan cabaran itu memang dinanti-nantikan,"

Meskipun ada yang tidak berjaya meneruskan perlumbaan, Stott berkata tahap kesukaran PIC akan tetap ditingkatkan dari tahun ke tahun bagi menarik minat penggiat sukan lasak dan mereka yang sukakan cabaran.

"Malahan, kami mengetahui terdapat mereka yang tidak hadir kerana beranggapan PIC adalah terlalu mudah bagi mereka", katanya.

PENDUDUK TEMPATAN KAUT UNTUNG

Selain itu, PIC juga dinanti-nantikan penduduk tempatan. Pelbagai aktiviti seperti pertandingan tarik tali, penyediaan makanan tradisional dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak turut diadakan khas untuk penduduk tempatan oleh pihak penganjur.

Bagi penduduk Kampung Perhentian, Shafie Zaki, 33, PIC membuka peluang penduduk setempat mencari pendapatan lebih sebelum musim tengkujuh melanda kawasan itu pada hujung Oktober hingga Januari.

"Orang kampung boleh buat duit, berniaga makanan atau sewa bot dan sebagainya," kata pemandu bot itu.

Shafie yang menyertai PIC dalam kategori novice itu gembira dapat menghabiskan perlumbaan meskipun tidak meraih sebarang tempat.

Sumber : Bernama.

No comments:

Post a Comment