Nuffnang

Friday, January 7, 2011

KEAJAIBAN KASIH SAYANG

Sudah hampir seminggu anak-anak kita bersekolah. Pelbagai gelagat kita lihat ketika memulakan alam baru persekolahan; ada yang menangis, ketawa, tak kurang yang ibu ayah terpaksa menunggu di kelas demi ilmu dan kasih sayang.

Tetapi, suasana sebegini semakin kurang kita temui sebab anak sudah matang dengan pendidikan prasekolah yang dilaluinya.

Penulis sendiri masih teringat kenangan lama ketika ibu dan ayah tersayang memimpin tangan ke sekolah masa kecil dulu. Tingginya harapan mereka dan kini selepas berjaya, ibu ayah pula tiada berdaya, semuanya dalam kenangan hanya titisan air mata dan kesayuan menjadi kenangan. Terima kasih buat ibu ayah.

'Ya Allah, sayangilah ibu ayah kami sebagaimana mereka berdua menyayangi dan mendidik kami sewaktu kami kecil'.


Doa sebegini sangat perlu dibaca setiap hari supaya Allah mengekalkan kasih sayang kita pada anak-anak.


Mendidik dengan cinta dan sayang berbeza dengan mendidik dengan sumpah seranah serta maki hamun. Kasih sayang akan memberi semangat dan pendorong dalam menghadapi kerenah dan perangai anak-anak.

Bayangkan jika ibu dan ayah tidak ada rasa cinta pada anak, mereka akan melihat anak itu seperti mereka melihat kayu dan batu.

Bahkan mereka mungkin akan menganggap anak sebagai beban yang menyusahkan.

Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Memang tugas sukar dan meletihkan. Terima kasih dan syukur tidak terhingga kepada-Mu Ya Allah atas nikmat kasih sayang ini.

Bayangkan bebanan ibu ketika melahirkan anak yang terpaksa berdepan dengan sakit yang tidak terperi, darah yang tumpah dan tidak bermaya.

Namun, apabila melihat bersih dan suci wajah bayi yang dilahirkannya maka akan hilang segala derita dan bebanan yang ditanggung.

Itulah ajaibnya kasih sayang yang mampu mencipta semangat dan daya juang yang luar biasa ibu bapa terhadap anak-anak.

Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina semangat dalam mendidik anak. Setiap anak berbeza gelagat dan kerenahnya.

Bagi ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah, bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak menjadi manusia yang berjaya.

Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah s.w.t tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja.

Allah s.w.t menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya. Mendidik anak tidak selalunya rata dan mendatar saja kerana ada kalanya kita menerima ujian di luar jangkaan.

Jadi kasih sayang mengukir ketabahan dan kegigihan buat ibu bapa. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti.

Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka ketika berkomunikasi, luahkan rasa sayang dan harapan, teruskan usaha mendidik secara berterusan dengan penuh kesabaran.

Soalan penulis kepada semua pembaca budiman, pernahkah anda menatap wajah orang yang anda sayangi itu? Contohnya ibu, ayah, suami dan isteri.

Jika tidak pernah cubalah pandang-pandang dan perhatikan wajah orang yang banyak berbakti kepada kita itu kerana ketika sedang tidur, itulah wajah yang paling jujur.

Wajah ketika tidur menceritakan segala-galanya. Tanpa kata, tanpa suara seolah dia berkata: "Betapa lelahnya aku hari ini, demi anak-anak dan keluarga aku sanggup melakukan segala-galanya".

Renung dan tataplah wajah orang yang kita sayang itu ketika dia menutup mata ketika tidur sebelum mereka menutup mata buat selama-lamanya.

Jangan lupa pesanan kudus daripada langit ketika mendidik anak-anak: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia yang sombong dan ingkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala".

Sumber : Hmetro

No comments:

Post a Comment