Nuffnang

Friday, December 3, 2010

GAYA HIDUP SIHAT PENGIDAP DIABETES

Capailah kasut sukan anda dan bersedialah untuk berlumba ke arah gaya hidup yang lebih sihat!

Berbeza dengan acara berlumba untuk menang, Perlumbaan Ke Sasaran (Race to Goal) menepati matlamatnya dalam kalangan keluarga dan pesakit diabetes untuk meneruskan perjalanan mereka bagi mencapai sasaran hidup mereka.

Acara tersebut menjadi pengisian program pendidikan awam yang dianjurkan sempena Hari Diabetes Sedunia pada 14 November lalu. Program yang dianjurkan syarikat farmaseutikal antarabangsa, MSD (subsidiari Merck & Co.) bersama Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) itu bertujuan menyampaikan mesej - hidup sihat dengan diabetes boleh dicapai dengan mentaliti yang betul dan pendekatan gaya hidup sihat.

Acara yang dianjurkan buat tahun kedua berturut-turut itu diadakan di Taman Tasik Lembah Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Perlumbaan Ke Sasaran 2010 menepati hasratnya iaitu mahu meningkatkan kesedaran tentang diabetes dan pengurusan diabetes melalui kegiatan pendidikan yang penuh keriangan.

Semua kegiatan yang dianjurkan pada hari itu bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia menjalani gaya hidup sihat dengan diabetes. Tiga tonggak utama pengurusan diabetes yang baik terdiri daripada amalan kesihatan yang betul dan pemeriksaan yang tetap, pemakanan yang berkhasiat serta senaman yang tetap.

Lebih daripada 350 peserta termasuk pesakit diabetes mengunjungi acara itu sambil mempelajari beberapa perkara tentang pengurusan diabetes.

Ketua Unit Perniagaan MSD, Sunny Lim memberitahu, Perlumbaan Ke Sasaran ialah acara pendidikan tahunan keempat yang dianjurkan oleh MSD sebagai sebahagian daripada kempen kesedarannya yang berterusan.

Meningkat dua kali ganda. “Bertemakan Hidup Sihat Dengan Diabetes, program ini memupuk gaya hidup sihat dan bermakna,” katanya.

Pada masa ini, seramai 1.4 juta rakyat Malaysia atau seorang daripada setiap enam orang dewasa yang berumur 30 tahun ke atas menghidap diabetes.

Lebih mengejutkan, jumlah penghidap diabetes di Malaysia hampir meningkat dua kali ganda pada kadar yang lebih cepat sedekad lalu berbanding ramalan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF).

“Kepada pesakit diabetes, kami ingin mengingatkan pengurusan diabetes yang berkesan dapat membantu mencegah komplikasi dan membolehkan anda menikmati hidup yang bermutu,” ujar Lim.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Diabetes Malaysia, Datuk Rahimah Ahmad memberitahu, statistik menunjukkan bahawa kes diabetes meningkat di rantau ini dan secara global.

“Memandangkan perubahan gaya hidup moden kita yang mendadak, rakyat Malaysia perlu memahami bahawa diabetes adalah masalah kesihatan yang besar dan kita perlu mengawal keadaan itu sekarang sebelum terlambat.

“Kita perlu sentiasa mengingatkan orang ramai bahawa perubahan gaya hidup yang sihat sangat penting dalam mencegah dan menguruskan diabetes Jenis 2,” jelasnya bahawa diabetes Jenis 2 adalah diabetes yang paling lazim dan melibatkan kira-kira 90 peratus pesakit diabetes di seluruh dunia.

Kempen Hidup Sihat Dengan Diabetes oleh MSD bermula sejak tahun 2007 dengan mempromosikan minuman teh tarik kurang gula.

Dua tahun lalu, bengkel dan pameran yang dianjurkan tertumpu kepada keperluan pemakanan dan penyediaan makanan yang berkhasiat.

Perlumbaan Ke Sasaran ialah acara kesedaran awam yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 2009 yang memberi tumpuan kepada pendekatan pengurusan diabetes yang menyeluruh.

Acara kali ini mendapat sokongan daripada beberapa penaja iaitu BOH Plantations, Breadtalk, Chef Amy Beh, Pusat Perubatan iHeal, biskut Jacob’s dan mYoga. Selain itu minyak masak Naturel, Nestle Cheerios oleh bijirin sarapan Nestle, nutrien untuk diabetik oleh Nestle Nutrition, soyRich oleh Yeo’s dan pakar mata VISTA.

Berbekalkan pasport, peserta dikehendaki melawat tiga pondok pendidikan yang didirikan di sekitar taman iaitu pondok Ketahui Segala-galanya Tentang Diabetes, pondok Pemakanan Yang Betul dan pondok Bersenam Demi Kesihatan.

Selain itu, aktiviti lain turut diadakan seperti pemeriksaan kesihatan, memasak cara sihat dan demonstrasi senaman.

Walaupun matlamat Perlumbaan Ke Sasaran bukanlah memenangi perlumbaan, namun acara itu menjadikan setiap peserta adalah pemenang dengan cara masing-masing. Mereka membawa pulang cenderamata bersama pasport kesihatan.

Sumber : Kosmo

2 comments:

  1. bagus nie prigram kesihatan mcm nie..

    semoga peserta dapat menambah kenalan dan ilmiah..

    kak ct. ayu abadikan nama kak dalam segmen BLOG OH BLOG

    ReplyDelete
  2. Ayu : Baguskan program ni. Blog oh blog? Letaklah...bagus2...hehehe. Cam artis ko...hehehe

    ReplyDelete