Nuffnang

Friday, June 3, 2011

ISU POLIGAMI


Cukup bagus untuk di baca oleh kaum isteri semua, sekurang-kurangnya kita menjadi isteri yang berilmu dan berpengetahuan luas.

Isu poligami masih dianggap sensitif di kalangan masyarakat khususnya wanita yang sebilangannya daripada mereka tidak begitu menyenangi melayari kehidupan berkongsi suami dengan wanita lain walaupun, Islam membenarkan lelaki berkahwin empat.


Kesanggupan berkongsi suami adalah subjektif. Dalam ribuan kes poligami mempunyai kisah tersendiri, sebahagiannya terpaksa berendam air mata dengan derita mencengkam jiwa, tertekan dan kurang kasih sayang, manakala ada juga pasangan berkahwin lebih daripada satu atau sehingga beristeri empat, mampu mengecapi kebahagiaan dengan kesemua isteri mereka saling berbaik dan hormat-menghormati.

Namun, lazimnya hidup berpoligami bagi sesetengah wanita pula bagaikan ‘api dalam sekam’. Lebih teruk lagi, kalangan isteri pertama dan kedua kerap berperang, bermasam muka dan saling salah-menyalahi.

Ketenangan dan kebahagiaan yang dikecapi sepanjang perkahwinan monogami diragut oleh isteri kedua. Lantaran isteri pertama acap kali menyalahkan isteri kedua sebagai perampas suami orang.

Yang agak menyedihkan, jika ada suami yang berkahwin tanpa pengetahuan isteri dan tidak dapat dikesan untuk tempoh yang lama atas kebijaksanaan menyimpan rahsia. Namun apabila tembelang terpecah, si suami memasang taktik lain.

Lebih jauh daripada itu, banyak kesan rentetan hidup berpoligami yang dipaparkan memperlihatkan kualiti dan kuantiti pelbagai aspek khususnya mengenai kebajikan dan penggiliran yang adil untuk kesemua isteri serta anak akan terjejas.

Malah, agak menyedihkan dan memangnya tidak mustahil, apabila ada antara bapa tidak mengenal anak daripada isteri yang mana satu kerana bilangan yang terlalu ramai. Kesibukan seharian dan perlu memikirkan permasalahan lain dalam hidup berpoligami seperti memenuhi giliran, bermalam dengan kesemua isterinya menjadikan mereka lupa banyak perkara termasuk susur galur anak.

Implikasi yang ketara hidup berpoligami ialah dari segi kedudukan kewangan, perbelanjaan dalam keluarga, terhadap emosi dan hubungan sosial dengan ahli keluarga serta apakah bentuk kerangka kerja perundangan dapat memberi bantuan dan perlindungan serta menjaga kepentingan ahli keluarga.

Berdasarkan rumusan pembentangan hasil kajian yang dilakukan beberapa penceramah dalam Forum Institusi Keluarga dan Poligami Di Malaysia, yang diperoleh daripada kaji selidik membabitkan kira-kira 1,200 orang membabitkan di seluruh negara, mendapati mendapati ramai kalangan wanita berkenaan tidak puas hati dengan kehidupan berpoligami.

Malah, lebih 60 peratus daripada hasil kajian juga mendapati suami tidak memaklumkan dan berbincang dengan isteri pertama untuk berkahwin satu lagi sehingga menimbulkan implikasi dan trauma hebat di kalangan golongan hawa itu.

Justeru, isu yang patut diberi perhatian dalam isu poligami adalah dari segi bantuan seperti kewangan dan sistem sokongan daripada pihak berwajib terutama kalangan isteri pertama yang goyah kedudukan ekonomi mereka. Hasil temu amah daripada isteri pertama, memperlihatkan mereka terpaksa bekerja keras untuk menampung perbelanjaan seharian.

Katanya, berdasarkan data yang diperoleh, mendapati kalangan ramai keluarga berpoligami gagal mengamalkan pengisian penggiliran antara isteri yang adil dan saksama. Malah, giliran berdasarkan data ia seakan ideal tetapi ia sukar untuk dicapai.

“Tidak ramai keluarga berpoligami yang menunjukkan ia seperti mudah, tapi sukar untuk direalisasikan kebanyakan keputusan terletak di tangan suami yang seakan berkuasa dalam menentukan segala-galanya,” katanya.

Pada masa yang sama, masalah hidup, tekanan, berhempas pulas mencari rezeki, rasa sedih, terkilan dan suami tidak jujur terus menghantui mereka.

Ciri-ciri keluarga bahagia yang sepatutnya atas dasar kepercayaan akhirnya musnah, selepas kepercayaan itu diperdayakan suami dan sekali gus kehidupan tidak aman lagi. Lantaran, kesan berkenaan berpanjangan sehingga anak menjadi mangsa keadaan.

Bagaimana mahkamah menilai keupayaan lelaki menyara keluarganya dan aspek lain dipatuhi?

“Ramai keluarga berpoligami, terutama isteri tidak suka bercerita dengan hal rumah tangga sesuka hati dengan rakan sepejabat, sebaliknya lebih gemar mendapatkan bantuan daripada orang yang lebih profesional. Mereka tidak mahu dikasihani dengan nasib menimpanya.

“Kajian juga menunjukkan di kalangan suami juga jarang yang mahu menyatakan bahawa mereka berpoligami,” katanya.

Sumber : Bharian

1 comment:

  1. hal rumah tangga sesuatu hal yg rahsia.
    hal berkongsi rasa sesuatu hal yang paling sensitif untuk dikata.
    hal kasih sayang sesuatu hal yg bangga untuk dicerita.

    Minta di jauhkan rumah tangga kita dikongsi rasa kasih sayang dgn sesuatu yg rahsia, lalu tiada lagi kata, hilang semua cerita.

    ReplyDelete