Nuffnang

Wednesday, August 10, 2011

TAMAN ALAM HOMESTAY SAUJANA



Untuk memulakan tugas di pagi ini, kita sajikan kehijauan dan ketenangan sekiranya ingin beristirehat di homestay yang kita rasakan cukup nyaman. Baca ya, penat tau kita buat entri malam2 hari ni :)

Kalau sudah namanya Kampung Janda Baik, persekitaran alam semula jadi pasti sukar dipisahkan daripada fikiran.

Begitulah reputasi Homestay Saujana yang terletak di atas tapak seluas 0.7 hektar di tanah tinggi Pahang itu.

Deruan air Sungai Chemperoh yang mengalir di sisinya mencetuskan irama yang sukar diungkapkan. Ia bagaikan terapi semula jadi yang menenangkan.

Air sungai yang jernih dingin itu mengalir laju berlantaikan batu-batu sungai sehingga menerbitkan muzikal semula jadi.

Bunyi bising kenderaan di bandar dan kerja yang tidak pernah habis pasti melelahkan, jadi homestay ini menjadi satu pilihan terbaik untuk memanjakan tubuh dan minda.

Pemiliknya, Ahmad Fakhri Hamzah, 49, berkata, homestay dengan dua unit rumah tamu itu merupakan ilham keluarganya sendiri.

“Sebenarnya lima tahun lalu saya masih tercari-cari kawasan yang sesuai untuk berehat bersama keluarga pada hujung minggu.

“Secara kebetulan kami menemui tapak ini yang terletak tidak jauh dari jalan utama. Kehadiran Sungai Chemperoh yang mengalir di sisinya turut memikat hati kami untuk memilih tempat ini,” katanya.



Tambah Fakhri, pada mulanya homestay itu merupakan projek rumah istirahat keluarga tetapi kami turut mahu ia dikongsi dengan orang ramai.

“Justeru, wujudlah rumah percutian ini yang menawarkan pakej penginapan yang menawarkan kedamaian alam semula jadi,” ujarnya.

Penginapan ala homestay ini beroperasi sejak tiga tahun lalu. Ia memiliki dua buah rumah tetamu yang dinamakan Cheringin dan Chemperoh, kedua-duanya terbina di tepi sungai.

Difahamkan, kos untuk membangunkan homestay ini melebihi RM700,000 termasuk perabot dan kemudahan lain.

“Sebaik memasuki kawasan ini, anda akan nampak rumah Chemperoh dan Cheringin yang terpisah hanya 50 meter. Kami juga membina dua unit ran atau rumah atas pokok,” cerita beliau.



Cheringin dan Chemperoh dibina menggunakan kayu meranti manakala rumah atas pokok itu diperkukuh dengan kayu cengal.

Ditambah pula dengan gaya hiasan tradisional kontemporari, tetamu akan berasa seolah-olah berada di kampung sendiri. Nilai eksklusif inilah yang mahu ditawarkan Homestay Saujana.

Reka bentuk kedua-dua rumah kayu itu agak ringkas. Di berandanya yang luas terdapat sebuah meja bulat dan kerusi rotan yang membolehkan penghuni merehatkan diri sambil melemparkan pandangan ke arah sungai dan alam sekeliling.

Terdapat juga sebuah bangku panjang yang diperbuat daripada pokok durian.

Rumah ini memakai konsep terbuka iaitu tiada bilik disediakan melainkan bilik air. Sebuah katil bersaiz King ditempatkan di satu sudut. Apa yang menarik, katil bertiang tinggi itu dilengkapi kelambu putih.

Tetamu cuma perlu menurunkan kelambu itu apabila mahu tidur pada waktu malam. Keadaan ini akan mengingatkan seseorang kepada suasana bilik tidur pada zaman dahulu.

Di satu sudut, hamparan permaidani yang dibawa dari Oman menghiasi ruang.

Memandangkan suhu dingin tanah tinggi itu terasa menembusi kulit khususnya pada waktu pagi, bilik air homestay ini menyediakan alat pemanas air untuk keselesaan tetamu.



Ruang tamu pula terletak betul-betul bersebelahan katil. Terdapat set sofa moden di situ selain kemudahan televisyen satelit.

Rumah ini turut mempunyai kemudahan peti sejuk dan ketuhar gelombang mikro, bagaimanapun tetamu tidak dibenarkan memasak.

Walaupun tiada kemudahan memasak di dalam rumah, homestay ini menyediakan tempat untuk barbeku yang mengadaptasi binaan pondok Orang Asli.

Berhampiran sungai juga terdapat sebuah kolam ikan yang dihiasi batu-batu cantik. Dianggarkan ia dihuni kira-kira 1,000 ekor ikan tilapia.

Menurut Fakhri, pengunjung boleh mendapatkan ikan segar itu pada harga RM10 seekor.

Kata Fakhri lagi, tetamu yang membawa komputer riba boleh menggunakan kemudahan WiFi yang disediakan di seluruh kawasan berkenaan.

“Secara keseluruhannya homestay ini mahu anda menikmati taman hijau di sekelilingnya dengan sepuas-puasnya.

Sumber : Kosmo


2 comments:

  1. bestnye.. sekali-sekala terapi minda kat sini best. lapang fikiran.

    ReplyDelete
  2. GreenJade@Tini..akk kalau boleh nk skrg jgk..hehehe tapi...tapi ketaapi la...:)

    ReplyDelete