Nuffnang

Sunday, January 16, 2011

POLIS KENALPASTI KAWASAN 'HOTSPOT'

Polis sedang menilai semula kawasan-kawasan di Kuala Lumpur yang akan diisytihar sebagai kawasan yang sering dilaporkan berlaku jenayah jalanan atau "hotspot" yang baru, selaras dengan usaha berterusan dalam mengurangkan jenayah tersebut, terutama membabitkan kes ragut.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata langkah itu adalah susulan daripada projek perintis hot spot sebelum ini, yang menampakkan hasil cukup positif apabila kadar jenayah didapati berkurangan secara mendadak.

Beliau berkata kadar jenayah di lokasi yang diisytihar sebagai hotspot pada Ogos 2009 di Kuala Lumpur menunjukkan penurunan ketara, dan tahun ini polis sedang menilai semula kawasan hotspot baru.

"Kami mahu supaya lokasi baru yang akan dikenal pasti nanti akan turut menyumbang kepada penurunan kadar jenayah selepas pelbagai inisiatif perangi jenayah yang disusun, dilaksanakan," katanya kepada pemberita pada majlis dialog bersama penduduk Projek Perumahan Rakyat Kerinchi, Pantai Dalam di sini Ahad.

Sebelum ini 11 kawasan hotspot yang dikenal pasti di ibukota ialah Bukit Bintang dan Jalan Pudu yang terletak di bawah seliaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi; Brickfields dan Kuchai Park (IPD Brickfields); Taman Midah, Taman Connaught, Alam Damai dan Bandar Sri Permaisuri (IPD Cheras); serta Jinjang Utara, Metro Prima Kepong dan Danau Kota (IPD Sentul).

Zulkifli berkata polis juga membuat rondaan menggunakan anjing pengesan dari unit K9 di beberapa kawasan terpilih di bandar raya dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan dan cegah jenayah.

"Kawasan-kawasan itu akan dikenal pasti nanti, dan buat masa ini kami akan mulakan di sekitar kawasan Cheras serta Brickfields dan kami harap indeks jenayah dapat dikurangkan lagi," katanya.

Katanya penempatan unit berkuda turut akan ditambah selaras dengan keperluan semasa terutamanya di kawasan taman-taman, dalam memerangi jenayah di kawasan rekreasi umum.

Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment