Nuffnang

Tuesday, September 13, 2011

SYURGA KITA


Ketika saya menulis entri ini jam menunjukkan 12.30pg. Panas yang menwarnai siang tadi seakan berlalu pergi.

Episod hidup datang dan pergi kita juga begitu. Sekali-sekala gembira dan sekali-sekala pula berduka. Malah ada pelbagai lagi rasa yang menjadikan kehidupan kita itu penuh dengan variasi.

Bila difikir-fikir, semuanya itu penuh keindahan kerana apa yang ditentukan ke atas diri kita tidak pernah silap. Yakni ianya bukan satu kesilapan.

Kita teringat berita yang mengemparkan tanahair baru-baru ini. Kisah seorang lelaki tua yang tidak diterima anak-anaknya kerana dia mempunyai sejarah lampau terhadap anak2 dan isterinya. Kita mengambil kira yang paling utama tentang kasih-sayang milik mutlak dan anugerah Allah yang tidak terhingga.

Dalam hal sebegini, sebenarnya kita terlalu terpengaruh, kadangkala semakin ilmu itu berkembang, cara kita menilai erti kasih jua berbeza. Kita berfikir bila ibu atau bapa kita tidak betah memeluk atau bersikap kasar atau garang itu, maka mereka tidak tahu mengasihi. Aduhai…fikiran kita terlalu sempit.

Hakikatnya mana mungkin seorang bapa yang sejahat mana pun tidak mengasihi anaknya. Kasih itu sudah pasti ada, dititipkan oleh Allah untuk seorang yang bergelar ayah buat anak yang wujud dari setitik air maninya.

Namun kita gagal menilai itu semua. Kita fikir bila seorang ayah atau bapa tidak menunjukkan kasih sebagaimana kita mahukan, maka kita kata mereka tidak mengasihi.

Kasih sayang ini lahir dalam pelbagai bentuk. Memeluk anak yang sudah dewasa, mungkin adalah sebahagian tanda kasih dalam konteks perkembangan institusi kekeluargaan hari ini. Tetapi perlu diingat bagaimana kita dibesarkan mempengaruhi tabiat dan tingkah-laku.

Mereka manusia dan kita jua manusia. Tiada yang sempurna. Dalam hal menunjukkan kasih, tanpa sedar mereka direalisasikan semua itu melalui perkara-perkara yang lain atau perbuatan-perbuatan mereka terhadap diri kita. Contohnya, pengorbanan mereka membesarkan, kesungguhan mereka menjadikan kita seorang manusia yang mampu berdikari.

Ya… kasih seorang bapa terhadap anaknya adalah satu hal yang sukar dimengerti. Ia sebuah kasih tanpa sebarang syarat. Seburuk mana sekalipun ayah kita, anak2 harus terus mempertahan.

Ingat ya! Ibu dan bapa adalah pemberian Allah. Kita tidak berhak memilih siapa ibu dan ayah sebab melalui kewujudan mereka, kita lahir ke dunia ini.

Jika kita merasakan bahawa mereka tidak menujukkan kasih seperti mana orang lain, jangan sekali-sekali menyalahkan mereka. Sewajarnya kita bersyukur kerana memiliki ibu dan ayah. Insya-Allah jika kita dianugerah zuriat, sudah tentu kita tidak mahu anak-anak kita menyalahkan kita pula.

Ingatlah, ibu dan bapa yang dipilih oleh Allah buat diri kita bukanlah satu kesilapan. Semua itu punya nilai kasih yang sukar kita nak fahami. Bila kita disuruh bersyukur dengan kedua ibu bapa, yakinlah bahwa melalui ibu bapalah kita mampu melihat besarnya kasih-sayang Allah.


No comments:

Post a Comment