Nuffnang

Saturday, January 8, 2011

SENI RIMBA MOTIF HIASAN

Keindahan seni dekorasi mampu menterjemahkan nilai estetika terbaik jika membabitkan idea kreativiti pemiliknya.

Padanan produk seni rimba sebagai pelengkap penataan ruang hakikatnya menyerlahkan pelbagai konsep termasuk Nusantara, warisan Melayu dan suai padan.

Attitude Planet Art (APA) tampil dengan produk seni rimba yang dibingkaikan sebagai penyeri ruang dinding atau meja.

Pemilik bersama APA, Fauzi Abd Majid, berkata produk baru itu membabitkan teknik tekap dan tampalan tiga dimensi dengan idea seni hias unik.

"Idea untuk produk terbaru ini direka khas bagi menonjolkan kelainan dan menjadikan aspek kemasan sebagai elemen terpenting.

"Ia mengetengahkan bahan seni rimba menarik sebagai pelengkap ruang dinding asalkan kreatif dan berani mencuba," katanya.

Seterusnya teknik tekap membabitkan bahan semula jadi seperti orkid, bunga tiga bulan, ros, daun paku pakis dan daun getah yang digarap dalam seni batik.

"Bermula dengan pemilihan bunga semula jadi yang sesuai, teknik warna dan serap dengan rona serasi termasuk merah atau hijau dalam tempoh dua atau tiga hari.

"Biasanya pewarna batik digunakan supaya lebih kelihatan asli dan menghasilkan warna kekal sepanjang masa.

"Ada sesetengah bunga perlu dileraikan kelopaknya sebelum ditekap yang membabitkan dua teknik iaitu ketuhar gelombang mikro dan menggunakan seterika," katanya.

Fauzi berkata menerusi teknik tampalan tiga dimensi, APA menggunakan bunga matahari kerana dapat mengungkap nilai keindahan seni tak terungkap. "Penggunaan bunga matahari yang dihasilkan dengan kreativiti bahan seni rimba ini lebih sesuai dengan garapan ringkas tanpa perlu diserikan dengan elemen hiasan lain.

"Penghasilannya merangkumi pemilihan bahan seni rimba untuk membentuk kuntuman matahari yang sempurna bagaikan bunga sebenar," katanya.

Bagi membentuk tiga kelopak paling bawah, upih pinang digunakan, tiga kelopak paling atas memerlukan buah pelaga sementara bahagian tengahnya berasaskan lada hitam, kacang hijau atau ketumbar. Semua bahan asas itu perlu melalui beberapa proses awal termasuk pengawetan menggunakan bahan kimia dan dijemur hingga kering.

Seterusnya proses pembentukan kelopak bunga matahari dilakukan dan serlahkan kreativiti untuk padanan sesuai latar belakang bunga berkenaan sebelum dibingkaikan. Ia termasuk penggunaan daun getah, kain dan kertas terpilih malah biarkan latar belakangnya kosong jika ingin tampil ringkas.

Teknik tampalan tiga dimensi itu menggunakan gam elektrik dan aspek kemasan supaya konsep pilihan selari dengan elemen hiasan itu.

Anda bebas memilih bingkainya dan serlahkan kreativiti atau cita rasa sendiri supaya elemen hiasan di kediaman memenuhi konsep penataan.

"Bagi menyerlah konsep moden, moden kontemporari, Nusantara dan warisan Melayu penggunaan bingkai kayu tanpa corak lebih digalakkan supaya kemasannya lebih kelihatan asli serta ringkas," katanya. Produk terbaru APA itu bakal dieksport ke Paris selain pasaran tempatan.

Dua produk terbaru APA itu bukan sekadar bentuk bingkai, tetapi dijadikan poskad dan penanda buku. Garapan kreatif potret wanita berbaju kebaya yang dibingkaikan kelihatan hebat memenuhi aura keunikan ruang.

Uniknya, setiap dekoratif aksesori hiasan dalaman berasaskan hasil seni rimba kian mendapat perhatian kerana nilai estetika tersendiri selain tidak lapuk ditelan zaman.

Sumber : Hmetro

No comments:

Post a Comment