Nuffnang

Sunday, January 16, 2011

LAMPU DAMAR


Pengcahayaan selalu dilupakan apabila membina laman sedangkan ia adalah satu aspek yang perlu diberikan perhatian. Mengapa tidak, laman sepatutnya bukan sekadar berfungsi pada waktu siang malah malam. Selain itu, aspek pencahayaan diperlukan bagi menghiasi laman kediaman jika hari gelap ketika hujan, mengindahkan serta mewujudkan suasana lebih hidup pada waktu malam serta dapat dimanfaatkan penghuni kediaman.

Pencahayaan juga menjadi alat keselamatan yang penting terutama sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi serangan serangga dan binatang berbisa seperti ular dan penyengat. Melalui pencahayaan juga, penghuni dapat mengesan kehadiran orang yang tidak diingini seperti pencuri atau penjenayah.

Terbaru di pasaran, Tiara Bali Concept memperkenalkan produk lampu hiasan dwifungsi iaitu menjadi penerang laman dan hiasan laman unik diperbuat daripada damar yang diimport dari Bali dikenali sebagai lampu Symphonia. Lampu hiasan damar itu boleh didapati dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna menampilkan motif seni masyarakat orang Asli Australia Asia yang unik dan jarang ditemui di rantau ini.

Kebanyakan corak yang dihasilkan adalah motif alam semula jadi seperti bulu burung merak, ombak, cengkerang kura-kura, corak kulit binatang, bunga-bungaan dan tumbuhan. Reka bentuk yang dihasilkan tidak hanya konservatif seperti bulat dan bujur, ia juga menampilkan rekaan moden yang kontemporari serta boleh disesuai untuk laman konsep tradisi sehingga moden. Bagi reka bentuk konservatif ia boleh disesuaikan dan diletakkan untuk laman konsep Bali dan Nusantara.

Malah, lampu Symphonia boleh menjadi penghias balkoni, ruang tempat letak kereta atau wakaf serta pergola di laman kediaman. Cahaya yang dilimpahkan daripada lampu damar ini tidak terlalu terang dan sangat sesuai menghasilkan suasana tenang, damai dan romantik untuk laman kediaman. Memandangkan lampu Symphonia adalah produk terbaru di pasaran, pencahayaan menggunakan lampu ini pastinya nampak unik serta dapat memikat sesiapa saja yang memandangnya.

Kadar harga bagi lampu ini mencecah RM300 bergantung kepada mengikut saiz dan reka bentuk dan dijangka menjadi barang pilihan untuk seni hiasan laman konsep moden dan kontemporari. Penjagaan untuk lampu ini juga mudah kerana hanya memerlukan kain basah untuk membuang habuk dan kotoran yang melekat tanpa perlu menggunakan cecair pembersih khas atau sabun pencuci.

Sumber : Bharian

No comments:

Post a Comment