Nuffnang

Monday, January 17, 2011

AIDA KHALIDA


Kejadian hampir sepuluh tahun lalu masih basah dalam ingatan saya. Insiden berlaku di sebuah pusat hiburan di tengah ibu kota pada suatu petang.

Belasan artis muda remaja nan jelita turut menghadiri majlis yang sama. Sudah tentu bila banyak orang popular, maka ramailah peminat berkerumun, macam semut mencari gula.

Tiba-tiba, kelibat seorang wanita tiba. Perhatian anak muda kepada artis-artis cantik tadi tiba-tiba beralih pula kepada si wanita yang seorang ini. Dalam gaya seksi menggoda, dia tampil dengan penuh pesona.

Warna rambut keperangan, baju belahan di belakang yang menampakkan sebahagian besar bahunya, seluruh ruang berada dalam kekaguman.

Saya juga kagum dengan aura yang dibawa oleh pelakon yang satu ini pada ketika itu. Bayangkan, semua yang ada di tempat kejadian boleh beralih pandang sekelip mata, sehingga teman di sebelah berkata kepada saya.

"Tengok tu, hebat betul pesona Aida Rahim (nama glamornya ketika itu). Lelaki semua dah tak pandang artis muda lain lagi dah.

"Dah nak masuk 40 tahun tu, cantik bergaya. Kalah yang muda-muda ni," kata kawan saya itu dalam kagum yang sarat.

Kelmarin, wanita cantik yang hari ini mahu dikenali sebagai Aida Khalida itu menelefon saya.

Berkongsi cerita gembira, dia sudah ada jenama tudung sendiri. Aida Khalida mempelawa saya ke majlis pelancaran tudung berkenaan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, petang esok.

Bercakap tentang Aida, banyak iktibar positif yang boleh diambil daripada perjalanan hidup wanita yang seorang ini.

Tiga kali bercerai, Aida melalui episod kelam dan hitam berkali-kali, tetapi dia masih di dunia seni yang menjadi punca rezeki.

Dan pada usia 50 tahun, sudah bergelar nenek, masih bergaya. Dia masih langsing, sama seperti zaman memperaga. Walaupun tubuh sudah dibaluti hijab nan labuh, Aida kekal memberi pesona.

Paling penting, apa yang lahir di bibirnya juga istimewa. Dari dulu lagi, (sejak dengan imej seksi) susah untuk mendengar ayat kurang manis terzahir, bahasanya cukup lemah lembut, mencairkan semua yang mendengar.

Jauh sekali mengata atau mengeji orang lain. Seksi mana sekalipun penampilannya, Aida tidak banyak silap dengan manusia lain sementelah dia tidak punya banyak sahabat dan hanya mendakap kariernya dengan erat.

Paling kita ingat, sepanjang kesnya dengan Joe Radzwill dibicara di mahkamah, Aida tidak pernah berkata buruk tentang lelaki itu kecuali menceritakan apa yang dialaminya di hadapan hakim.

Ketika media meminta dia mengulas mengenai penderaan yang dimaksudkannya, paling tidak dia hanya bercakap "Tak manis saya mahu bercakap keburukan lelaki yang pernah menjadi teman hidup saya," katanya dalam bahasa paling manis.

Pada usia seperti sekarang, sahabat karib Aida adalah kitab dan al-Quran. Meskipun masih ke lokasi lakonan demi sesuap nasi, dia semakin intim dengan Yang Maha Esa.

Dunia tidak lagi sepi kerana Aida Khalida menjadikan episod pahit sebagai 'mukjizat' penguat semangat baru kepada kehidupannya.

Sumber : Utusan

1 comment: