Nuffnang

Monday, January 17, 2011

RAUL BERCAKAP MENGENAI KRISDAYANTI


Bukan mudah mahu memujuk Raul Lemos kekasih penyanyi ternama Indonesia, Kris Dayanti untuk diwawancara. Jauh sekali untuk merakamkan fotonya. Bukan kerana dia sombong atau mahu tunjuk lagak kerana bakal menjadi suami kepada artis tersohor itu.

Sebaliknya, dia cukup trauma untuk berdepan dengan media terutamanya media-media di Indonesia yang disifatkan menganggu hak beliau sebagai seorang manusia.

"Sikap media di Indonesia yang begitu radikal dan ekstrem untuk mendapatkan bahan berita membuatkan saya kurang gemar untuk diinterviu," katanya pada permulaan pertemuan dengan saya Rabu lalu.

Mujur Kris Dayanti yang berada di sebelahnya mententeramkan hatinya dan menjelaskan pengalamannya dengan wartawan di Malaysia yang disifatkannya sungguh berhemah ketika bertugas.

Daripada situ, Raul atau nama sebenarnya Raul Dos Reis Lemos mula menunjukkan kemesraan dan membuka satu persatu kisah cinta beliau dengan Kris.

Kerana kemesraan yang ditunjukkan usahawan yang berasal dari Timor Leste itu menyebabkan saya mengambil kesempatan bertanya sebanyak mungkin soalan buatnya dalam waktu yang amat singkat. Dan meminta keizinan merakamkan foto mereka berdua.

Yang saya harapkan dapat diperoleh pada pertemuan itu ialah tarikh nikah mereka kerana difahamkan, Raul bakal mengahwini Kris sekitar pertengahan Mac ini.

"Soal tarikh akan saya umumkan menjelang tarikhnya kelak. Kris menasihatkan agar diumumkan serentak kerana biar semua media mendapat berita pada masa yang sama," kata Raul kepada Pancaindera.

Yang pasti, hari bahagia pasangan itu sudah semakin dekat kerana kedua-duanya kini dilaporkan sedang sibuk membuat persiapan.

Bahkan, Pancaindera sendiri dibenarkan menemubual mereka sebaik kedua-duanya selesai menghadiri sesi food testing sempena majlis pernikahan mereka di Hotel Mulia, Senayan, Jakarta Rabu lalu.

Bagi duda anak dua itu, majlis pernikahan dia dan Kris hanya akan dilangsungkan dalam suasana yang cukup sederhana.

Katanya, tidak perlu bagi mereka berdua mengadakan majlis penuh gemilang.

"Memadai dilakukan serba sederhana. Lagipun saya dan Kris masing-masing pernah melalui kegagalan dalam perkahwinan sebelum ini.

"Justeru, apa yang paling utama majlis ini sekadar memaklumkan kepada teman-teman dan keluarga bahawa kami menjadi suami isteri," kata Raul sambil memberitahu yang diutamakan mereka pada pernikahan ini ialah ia dilaksanakan berdasarkan hukum syarak.

"Kris terlalu istimewa"

Bakal menikahi artis wanita sensasi seperti Kris barangkali menjadi dambaan ramai lelaki apatah lagi janda beranak dua itu masih memiliki sosok tubuh yang menawan.

Hal ini diakui oleh Raul yang menyifatkan dia lelaki paling bertuah kerana dapat mendampingi Kris yang dari kaca matanya amat menawan.

"Sudah tentu dia cukup menawan di mata saya. Peribadinya juga amat saya senangi. Kami berdua saling menyayangi antara satu sama lain.

"Biar apa sekalipun pandangan masyarakat, kami berdua amat yakin dengan keputusan yang kami buat untuk mengakhiri ikatan ini ke tali perkahwinan," kata Raul menyambung perbualan.

Bagi Kris pula, dia amat bersyukur kerana kehadiran Raul memberi kekuatan padanya apatah lagi selepas melalui trauma yang panjang selepas pernikahan pertamanya dengan komposer dan penyanyi Anang berakhir dalam suasana yang mengaibkan.

Kegembiraan Kris tambah berganda apabila kedua-dua cahaya matanya, Aurel dan Azriel juga sudah mula menyenangi bakal bapa tiri mereka.

"Kesediaan Aurel dan Azriel menerima Raul amat menggembirakan saya. Bahkan Raul juga senang sekali menerima anak-anak saya," luah Kris mengenai kegembiraan yang sedang diraikannya ketika ini.

Benarkan Kris terus menyanyi

Pernah gagal dalam perkahwinan pertama dengan Silvalay Noor Athalia atau Atha, pengalaman itu bagi Raul mengajarnya banyak perkara mengenai kehidupan.

Perkahwinan yang dikurniakan dua cahaya mata itu juga akan menjadi ilmu berguna untuk dia memimpin keluarga barunya.

Kerana itu, awal-awal lagi dia dan Kris sudah sepakat untuk berkompromi dalam banyak hal khususnya yang melibatkan kerjaya masing-masing.

"Saya dan Kris berjanji untuk saling mempercayai antara satu sama lain dan saya juga sedia membenarkan dia terus aktif menyanyi kerana itu kerjayanya.

"Bahkan, Kris juga akan berkompromi untuk bersama-sama saya khususnya ketika saya memerlukan dia mendampingi saya pada bila-bila masa.

"Biarlah kali ini perkahwinan saya dan Kris akan kekal hingga ke akhir hayat kerana pengalaman kami berdua yang lalu benar-benar menjadi pedoman," jelas Raul yang berjanji berkali-kali untuk menjaga bakal isterinya dengan sebaik yang mungkin.

Doa yang sama dipanjatkan Kris berulang kali dalam pertemuan itu.

Kata Kris, dia tidak mahu gagal lagi dalam perkahwinan kerana kegagalan pertama sangat sulit buatnya.

"Semoga Allah memakbulkan doa kami berdua untuk hidup sehingga ke akhir hayat," kata Kris sambil menggenggam erat tangan bakal suaminya itu.

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment