Paling tragis ada dakwaan yang mengatakan itu merupakan anak tak sah taraf dan ada beberapa kenalan terdekat Watie yang mengatakan itu anak sebenar Watie dengan suami yang sah dahulu.
Apakah benar itu memang anak Watie? Sama ada benar atau tidak mengapa Watie menyembunyikan diri dan enggan menjawab sebarang panggilan telefon pihak media yang cuba mendapatkan penjelasannya.
Bagaikan ditimpa batu besar atas kepala, Joey mengakui bagaikan tidak berkesudahan kontroversi yang melanda Watie sejak kali pertama menjejakkan kaki ke dalam industri seni.
"Apa lagi yang orang nak dengan Watie? Tak cukup selama ini dah terlalu banyak kontroversi yang melanda dia, orang nak tambah lagi derita yang dah dilaluinya itu?
"Paling saya geram apa motif mereka nak buat dakwaan macam tu? Untuk apa pihak tersebut nak terus jumpa media dedah perkara itu? Lepas tu cakap macam benda tu sahih jer?
"Yang paling membuat saya kesal kenapa pihak yang mendedahkan itu tak jumpa Watie dulu. Minta komen Watie sebelum nak dedah terus pada umum? Adakah ini memang jalan yang betul buat mereka?
"Memang saya kesal. Kesal dengan apa yang dah terjadi. Ini bukan soal kecil, tapi melibatkan maruah dan harga diri. Saya ni bakal suami dia. Masih ada keluarga di sebelah pihak dia dan pihak saya. Apa kata keluarga kami pula?
"Memang mereka sokong kami dari belakang, tapi dalam hati tak ada siapa yang tahu gelora yang melanda," kata vokalis kumpulan Exist ini lagi.
Bagi Joey, saat genting seperti ini memang membuatkan dia pusing. Dia kurang faham kenapa masih ada lagi orang yang mahu menjatuhkan karier Watie sampai sanggup membuak aib sampai begitu sekali.
Biarpun apa yang melanda, kata Joey kasih dan cintanya terhadap Watie tidak pernah sekalipun berubah. Malah insiden ini juga menguatkan lagi rasa cinta antara mereka.
Dalam nada yang cukup kesal, Joey meminta orang ramai khususnya pihak media agar tidak mencari Watie buat masa ini.
"Bagilah dia berehat. Dia jatuh sakit gara-gara kontroversi baru ini. Sampai ada ketikanya dia sendiri dah tak boleh bangun. Suara pun dah hilang akibat cerita tu.
"Memang saya sedih dengan apa yang dah terjadi. Saya lihat Watie dah tak ada air mata lagi untuk ditangisi. Jadi saya mohon sekali lagi jangan cari dia.
"Kalau nak apa-apa komen boleh cari saya. Saya boleh bantu jawab apa sahaja soalan anda asalkan tidak mengganggu dia. Biarkan dia tenang seketika," jelas Joey lagi.
Angelina anak Watie?
PELBAGAI persoalan timbul tatkala Angelina berani mengaku itu Watie adalah ibunya. Adakah benar dakwaan tersebut memandangkan tidak ada bukti hitam putih yang boleh mengesahkan dakwaan itu.
Selang beberapa hari isu tersebut tersebar dengan meluas, ada saudara terdekat dengan pelakon yang pernah menganggotai kumpulan Elite itu mendedahkan perkara sebenar kepada Mangga Online.
Dakwa orang itu lagi, dia tidak berniat untuk memanjangkan lagi cerita anak siapa itu tetapi dalam masa yang sama meminta orang ramai tidak terus menggembar-gemburkan cerita itu kerana akan memberikan tekanan emosi kepada Watie.
Dia juga berkata, insiden hitam yang menimpa Watie ini merupakan satu tragedi yang tak pernah berpenghujung sehingga menyebabkan dia jatuh sakit gara-gara gosip yang tak berkesudahan ini.
"Gadis remaja yang keluar Melodi itu memang anak Watie. Tapi itu bukan anak yang lahir secara haram. Gadis itu anak halal Watie bersama bekas suaminya, 15 tahun lalu," katanya kepada Mangga Online baru-baru ini.
Jika mengikut ceritanya, Watie pernah bernikah dengan seorang lelaki warga Singapura dan dikurniakan seorang anak. Walaubagaimanapun Watie tidak memelihara anak itu kerana suaminya menyerahkan bayi itu kepada keluarga abangnya yang menetap di Johor.
"Saya berani bersumpah, kerana ketika itu, saya tinggal di Johor Bahru bersama isteri saya dan saya menyaksikan semua kejadian itu di depan mata saya. Beberapa kali Watie mahu bertemu anaknya, namun hasratnya dihalang oleh mereka," kata sumber tersebut.
Cuma apa yang bermain difikiran mengapakah isu ini hanya dibangkitkan setelah usia anak itu 14 tahun? Kenapa tidak dari dahulu lagi pihak tersebut membangkitkan isu ini?
Bagaikan ada yang tidak kena dengan pendedahan Angelina! Tergamak dia muncul dan mengaku dia "anak luar nikah" memang menimbulkan persoalan besar kepada semua.
Sumber ini turut mendedahkan Watie ada berjumpa dengan anaknya dan berjanji mahu membawa dia tinggal bersama-sama setelah urusannya selesai di Kuala Lumpur.
Namun, apa yang mengejutkan umum apabila sumber ini mendedahkan cerita ini disebar disebabkan duit memandangkan ibu angkat gadis berkenaan sudah menjadi ibu tunggal.
Dipercayai ada perbincangan yang berlaku antara mereka sebelum itu. Malah sudah ada kata putus yang dicapai antara mereka sebelum perkara ini tersebar luas.
Sumber ini juga mendakwa ibu angkat kepada gadis berkenaan ada menghubungi Watie meminta sejumlah wang kerana kesusahan yang mereka alami. Jika ingkar, mereka ugut untuk berjumpa dengan pihak media menceritakan hal tersebut.
Semuanya bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku sehinggalah Watie hanya mahu mengambil anak tersebut tapi enggan memberikan wang seperti mana yang diminta.
"Dari caranya saya tahu mereka memerlukan wang. Mereka melakukan cara ini untuk memalukan Watie. Watie sudah tentu terkejut dan malu bila dikatakan dia mempunyai anak haram satu ketika dulu. Saya kasihan melihatnya menderita sebegini, tolonglah faham keadaannya.
"Cuma satu saya mahu beritahu pada orang ramai, bahawa memang benar gadis itu anak kepada Watie, namun dia bukanlah anak luar nikah seperti yang di dakwa!" kata sumber ini lagi.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment